Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Menilai Semula Fatwa Tentang Bitcoin Oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan

 

Baru-baru ini aku dikejutkan dengan fatwa dari Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan yang mengatakan penggunaan bitcoin adalah diharamkan syarak. Jabatan Mufti Wilayah merupakan institusi yang aku hormati terutama muftinya yang mempunyai hubungan yang baik dengan aku. Sebelum fatwa tersebut dikeluarkan, aku dengan sahabat aku, Fdaus Ahmad (Pidomat) telah menziarahi mufti. Aku telah menghadiahkan buku 50 Dalil Kenapa Anda Wajib Memiliki Bitcoin kepada mufti. Aku juga telah diperkenalkan dengan ketua pengkaji bitcoin dari unit fatwa, aku lupa nama ustaz tersebut.

Aku sedar mufti telah memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada kumpulan pengkaji itu untuk memberikan input terbaik bagi pengeluaran fatwa. Ketika berdiskusi dengan ustaz terbabit, amat jelas beliau masih gagal memahami dengan baik tentang apa itu bitcoin dan bagaimana teknologi blockchain itu berfungsi. Sehingga ketika pulang, Pidomat menyatakan keraguan tentang bagaimana mereka mengeluarkan fatwa nanti. Kata Pidomat,

“Macam mana depa nak keluarkan fatwa, confirm fatwa depa tak credible..”

Ohya, ketika itu ustaz tersebut menyatakan mereka akan ke Jepun untuk mengkaji tentang bitcoin. Hal ini menjadi bahan ketawa kami. Pidomat tanya aku,

“Depa nak buat apa pi sana? Cari Satoshi ka?”

Menurut seorang yang aku kenali, rombongan besar mereka ke sana berjumpa dengan syarikat-syarikat yang menjalankan exchange. Pada aku, jika itu tujuannya, ianya hanya sebuah pembaziran wang rakyat. Tak perlu pergi jauh untuk faham, teknologi blockchain bukan sains roket!

Setelah aku menerima link fatwa tersebut, aku terus menghubungi sahabat aku yang baru-baru ini dilantik menjadi ahli majlis fatwa di sana. Beliau menjawab ringkas,

“Aku tak setuju keputusan fatwa itu, tapi majority begitulah..”

Hal ini membuktikan fatwa itu juga tidaklah mencapai consensus di kalangan ahli majlis fatwa. Khilaf telah berlaku di kalangan mereka, Aku kira jika aku bertemu seorang demi seorang ahli-ahli majlis fatwa tersebut, bertanyakan tentang bitcoin dan teknologi blockchain, pasti mereka akan gagal menjawab dengan baik, jika ia dirakamkan pasti aku mampu meruntuhkan kredibiliti institusi fatwa itu. Tapi itu bukan cara aku.

Kita panggil ahli-ahli majlis fatwa wilayah untuk diinterogasi untuk fatwa ini? Ok tak?

Kan khilaf diantara ummah itu adalah rahmat. Buat mereka yang mahu mengharamkan bitcoin, gigitlah dengan gigi geraham fatwa tersebut. Aku yang berpendirian sebaliknya, kekal bersama Dr. Zaharuddin, Dr. Daud Bakar dan mereka yang mengharuskannya. Cumanya di sini, aku ingin menilai kembali kekuatan hujah fatwa tersebut. Dapat dilihat dengan jelas yang mereka tidak melakukan kajian mendalam terhadap hujah-hujah Dr. Zaharuddin dan Dr. Daud Bakar kerana hujah-hujah mereka hanya dipetik melalui keratan-keratan video tanpa bermulazamah secara berdepan.

Tahukah mereka yang Dr. Zaharuddin telah mengkritik (radd) pandangan Dr. Ali Qurrah ketika ulama’ besar itu berada di Malaysa. Hujah Dr. Zaharuddin begitu mantap sehingga mereka yang ada di sana bersetuju dan kelihatan Dr. Ali Qurrah tidak boleh “move on” dan merepek-repek tanpa arah. Adakah mereka telah merujuk kepada hujah Dr. Zaharuddin tersebut secara tuntas?

Seminar blockchain kebangsaan baru-baru ini juga khabarnya Universiti Malaya telah menjemput pejabat mufti. Malangnya tiada kehadiran atau wakil daripada pihak pejabat mufti. Aku bukan apa, aku tau kebanyakan ustaz-ustaz di pejabat mufti tidaklah lancar dan bagus Bahasa Inggerisnya termasuk mufti. Maka seminar dalam Bahasa Melayu ini amatlah baik untuk mereka. Malangnya mereka memilih untuk tidak hadir.

Fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa tersebut adalah tarjih diantara dua pandangan haram dan harus. Disebabkan isu ini adalah isu muamalat, maka mereka harus mencari hujah untuk mengharamkannya kerana kaedah mengatakan,

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Maka, eloklah aku terus focus kepada hujah-hujah kenapa mereka mengharamkannya. Asas kepada pengharaman tersebut adalah menggunakan kaedah Sadd Zari’ah (سد الذريعة) atau Sadd Zara’i (سد الذرائع). Apa maksudnya?

انه من باب منع الوسا ئل المؤديةإلى الفا سد

Maksudnya : menutup jalan yang membawa kepada kebinasaan atau kejahatan.

Di dalam fatwa tersebut dituliskan kebaikan (maslahah) tentang penggunaan bitcoin yang aku kira sangat cliché, amat jelas selepas pulang dari Jepun pun mereka masih gagal faham nilai intrinsic yang ada dalam bitcoin dan juga kelebihan-kelebihan yang menyebabkan kenapa bitcoin dipercayai. Aku masih ragu-ragu siapakah pakar yang menjadi rujukan mereka. Adakah mereka benar-benar pakar? Siapa mereka? Dengan kegagalan ini, bitcoin dilihat kurang kelebihan yang sangat baik.

Maka segala keburukan (mafsadah) penggunaan bitcoin yang tertulis di dalam fatwa tersebut adalah hujah bagi para ahli majlis fatwa yang majority itu untuk ditimbang. Mereka memilih timbangan mafsadah supaya jauh lebih berat dari timbangan maslahah dek kerana mafsadahnya dilihat kuat dan maslahahnya dilihat ringan. Maka hasil dari pilihan ahli yang majority itu, maka penggunaan bitcoin difatwakan haram menggunakan kaedah sad zara’I iaitu mahu menutup segala keburukan yang berlaku kerana bitcoin.
Baik, aku akan menelusuri satu persatu hujah-hujah mafsadah mereka.

• Bitcoin tidak mempunyai sandaran nilai yang stabil dan tetap.
1. Kenyataan ini tiada dalil yang jelas dari quran dan Sunnah untuk mengharamkan sesuatu perkara. Maka aku kira ianya hanya pandangan mereka. Duit kertas pula disandarkan pada apa untuk zaman ini?
2. Mereka harus sedar nilai sesuatu barang itu datang dari supply dan demand sebagaimana emas dan perak. Siapa yang memberi nilai kepada emas dan perak? Manusia bukan? Begitu juga bitcoin.
3. Kestabilan tidak menjadi hujah untuk sesuatu perkara itu menjadi haram sebagaimana harga saham, harga emas, perak, dan komoditi minyak sawit, getah dan koko.
4. Untuk pengetahuan, untuk mengeluarkan 1 bitcoin, ia mempunyai kos mining. Kos mining itu adalah kuasa elektrik dan masa. Adakah itu bukan nilai?

• Terdapat unsur-unsur gharar dalam transaksi bitcoin khususnya di peringkat bursa (exchange).
1. Inilah bukti kegagalan mereka memahami tentang bitcoin. Kenapa bitcoin dipersalahkan jika kewujudan unsur gharar (uncertainty) di dalam exchange?
2. Unsur gharar dan bahkan riba wujud di bank, adakah duit kertas menjadi haram kerana masalah di bank?
3. Apakah jenis gharar yang berlaku? Mendakwa produk teknologi blockhain mempunyai unsur gharar adalah kesalahan yang fatal atau mungkin kegagalan memahami maksud gharar.
4. Stock market juga dikatakan mempunyai unsur gharar oleh sesetengah ulama’ kerana ia boleh dimanipulasi oleh pemilik dan pemain, bahkan boleh di”delist” juga. Masa listed RM2, masa delist RM0.60. Kebanyakan kes delist adalah jauh lebih rendah dari ketika ia listed.

• Ia boleh dimanipulasi sebagai dana mudah bagi penjenayah untuk membiayai kegiatan keganasan dan penjenayah siber.
1. Sebelum wujudnya bitcoin, bagaimana Al-Qaeda, Taliban, Boko Haram, Abu Sayyaf, LTTE dan segala gerakan pengganas mendapatkan dana? Kenapa instrument itu tidak diharamkan?
2. Tahukah ahli majlis fatwa yang bitcoin tidaklah anonymous. Rujuk sini, dalam Bahasa Melayu (https://coin.my/…/apa-sebenarnya-konsep-anonymity-dalam-ma…/)
3. Tahukah majlis fatwa tentang peristiwa Silk Road? Bagaimana mereka boleh ditangkap? Itulah perlukan ilmu!
4. Umpama pisau, ia boleh digunakan untuk memotong sayur, ia boleh juga digunakan untuk membunuh. Adakah pisau yang akan dihukum jika ada yang menggunakan pisau untuk membunuh?

