Matawang Kripto: Satu Analisa Syariah Kontemporari dan Holistik (Bahagian V)
Sambungan terakhir dalam siri Minda Syariah. Boleh baca terbitan sebelumnya di sini:
Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III, Bahagian IV.
______
Kita telah melihat pelbagai isu dan perspektif tentang matawang dan juga ekonomi digital; samada pendekatan sejarah ataupun pendekatan moden. Sebahagian isu dan permasalahan yang telah dibincangkan masih lagi relevan sehingga masa kini dan kemungkinan buat selama-lamanya kerana kehidupan manusia adalah sentiasa dinamik. Teks-teks wahyu jarang yang diperuntukkan secara terperinci malah disediakan oleh langit dalam bentuk yang elastik dan kognitif yang cukup tinggi dan halus. Ini semua dilakukan, pada pandangan peribadi saya, bagi membolehkan teks-teks ini sentiasa relevan dalam semua keadaan masyarakat di setiap pelusuk dunia tanpa melihat paras dan tahap teknologi tertentu.
Sebelum saya merumuskan isu matawang kripto ini melalui sudut pandang Syariah (dan juga pengurusan ekonomi dan kewangan moden), izinkan saya bagi menyemak semula sepintas lalu isu-isu yang difikirkan relevan dalam konteks matawang kripto. Saya menggunakan istilah ‘matawang’ di sini bukanlah bermaksud bagi menyatakan dan mengiyakan pandangan saya bahawa wang berbentuk digital ini adalah berfungsi atau patut berfungsi sebagai mawatang setaraf dengan matawang rasmi mana-mana negara yang ada ‘legal tender’. Saya gunakan istilah ini hanya sekadar mengulang apa yang sedang digunakan dalam pasaran sekarang iaitu ‘digital currency’. Saya mempunyai pandangan yang agak berbeza dalam konteks ini. Saya akan nyatakan pandangan saya secara ilmiah di akhir tulisan ini nanti.
Apakah isu-isu yang ditimbulkan samada dari sudut pandang Shariah atau undang-undang atau amalan terbaik (best practices) yang difikirkan boleh mengurangkan kredibiliti matawang digital? Saya akan senaraikan enam (6) isu utama. Mari kita lihat setiap isu ini secara ringkas sahaja bagi tidak menjadikan penulisan ini terlalu panjang.
Isu Pertama: Status ‘legal tender’
Isu pertama yang diperkatakah oleh orang ramai dan juga sebahagian para ulamak dan pakar kewangan ialah matawang digital atau kripto tidak mempunyai sokongan rasmi daripada negara iaitu tidak mempunyai ‘legal tender’ yang menjadikan sesebuah negara tersebut mempunyai kewajipan dari segi perundangan untuk menerima sebarang wang yang diserahkan oleh mana-mana pemiliknya atau pemegangnya bagi apa-apa tujuan pembayaran dan pertukaran. Melalui konsep ‘legal tender’ negara menjadi pihak terakhir dalam ‘value chain’ setiap transaksi bagi menerima setiap wang yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja (melainkan dapat dibuktikan bahawa sumber wang tersebut adalah sumber yang haram dan menyalahi undang-undang).
Memang betul, kebanyakkan matawang digital tidak mempunyai status perundangan sebegini kerana ianya diciptakan bagi tujuan transaksi yang bebas daripada kawalan mana-mana pihak berkuasa. Namun bagitu, ini tidak bermakna bahawa mawatang digital tidak boleh dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa kerana pihak kerajaan masih bertanggungjawab kepada rakyat bagi menjamin kelestarian sebarang bentuk transaksi kewangan yang boleh menimbulkan risiko yang melampau kepada masyarakat. Kemunculan beberapa ‘stable coin’ atau matawang digital yang disandarkan kepada mawatang resmi negara tertentu kebelakangan ini, memberikan satu isyarat bahawa teknologi matawang digital – yang berpaksi kepada kriptografi dan ‘blockchain’– boleh dianuti oleh mana-mana negara jika mereka inginkan sedemikian.
