Default – Above Header Ads

KEGUNAAN ILMU STATISTIK DALAM TRADING SAHAM

“Berapakah untung dan rugi anda? Berapa lama anda telah melibatkan diri dalam trading?” Pertanyaan seperti ini mudah untuk dijawab oleh trader. Namun adakah para trader dapat mengekalkan prestasi dalam trading untuk jangka masa yang panjang atau apakah pelan trading pada masa akan datang. Untuk mendapatkan ilmu technical analysis secara menyeluruh, apa sebenarnya yang traders perlukan untuk menguasai stock market? Sudah tentu soalan ini tidak mudah untuk dijawab bagi para trader sekiranya mereka tiada STATISTIK.

APA ITU STATISTIK?

Statistik merupakan satu kaedah untuk menyusun, meringkaskan, membentangkan dan menganalisis data supaya dapat memberikan penilaian atau kesimpulan dalam berbentuk kuantitatif (nombor). Data ini akan digunakan bagi membantu membuat sesuatu keputusan yang munasabah.

Statistik boleh digunakan dalam pelbagai bidang. Contohnya dalam bidang bola sepak, statistik dapat digunakan untuk menilai pemain, pasukan, dan analisis perlawanan bagi membantu meningkatkan kualiti pasukan. Statistik dapat mengenal pasti kelemahan pasukan dan membantu untuk menaikkan persembahan individu pemain mereka sendiri.

Oleh itu, bidang perniagaan atau perdagangan juga tidak terkecuali. Statistik boleh digunakan untuk menilai prestasi syarikat dan pekerja. Syarikat juga memerlukan data supaya mudah untuk membuat keputusan atau ramalan mengenai masa depan perniagaan.

APAKAH KEPENTINGAN STATISTIK DALAM TRADING SAHAM?

Trading tanpa statistik sangat sukar kerana perniagaan ini penuh dengan risiko dan ketidakpastian. Ini disebabkan oleh harga saham yang dipengaruhi oleh kekuatan pasaran setiap hari. Sekiranya ramai orang membeli saham (permintaan) daripada menjual (penawaran), maka harga akan naik. Sebaliknya, jika lebih banyak orang ingin menjual saham daripada membeli saham, penawaran melebihi permintaan dan harga akan turun. 

Oleh sebab itu, statistik sangat penting kerana ia dapat mengurangkan kadar ketidakpastian dan dapat meningkatkan prestasi anda dalam trading. Untuk meningkatkan prestasi anda dalam trading, anda seharusnya membuat keputusan berpandukan data daripada pendapat. Contohnya, daripada 10 saham yang anda beli, 9 yang menguntungkan dengan menggunakan isyarat yang sama. Ini menunjukkan bahawa kebarangkalian untuk jadi adalah lebih tinggi. Dengan ini, ia dapat meningkatkan keyakinan anda dalam trading.

Selain itu, empat statistik perdagangan saham akan dibincangkan dan boleh diguna pakai oleh para trader bagi mengukur prestasi trading anda. Dengan kata lain, statistik dapat menentukan anda adalah seorang trader yang berjaya atau tidak.

STATISTIK PERDAGANGAN #1: KADAR KEUNTUNGAN

Kadar keuntungan adalah berapa banyak dagangan yang untung daripada semua trading anda. Sebagai contoh, daripada 7 dagangan sehari, 5 yang menguntungkan. Oleh itu, kadar keuntungan harian adalah 5 daripada 7 atau 71.4%.

Namun, ia bukan pengukur keuntungan yang anda perolehi dalam seharian. Sekiranya purata kerugian anda lebih besar nilai daripada keuntungan yang anda perolehi, anda masih tidak dapat mengaut keuntungan daripada hasil trading saham. 

Oleh demikian, anda seharusnya mempertimbangkan risiko anda untuk memberi ganjaran nisbah pada masa yang sama.