• Sistem keselamatan di bursa dagangan bitcoin juga boleh mengundang masalah apabila pernah beberapa kali digodam sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dolar.
1. Sejak zaman berzaman, bank telah dirompak, kedai emas disamun, bahkan bank juga pernah digodam. Semua ini menyebabkan kerugian yang jauh lebih besar dari nilai kerugian penggodaman yang berlaku di dalam exchange bitcoin.
2. Adakah kegagalan system keselamatan bank menjadikan duit atau emas yang disimpan di bank menjadi haram? Tidak bukan? Sistem kesalamatan harus diperhebatkan bukan?
3. Begitu juga masalah dengan exchange bitcoin, kelemahan system keselamatan bukanlah salah bitcoin. Sistem keselamatan syarikat exchange yang harus dipersalahkan dan diperkuatkan.
4. Bahkan, rompakan di bank dan kedai emas jauh lebih dahsyat kerana melibatkan kehilangan nyawa, rompakan di exchange bitcoin ada yang kehilangan nyawa? Jika pertimbangan maslahah dan mafsadah, bank lagi bahaya kerana melibatkan kehilangan nyawa!

• Bitcoin merupakan satu mata wang yang tidak diawasi oleh mana-mana badan berautoriti.
1. Di awal fatwa telah diterangkan yang bitcoin tidak memenuhi ciri-ciri matawang Islam. Jadi jelas bitcoin bukanlah matawang. Jadi kenapa ia masih mahu diberi difinisi sebagai matawang?
2. Sebab itu kesemua ulama’ yang mengharuskan penggunaan bitcoin tidak mendifinisikan bitcoin sebagai matawang.
3. Kuda laut bukan kuda, anjing laut bukan anjing. Begitu juga matawang kripto, bukan matawang. Walaupun nama mereka ada kuda dan anjing di hadapannya.
4. Disebabkan majlis fatwa gagal memberikan definisi yang baik, maka kecelaruan ini amat jelas. Dr. Zaharuddin menganggap bitcoin sebagai digital asset, Dr. Daud menganggap bitcoin sebagai medium of exchange but not currency, aku pula memberikan difinisi baru iaitu digital komoditi.
5. Di seminar blockchain kebangsaan, difinisi ahli fiqh, ahli ekonomi dan ahli undang-undang tentang hal ini juga berbeza. Yang pasti, kesemua mereka menolak bitcoin sebagai matawang.
6. Samalah seperti emas, siapa yang kawal emas? Siapa pemilik emas? Jadi badan-badan yang dilantik akan menjaga ketulenan dan lain-lain perkara tentang emas sebagaimana kerajaan Jepun yang telah mengiktiraf bitcoin sebagai legal tender. Institusi pelaburan seperti Nasdaq dan Amercan Bank juga telah mendapatkan hak untuk pelaburan bitcoin.
7. Tahukah ahli majlis fatwa yang BNM telah membenarkan exchange di Malaysia berdaftar dan menjadi reporting body? Inilah permulaan BNM untuk mengawalselia.

• Mampu memberi ancaman kepada sistem kewangan negara.
1. Aku rasa bab ini elok ahli majlis fatwa tidak bercakaplah. Bukan kepakaran mereka.
2. Adakah ekonomi Jepun hancur disebabkan mereka mengiktiraf bitcoin sebagai legal tender?
3. Adakah ekonomi Singapura lunyai disebabkan menjadi negara mereka yang mesra kripto?
4. Cukuplah, point ini sangatlah lemah. Kenapa mereka tidak mempertikaikan duit kertas yang boleh diciplak dan diedarkan? Telah menyebabkan kerugian yang jauh lebih besar dan merosakkan system kewangan negara. Maka wang kertas juga wajar diharamkan?

• Munculnya berbagai-bagai skim pelaburan bitcoin yang kebanyakannya berasaskan skim cepat kaya (penipuan).
1. Aku tertanya-tanya sebelum wujudnya bitcoin, adakah skim cepat kaya tidak wujud atau tidak banyak? Pak Man Telo guna bitcoin ke?
2. Tok Belagak, Boy Iman, Swiss Cash dan Pengiran Adultery guna bitcoin ke buat scam?
3. Baru-baru ini kucing dijadikan asset untuk skim Ponzi, adakah kucing juga wajar dibincangkan untuk diharamkan?