Namun, dalam analisa Syariah yang dibuat secara terasing daripada undang-undang semasa, tidak ada prinsip Syariah yang mewajibkan mana-mana matawang yang dijadikan alat pertukaran (medium of exchange atau al-thaman) perlu mendapat pengiktirafan negara dari segi kesasihan dan perakuan Syariahnya. Mana-mana masyarakat boleh menjadikan apa sahaja alat atau intrumen termasuklah satu kod digital sebagai alat pertukaran sesama mereka. Sehubungan itu, alat atau instrumen atau kod ini boleh menjadi pengganti kepada matawang resmi dalam mana-mana transaksi pertukaran barang atau perkhidmatan.
Ini semua sedang berlaku dalam amalan masyarakat semasa seperti kes ‘points’ dalam kad penerbangan atau jualan barang atau perkhidmatan yang boleh ditukar dengan barang atau perkhidmatan lain. Di sesetengah negara, ‘top-up’ atau ‘waktu bercakap’ (air time) atau ‘peruntukan data’ dalam telepon pintar boleh digunakan bagi menebus atau membeli barang atau perkidmatan tertentu (redemption).
Walapun ini telah dijadikan dan diterima sebagai alat pertukaran dalam transaksi kewangan yang nyata, ia tidak semestinya pula bertukar menjadi matawang resmi atau matawang yang mempunyai ‘legal tender’. Ia hanyalah sah dan diperakukan dalam komuniti dan kontenks tertentu. Malah, mereka yang menyediakan perkhidmatan sebegini tidak pernah menyatakan bahawa sistem mereka adalah berfungsi sebagai matawang resmi negara.
Adakah ini tidak sama dengan peranan dan sikap matawang kripto dalam banyak dimensi yang hampir serupa?
Isu Kedua: Keperluan ‘intrinsic value‘
Isu yang kedua ialah kefahaman sebahagian para ulamak bahawa matawang dalam agama Islam perlukan kepada nilai atau nilai pendasar (intrinsic value) untuk diperakui sebagai matawang yang sah dari segi syarak. Ini adalah satu penghujahan yang logik, baik dan menarik perhatian ramai orang. Ramai orang awam tertarik dengan penghujahan sebegini. Ini memang dijangka kalau kita menjadikan wang emas dan perak sebagai sandaran kepada matawang negara.
Memanglah logam emas dan perak secara fitrah kejadiannya mempunyai nilai yang melekat dengan fizikal mereka masing-masing tak kisahlah apa yang berlaku atas dunia ini. Apabila wang dicetak menggunakan emas dan perak sebagai aset pendasar (seperti yang berlaku di zaman awal Islam menggunakan kepingan wang emas dan perak kerajaan Rom sehinggalah ditukar di permulaan kerajaan Umayyah kepada dinar dan dirham Islam), maka mawatang ini secara automatik dianggap mmempunyai nilai pendasarnya iaitu emas dan perak.
Kalau kita melihat dari arah pandangan ini, memanglah wang dinar dan dirham (seperti di zaman lampau) mempunyai nilai tersirat dan pendasar bukan kerana mereka adalah matawang tetapi kerana aspek kelogaman yang unik yang mereka ada. Namun, dalam perbincangan Syariah tentang fekah mawatang samada di zaman dahulu atau kontemporari, tidak ada disyaratkan bahawa matawang yang patuh Syariah mestilah berasaskan kepada emas atau perak atau mana-mana pendasar tertentu.
Saya amat teruja bagi melihat mana-mana teks wahyu ataupun pandangan ulamak secara kebanyakan yang meletakkan syarat sedemikian. Namun, ini semua tidak ada. Sehubungan itu, para ulamak semasa dan keseluruhan majamik fiqhiyyah (agensi kajian fekah antarabangsa) tidak ada halangan kepada matawang siling dan kertas yang bebas daripada unsur logal emas dan perak. Malah, mereka telah meletakkan hukum wajib zakat dan pengharaman riba ke atas matawang sebegini.
Apakah ukuran Syariah kepada matawang patuh Syariah? Setiap mawatang yang diterima dan diperakui oleh sesebuah komuniti atau negara atau peringkat antarabangsa adalah matawang yang patuh Syariah. Ukurannya adalah ‘uruf itu amalan dan penerimaan semasa. ‘Uruf adalah salah satu teknik pembentukan hukum fekah dalam Islam. Kaedah dan teknik ini banyak digunakan dalam muamalah semasa bila ketiadaan teks-teks wahyu yang spesifik seperti pembayaran dividen saham berdasarkan nilaian buku (book value) saham dan bukan nilai semasa (market value) dan juga isu pemberian waranti atau tiada waranti kepada produk-produk tertentu.
Dalam kes-kes sebegini, minda Syariah mestilah berfungsi sepenuhnya lebih dari minda orang awam dan minda kecenderungan peribadi. Setiap pandangan fekah mesti ada epistomologi atau alasan Syariahnya yang koheran dan sistematik.
Isu Ketiga: Harga pasaran matawang kripto
Isu ketiga adalah berkaitan dengan fenomena harga pasaran matawang kripto sejak ia diperkenalkan mulai tahun 2009 khususnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh kerana naik-turun harga mawatang kripto yang melampau (berasaskan kepada nilaiannya dalam matawang Amerika), maka ini dianggap sebagai gharar atau kejahilan dan ketidaktentuan yang boleh membatalkan sesuatu barang dan transaksi dalam ajaran Islam. Ini akan memberikan kesan negatif kepada pemilik atau peniaganya. Shariah datang untuk menghilangkan ketidaktentuan dan kesan negatif yang melampau dalam masyarakat. Apa yang lebih menarik, hujah sebegini turut dituturkan oleh para sarjana Islam yang muktabar di seluruh dunia.
Memang naik-turun harga sesuatu barang apatahlagi matawang adalah sesuatu yang menakutkan. Ada matawang negara tertentu yang sudah hilang nilainya sama sekali, jika tidakpun kemerosotan nilai yang menjunam. Tapi ini semua adalah sunnatullah atau perkara yang mungkin berlaku (selama mana ianya tidak ada campur tangan dan konspirasi manusia seperti yang berlaku dalam krisis matawang Asia Tenggara dalam era 1997/1998). Harga sesuatu perkara adalah urusan permintaan dan bekalan ( dengan syarat tiada minda jahat tindakan manusia yang jahat). Ini semua adalah di luar kawalan Shariah (dan juga manusia). Shariah tidak mentaklifkan kita bagi menjamin kestabilan harga sesuatu barang termasuk harga emas dan perak dan juga minyak.
Apa pula bicara dan cara fikir Syariah atau minda Syariah dalam hal ini? Harga sesuatu barang atau matawang mesti jelas hanya pada masa akad atau kontrak. Ini adalah kehendak Syarak bagi mengelakkan unsur gharar atau ketidaktentuan dan kejahilan. Ini adalah kata sepakat minda Syariah sejak berzaman. Namun, pertukaran dan perubahan harga barang atau matawang selepas kontrak bukanlah aspek Syariah yang perlu dipatuhi.
Ini adalah risiko dan juga peluang keuntungan yang perlu ditanggung oleh pihak-pihak yang berkontrak. Fenomena ini dinamakan sebagai khatar iaitu risiko kewangan selepas transaksi. Ia berlaku dalam semua kontrak yang patuh Syariah seperti murabahah, mudarabah, pelaburan saham malah dalam pembelian emas dan pertukaran mawatang asing. Ini adalah sifat semula jadi bisnes dan perniagaan.
Kalau ini adalah sesuatu yang terlarang atau dilabelkan sebagai gharar(oleh sebahagian ulamak Islam semasa), maka bukan sahaja pembelian matawang kripto adalah haram malah semua barang dan perkhidmatan yang mempunyai harga naik-turun yang mendadak adalah turut haram. Kalaupun ini adalah hujah Syariah yang sah (sebagai andaian semata-mata), bagaimana pula kita ingin mengukur tahap naik atau turun yang dikatakan mendadak yang boleh menukar hukum harus kepada haram? Adakah kita merujuk kepada 50% daripada harga asal atau lebih lagi atau kurang? Susah untuk dijawap dengan alasan Syariah.
Dalam pengajian Syariah sejak 1400 tahun yang lepas, dalam semua kontrak yang diperakukan, fenemona risiko kerugian atau keuntungan bukanlah satu perkara yang boleh menjadikan sesuatu kontrak itu halal atau haram selama mana tidak ada penipuan (khilabah) dan kecurangan. Hairan juga mengapa sebahagian ulamak dan sarjana Islam semasa keliru antara gharar dan khatar dalam artikulasi mereka.
Isu Keempat: Matawang kripto tidak boleh diselia
Isu keempat adalah persepsi yang meluas bahawa matawang digital adalah tidak boleh diselia dengan baik. Lantaran itu, ini akan membuka pintu yang seluas-luasnya kepada amalan kewangan yang tidak sihat seperti ketiadaan pematuhan kepada polisi ‘know your customer (KYC)’, aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) dan juga pendanaan aktiviti yang mengancam negara dan dunia (seperti aktiviti keganasan). Sekali lagi, masyarakat percaya bahawa ini adalah benar dan seterusnya ini akan membahayakan ekosistem kewangan yang sihat.
Kalau perkara ini adalah benar dan pasti, sudah pasti saya akan terus meninggalkan bidang kajian saya ini tentang matawang kripto kerana ini akan meruntuhkan apa sahaja yang kita telah bina selama ini. Kita perlu menjaga keluhuran dan ketelusan transaksi kewangan kita. Tidak boleh tolak ansur dan kompromi sama sekali. Hukum matawang kripto adalah haram jadinya.
Namun, adakah persepsi ini benar? Ia mungkin benar sekiranya para pengamal matawang digital tidak mahu menjadikan sistem dan operasi mereka dikaitkan dengan sistem pengawal-seliaan sedia ada dalam mana-mana negara. Berita baik untuk semua. Mawatang kripto dan ekosistemnya (open and distributed) adalah lebih telus daripada mawatang fiat di mana setiap transaksi kewangan dapat dipantau dengan lebih tepat dan terbuka. Sebarang perpindahan, pertukaran dan transaksi berkaitan matawang digital mesti dilakukan secara terbuka melalui sistem pengesahan dan perakuan yang berbentuk kolektif. Di sini, pihak penguatkusa boleh terlibat sama dalam proses pengawalan kerana semuanya mesti melalui sistem internet.
Ini semua tidak boleh berlaku dalam mawatang fiat. Sehubungan itu, kecurangan kewangan masih berleluasa dalam masyarakat dunia sekarang kerana wang fiat yang ada sekarang (yang haram) boleh dipinda di luar sistem perbankan dan kewangan. Ada banyak cara dipindahkan wang tanpa melalui sistem perbankan.
Berita baik ialah ini tidak mungkin berlaku dalam konteks matawang digital sekiranya ini dijadikan sebahagian daripada pengawal-seliaan negara. Tidak keterlaluan kalau disebut di sini bahawa kaedah penggunaan matawang digital lebih dekat dengan konsep maqasid al-Syariah dalam memerangi rasuah dan jenayah kewangan di zaman moden ini berbanding penggunaan wang fiat. Agak pelik juga kenapa wang fiat boleh diterima sebagai patuh Syariah walaupun sudak terbukti banyak kali di mana kes-kes rasuah dan penggubahan wang haram telah berlaku melalui instrument wang fiat.
Perlu saya jelaskan di sini bahawa saya tidak mengatakan bahawa apabila berlaku rasuah dan penggubahan wang haram maka sesuatu matawang itu – samada matawang fiat atau digital atau apa sahaja bentuknya – akan dianggap haram. Ia tidak ada kaitan sama sekali dengan keharusan dan kesasihan sesuatu bentuk matawang. Rasuah juga boleh berlaku dalam matawang bersandarkan bahan logam emas dan perak.
Ini semua berkaitan dengan minda jenayah dan minda jahat manusia. Dosa dan hukum Syarak bukan terletak pada bentuk matawang tetapi kepada tindakan manusia. Saya timbulkan isu dan cara penghujahan bagini kerana terkilan kerana sebahagian ulamak menggunakan isu ketidakpatuhan undang-undang sebagai alasan untuk tidak membenarkan matawang digital sedangkan isu ketidakpatuhan undang-undang ini berlaku juga dalam matawang fiat malah tetap berlaku dalam matawang dinar dan dirham di masa lepas.
Isu Kelima: Skim penipuan matawang kripto
Isu kelima dan keenam adalah saling berkait rapat. Terdapat suara dan minda Syariah yang kuat yang menyatakan bahawa mawatang digital ditakuti akan membuka skim penipuan yang besar (kerana ini bidang baru dan ramai yang tidak memahaminya) dan ini seterusnya akan membawa kepada orang ramai terjebak dalam kesan buruk sebagai akibat akhir nanti. Akibat buruk adalah dilarang oleh Syariah berdasarkan prinsip sadd al-dhari’ah atau ma’al al-tatbiq iaitu hukum sesuatu perkara dan tindakan itu perlu dilihat dari kesan akhirnya walaupun mungkin kerangka dan sifat sesuatu kontrak itu adalah harus dan suci daripada semua larangan Syarak. Ini adalah penghujahan Syariah yang relevan sepanjang zaman dan setiap tempat bagi melindungi masyarakat khususnya masyarakat awam.
Tidak dapat dinafikan bahawa apabila sesuatu perkara atau kontrak itu tidak jelas atau kurang difahami, maka ramai akan tertipu dengan skim penipuan (scam) yang mungkin tumbuh macam cendawan selepas hari hujan. Menariknya, fenomena ini berlaku juga dengan meluas dalam transaksi lain seperti saham, emas, hartanah dan juga pertukaran mawatang asing (FOREX). Kegiatan penipuan ini sudah berlaku dan masih berlaku dengan aktif dalam masyarakat oleh mereka yang mengambil kesempatan dan mempunyai minda jenayah. Undang-undang negara perlu lebih ketat dan tegas dalam menanggani salah laku ini melalui skim kewangan yang tidak mematuhi undang-undan dari segi penzahiran dan bentuk transaksi tertentu.
Walaupun perkara penipuan ini berlaku dalam sektor-sektor ini, agensi dan badan Syariah di negara tidak pula membuat keputusan bahawa aspek transaksi emas atau saham atau perniagaan matawang asing adalah tidak dibenarkan secara keseluruhannya kerana takut membuka pintu kepada skim penipuan. Apa yang telah berlaku di masa lepas dalam kes yang sama adalah membezakan antara transaksi yang patuh undang-undang dan juga Syariah dan juga aktiviti-aktiviti yang tidak patuh undang-undang sama sekali. Apabila sesuatu transaksi itu tidak mematuhi undang-undang negara pada asalnya, maka tidak perlu kepada penghujahan Syariah kerana keputusan Syariah diperlukan hanya dalam perkara dan bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam isu matawang kripto khususnya dalam perkara-perkara yang difikirkan boleh membawa kepada keburukan dan kesan buruk berdasarkan prinsip ‘menutup pintu keburukan’ atau sadd al-dhari’ah, alangkah elok kalau difokuskan perhatian kita kepada cara mengatasi amalan dan skim penipuan dalam masyarakat berkaitan matawang kripto, sekiranya ada. Inilah pendekatan yang lebih baik dan sejahtera daripada memberi satu keputusan Syariah semata-mata berdasarkan kepada rasa takut terjebak dalam perkara yang buruk.
Ini adalah kerana perkara buruk yang dibimbangi ini hanyalah satu anggapan semata-mata dan mungkin satu perkara yang tidak relevan sama sekali seperti digunakan contoh bagaimana beberapa pasaran (exchange) matawang kripto telah digodam untuk tidak membenarkan penggunaan dan transaksi menggunakan matawang digital.
Memang betul beberapa pasaran ini telah digodam tetapi sehingga sekarang tidak ada mana-mana matawang kripto yang bereputasi dan berteknologi tinggi yang telah digodam. Penggunaan contoh pasaran atau bursa matawang digital dalam penghujahan sadd al-dhariah adalah tidak tepat sama sekali. Dalam kaedah Syariah berkenaan sadd al-dhariah, keburukan yang ingin dijauhi dan dibimbangi adalah satu perkara yang sifat keburukannya adalah sudah jelas dan bukan andaian atau anggapan semata-mata.
Lagipun dalam Shariah, ada juga kaedah fath al-dhariah iaitu membuka pintu kepada kebaikan iaitu melakukan satu perkara yang baru yang akan membawa kepada hasil yang baik atau lebih baik. Mengapa kita tidak dapat melihat matawang digital sebagai pembuka mekanisma membenteras jenayah kewangan dengan lebih mudah, pengukuran impak (pengagihan zakat dan wakaf) yang lebih berkesan dan juga pengurangan kos pengurusan kewangan dalam banyak segi dan keadaan?
Sebagai kesimpulan, saya ingin simpulkan di sini bahawa matawang digital yang mempunyai segala ciri-ciri teknologi yang tinggi seperti kriptografi dan blockchain adalah satu bentuk pertukaran transaksi kewangan yang baru samada melibatkan pertukaran barang atau perkhidmatan. Persoalan yang lebih besar lagi; adakah ia satu bentuk matawang yang mengambil hukum matawang dalam Syariah (iaitu ahkam al-sarf) atau ianya merupakan satu komoditi atau ianya merupakan satu alat pertukaran tetapi tidak sampai ke tahap dan fungsi matawang.
Secara peribadi, saya berpandangan bahawa setiap matawang digital yang cukup syarat-syaratnya (melainkan stable coin atau dikenali juga sebagai ‘fiat digital’ iaitu matawang digital yang dikeluarkan oleh sesebuah negara bagi membuat sandaran langsung kepada matawang resmi negara dalam bentuk digital) adalah bukan matawang (al-naqd). Ia tidak mempunyai ciri-ciri yang cukup untuk menjadi satu matawang baru dalam negara moden pada hari ini.
Sekiranya ia bukan matawang, apakah pula bentuk sebenar instrumen ini yang dikenali dengan matawang digital ini? Dalam konteks ini, saya ingin menyimpulkan pandangan peribadi bahawa ianya adalah satu alat pertukaran (medium of exchange) yang diterima dan diperakukan dalam kelompok masyarakat tertentu. Namun, sifatnya sebagai alat pertukaran ini tidak menjadikan dirinya sebagai matawang yang boleh menyimpan nilai (store of value) dan sebagai satu unit pengukur harga dan nilai (unit of measurement). Dalam bahasa teknikal (dalam bahasa Inggeris), ia adalah “medium of exchange but not amounting to money or currency”.
Buat masa sekarang, terdapat lagi banyak perkara dan instrumen lain – selain matawang digital – yang boleh menjadi alat pertukaran membeli barang atau perkhidmatan tetapi perkara dan instrumen ini bukanlah berbentuk matawang. Ini adalah satu manifestasi fekah yang berbentuk dinamik. Alat pertukaran boleh terbentuk dalam bentuk mata (points), perkhidmatan, token, kod tertentu (seperti matawang digital) dan pelbagai lagi kemungkinan yang diterima masyarakat dengan penuh kepercayaan sebagai landasan atau pendasar bagi membeli apa-apa barang dan perkhidmatan.
Ini adalah pandangan peribadi saya di waktu dan saat ini. Mungkin di masa hadapan, disebabkan penerimaan yang lebih menyeluruh daripada negara dan agensi dunia, matawang digital tertentu mungkin boleh menjadi matawang sebenar sebagai tambahan kepada matawang lain yang berbentuk bercetak. Apabila ini berlaku, matawang digital bukan lagi berbentuk komoditi yang juga berperanan sebagai alat pertukaran. Di saat itu, ia akan bertukar menjadi matawang resmi negara atau dunia dengan memenuhi semua syarat-syarat sebagai matawang resmi negara/dunia.
Datuk Dr Mohd Daud Bakar
Pandangan dalam artikel ini tidak semestinya mengambarkan pandangan mana-mana institusi dan organisasi yang mungkin penulis terlibat secara langsung atau tidak langsung.
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.