STATISTIK PERDAGANGAN #2: NISBAH RISIKO KEPADA GANJARAN

Sebagai trader anda perlu memikirkan berapa banyak keuntungan yang anda mahukan dan berapa besar risiko yang perlu diambil sekiranya trading anda tidak menjadi. Hubungan kedua-dua disebut sebagai nisbah risiko kepada ganjaran. Sebagai contoh, jika risiko dan keuntungan yang diambil adalah sama iaitu $500, maka risiko:ganjaran adalah 1:1. Kedua, jika mengambil risiko $500 dan mengambil keuntungan sebanyak $250 maka risiko:ganjaran adalah 2:1. Ini bermaksud anda mengambil risiko yang lebih tinggi dari ganjaran. Berbeza sekiranya jika anda mengambil risiko sebanyak $500 dan keuntungan sebanyak $1000, maka nisbah ganjaran adalah 1:2. 

Anda harus mempunyai nisbah risiko kepada ganjaran yang rendah. Dengan ini akan dapat membantu anda mengurangkan kerugian dan mengoptimumkan keuntungan.

STATISTIK PERDAGANGAN #3: BILANGAN DANGANGAN

Bilangan dagangan adalah amat penting kerana ia menentukan berapa banyak wang yang dihasilkan melalui trading. Kurang atau lebih dagangan tidak semestinya lebih baik, tetapi untuk mendapatkan keputusan yang konsisten memerlukan bilangan dagangan yang banyak supaya dapat membuat kesimpulan bahawa trading anda menguntungkan pada jangka masa yang panjang

Sekiranya keuntungan yang sah ialah $100 bagi setiap perdangangan, sudah semestinya semakin banyak perdangangan saham yang kita akan beli atau jual untuk menghasilkan lebih banyak wang. Namun, kita harus menjaga statistik agar tidak mengambil perdangangan yang berkualiti rendah dan menyebabkan kadar keuntungan semakin menurun.

Satu perkara yang pasti, jika trading anda tidak menguntungkan, jangan terlibat dengan trading dengan menggunakan wang sebenar sehingga anda yakin dengan statistik dan pelan trading anda. Jangan mengambil risiko yang boleh menyebabkan akaun anda jatuh ke $0. 

STATISTIK PERDAGANGAN #4: PURATA KEUNTUNGAN 

Dalam trading saham, keuntungan mestilah diperolehi untuk menjana kewangan. Walaupun, menjana wang bukanlah matlamat utama dalam trading saham. Matlamat yang utama yang perlu ada dalam trader ialah mengikuti pelan trading supaya mempunyai jangkaan yang positif. Sekiranya jangkaan positif, maka keuntungan bakal menyusul.

Keuntungan adalah pulangan modal permulaan dalam akaun dalam tempoh sebulan atau setahun. Trader perlu memastikan pulangan mereka setiap bulan atau tahunan melebihi modal permulaan. 

Andai seorang trader bermula dengan $50,000 dan pada akhir bulan di dalam akaun tersebut mempunyai $55,000. Pulangan pada bulan tersebut adalah sebanyak 10%.

Sekiranya, keuntungan negatif atau tiada keuntungan, kita boleh mendapatkan petunjuk melalui statistik. Jika keuntungan berkurangan, mungkin salah satu cara ialah mengubah ganjaran dan risiko dan mencari perdangangan dengan mempunyai potensi yang menguntungkan. Namun jika kadar keuntungan tinggi tetapi masih kehilangan wang, kita perlu mengurangkan saiz kerugian dengan pesanan stop loss atau memegang perdagangan yang untung dengan keuntungan yang lebih besar. 

KESIMPULAN

Statistik memainkan peranan penting dalam trading saham. Ia dapat membantu para trader dalam merancang pelan trading mereka supaya mereka tidak dalam kerugian yang besar dan mendapat keuntungan secara konsisten. Akhir kata, dalam perniagaan ini anda tidak boleh beremosi semasa trading kerana pasaran saham tidak akan mengikuti kehendak anda dan selalu mengikuti pelan trading anda.

Penulis: Nabilah Izzati binti Ramli

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.