Default – Above Header Ads

Bolehkah Kerajaan mengawal selia Bitcoin dan Matawang Kripto?

Sejak kebelakangan ini, banyak pula berita tentang pengawalan bitcoin dan matawang kripto berlegar di sosial media. Tindakan kerajaan China melarang ICO dan mengawasi platform pertukaran pada tahun 2017 seolah-olah membuka jalan untuk negara-negara lain mula membuat perancangan mengawal matawang kripto di negara masing-masing.

Penulis pernah membincangkan kesan pengawalan Bitcoin di Jepun dan juga secara ringkas, implikasi jika kerajaan Malaysia membuat larangan ke atas penjualan matawang kripto. Penulis juga ada bercerita tentang negara-negara yang mesra Bitcoin, dan dalam senarai itu, tidak semua negara yang mempunyai rangka undang-undang untuk pengawalan Bitcoin dan matawang kripto.

Tahun 2018 boleh dikatakan tahun kerajaan seluruh dunia mengambil serius pengaruh dan impak matawang kripto di dalam dunia sebenar. Banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Korea, malah Malaysia sendiri dan baru-baru ini India, Pakistan dan Australia mengeluarkan kenyataan tentang pengawalan ke atas matawang kripto.

Dan tahun 2019 bakal membuka tirai kepada peraturan berkenaan kripto di Malaysia, akhirnya. Adakah regulasi akan membawa Malaysia beberapa langkah ke hadapan dalam dunia Blockchain ini?

1 Dua perkara yang dibuktikan daripada pengawalan Matawang Kripto

Pengawalan Bitcoin dan matawang kripto akan membuktikan dua perkara. Yang pertama, negara-negara di dunia tiada pilihan lain selain daripada mengiktiraf matawang kripto. Mungkin bukan sebagai matawang atau sekuriti mahupun komoditi, tetapi pengiktirafan bahawa dunia matawang kripto sudahpun menembusi hampir serata dunia. Sama ada matawang kripto mampu dikawal oleh kerajaan atau tidak adalah persoalan seterusnya.

Yang kedua adalah matawang kripto mampu menjejaskan kedudukan sebuah kerajaan sebagai penguasa dari segi kewangan. Selama ini bank dan institusi kewangan mendapat kebenaran dan lesen dari pihak kerajaan untuk mencetak wang kertas baru. Ini adalah antara polisi kewangan (monetary policy) yang telah ditetapkan bank negara untuk mengawal inflasi, selain daripada menaik dan menurunkan kadar faedah (interest rate). [Nota: Penulis tidak akan menerangkan dengan lebih mendalam, dan jika anda berminat tentang topik ini boleh baca siri asal usul bank di coin.my.]

Dalam kes matawang kripto khususnya Bitcoin, ianya tiada kuasa pusat dan sifatnya yang decentralized menyebabkan ia amat mustahil untuk kerajaan menguasai transaksi Bitcoin. Tambahan lagi, pengeluaran Bitcoin telah pun ditetapkan pada 21 juta, jadi tiada polisi atau peraturan yang boleh ditetapkan untuk mempengaruhi penggunaan Bitcoin. Walaupun kebanyakan matawang kripto dikuasai oleh penciptanya, sifat decentralized dari segi pengeluaran dan pengesahan transaksi masih lagi dikekalkan. Satu-satunya cara untuk kerajaan menguasai sesuatu matawang kripto adalah dengan mencipta matawang kripto sendiri.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.