• Kesimpulan yang dihighlight, adalah Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.
1. Tidak dinafikan memang tujuan asal bitcoin dicipta adalah untuk dijadikan matawang digital yang tidak dikawal oleh bank dan negara.
2. Tetapi malangnya tujuan, niat dan matlamat ini tidak tercapai kerana pengguna dan dunia menolak ia sebagai matawang.
3. Tetapi adakah menjadikan ia haram menurut syarak? Tidak sama sekali.
4. Kedah fiqh menyebut, والمكان الزمان الحكم تغير ينكر لا yang bermaksud tidak boleh dinafikan perubahan hukum akibat perubahan masa dan tempat. Maka perubahan terhadap bitcoin haruslah dihukum mengikut masa dan tempatnya, bukanlah dihukum pada keadaan, masa dan tempat yang sudah lagi tidak ada padanya.

• Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum. Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
1. Lihatlah begitu kucar kacir fatwa ini, di sebelah atas disebutkan bitcoin dilihat sebagai asset pelaburan, tetapi perenggan ini disebut tidak syar’iy kerana tidak menepati ciri-ciri matawang yang digariskan Islam. Tak menepati makanya bukanlah matawang. Simple.
2. Apa? Mahu penambahbaikan terhadap pengeluaran? Lihatlah betapa dangkalnya hujah ini. Jelas kegagalan mereka memahami teknologi ini menjadikan fatwa ini dilihat sangat kartun.
3. Pengawalan harga bukan dalil dalam syarak kerana asal hukum jual beli adalah open market, sebagaimana hadis Nabi yang tidak mahu mencampuri urusan harga barang. Untuk mengawal harga, kerajaan kenalah melibatkan diri, kalau diharamkan terlebih dahulu, bagaimana kerajaan mahu mengawalnya?
4. System keselamatan tidak menjadi hujah, sudah diterangkan di atas. Ia tiada kena mengena dengan bitcoin.
5. Regulasi memang perlu, itulah yang kerajaan di seluruh dunia sedang cuba lakukan.

• Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.
1. Jika bitcoin bukan matawang maka ia diharamkan, maka ia tersangatlah merepek.
2. Jika bitcoin itu diharamkan kerana dijadikan sebagai matawang, maka jumhur ahli kripto mengatakan bitcoin memang bukan matawang. Maka fatwa ini sia-sia.
3. Kenyataan bitcoin akan merosakkan system kewangan negara juga pandangan yang sangat cetek pengetahuan tentang monetary economics. Bagaimana dengan Ripple yang diguna oleh bank? Ripple itu hidup dengan matawang kriptonya sendiri. Tahu tak?

Maka aku simpulkan, fatwa ini wajar diabaikan sahaja oleh para pemegang kripto kerana ia kelihatan tidak bersedia dan terburu-buru. Mungkin kerana mereka ingin mengejar hype yang melanda Malaysia tempoh hari dek kerana kenyataan YB Khalid Samad. Dunia kripto ini tidak boleh dihalang sebagaimana internet tidak boleh disekat. Maka Islam akan terus mundur dan dilihat lawak jika fatwa yang gopoh sebegini didendangkan. Tajuk-tajuk utama media menggunakan nama ‘Islam melarang’ penggunaan bitcoin walhal yang melarang itu sekumpulan ustaz-ustaz sahaja, bukannya Islam.

Walaubagaimana pun, perkara ini adalah di dalam bab muamalat yang aku kira kita boleh berbeza pandangan. Sedangkan dalam hal ibadah juga kita berkhilaf tempat bersedekap, cara bertakbir, tangan atau lutut turun dulu ketika sujud, ini pula hal keduniaan. Cumanya aku merasakan fatwa ini akan menjadi tunggangan skim-skim yang mengeluarkan coin-coin mereka sendiri seperti DDKoin, Foin dan Lavida Coin kerana yang diharamkan hanya bitcoin.

Adakah majlis fatwa akan terus menerus mengeluarkan fatwa untuk setiap matawang kripto yang ada? Etherium, Ripple, Nem, Litecoin, Cardano, Iota? Adakah majlis fatwa ‘aware’ dengan jenis-jenis coin yang wujud seperti stacking, masternode dan utility? Aku secara peribadi merasakan mereka tidak punya ilmu tentang ini. Tidak sama sekali.

Wallahu’alam.

Akhukum fillah.

Aliff Ahmad
Pengarah Ifcon Technology
The Drone & IT Specialist

Nak beli buku? https://ifmal.com/product/50-dalil-kenapa-anda-wajib-memiliki-bitcoin/

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads