Kenapa Technical Analysis dalam Saham Jauh Lebih Jitu dari Fundamental Analysis?
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa terdapat dua jenis analisis utama di dalam dunia saham iaitu analisis teknikal dan juga analisis fundamental (asas). Kedua-dua jenis analisis ini amatlah berbeza antara satu sama lain akan tetapi kedua-duanya saling bergantung dalam proses mengkaji keuntungan dan risiko pelaburan.
Pada masa yang sama, kedua-dua analisis ini sering kali menjadi topik debat tentang analisis mana yang lagi baik dan jitu untuk digunakan ketika membuat keputusan pelaburan. Boleh ke kita membuat perbandingan antara kedua-duanya? Dalam artikel kali ini saya akan membincangkan tentang analisis mana yang paling sesuai untuk di guna pakai dalam pelaburan saham.
Analisis Fundamental
Analisis fundamental adalah analisis asas yang mana bermaksud usaha untuk mengkaji nilai sebenar sesebuah syarikat meliputi keadaan ekonomi, industri dan perusahaannya. Statistik, laporan kewangan dan juga berita syarikat akan digunakan untuk menilai harga saham syarikat tersebut dengan tepat untuk melihat sama ada aset tersebut dinilai kurang (“undervalued”), dinilai terlalu tinggi (“overvalued”) ataupun nilai yang tepat (“correctly valued”). Jika harga pasaran semasa aset tersebut kurang daripada nilainya yang sebenar (“undervalued”), pelabur perlu membelinya dan jual jika sebaliknya.
Aset syarikat terbahagi kepada dua iaitu aset ketara dan aset tidak ketara. Aset ketara sesebuah syarikat adalah kelas aset yang hadir secara fizikal termasuk tanah, peralatan, atau bangunan yang dimiliki syarikat manakala aset tidak ketara iaitu aset yang abstrak seperti paten, penjenamaan atau harta intelek.
Kelebihan analisis fundamental adalah kerana ia mengambil kira peristiwa yang berlaku dalam ekonomi dan juga sektor syarikat tersebut. Jadi, analisis fundamental menghasilkan pandangan yang komprehensif dan gambaran yang lebih kompleks merangkumi nisbah permintaan atau tawaran. Kebiasaanya, analisis fundamental digunakan untuk pelaburan jangka masa panjang.
Keburukan analisis fundamental ialah ia tidak dapat menunjukkan secara terperinci harga masuk atau keluar pasaran. Analisis ini juga akan memakan masa yang agak lama kerana ia agak kompleks. Selain itu, maklumat asas yang di perlukan tidak mudah untuk didapati kerana selalunya ia hanya boleh diakses oleh orang-orang penting syarikat ataupun orang yang sangat berpengaruh. Hal ini menyebabkan berlakunya insider trading. Kebiasaanya, sebelum mereka mengeluarkan apa-apa berita tentang syarikat mereka, insider trader akan menggoreng harga pasaran terlebih dahulu dan mengaut keuntungan yang banyak.
Analisis Teknikal
Analisis teknikal adalah analisis yang digunakan untuk mengkaji pergerakan harga dan trend saham dengan menggunakan carta saham. Keutamaan dalam analisis ini adalah harga saham (“price”) dan juga jumlah dagangan “(volume”). Analisis ini akan digunakan ketika pedagang (“traders”) ingin menentukan bila waktu yang sesuai untuk membeli dan menjual sesuatu saham.
Terdapat beberapa carta dalam analisis teknikal, tetapi carta yang terkenal dalam kalangan traders merupakan carta seperti Bar Chart, Line Chart dan Candlestick Chart. Manakala 4 asas utama yang perlu diambil tahu dalam analisis teknikal adalah trend, support and resistance, risk reward ratio dan juga volume.
Di dalam pelaburan saham, terdapat tiga jenis trend iaitu uptrend yang bermaksud kaunter tersebut berada dalam fasa menaik, downtrend apabila kaunter dalam fasa menurun manakala sideway di mana kaunter berada di dalam fasa mendatar.
Kelebihan analisis teknikal ialah kerana ia dapat diaplikasikan di seluruh pasaran dan juga tempoh masa “timeframe” dimana segala analisisnya ditafsirkan dengan cara yang sama. Tambahan pula, semua maklumat yang mempengaruhi atau berpotensi untuk mempengaruhi harga saham telah ditunjuk secara jelas iaitu secara visual tanpa perlu mengkaji berita asas sesuatu saham. Analisis ini juga akan memberi maklumat harga masuk dan keluar yang sesuai untuk sesebuah kaunter secara terperinci. Analisis ini boleh digunakan untuk pelaburan jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang.
Dari segi kekurangannya adalah ia sangat subjektif disebabkan oleh isyarat yang digunakan itu ditafsirkan dengan pelbagai cara yang berbeza. Oleh itu, kelebihan adalah kepada traders yang lebih berpengalaman ataupun mempunyai sistem yang mempunyai tahap accuracy yang sangat tinggi. Dan sudah tentu untuk mencapai tahap accuracy yang tinggi, kajian statistik perlu dilakukan dan anda boleh membaca tentangnya dalam artikel yang lain.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kedua-dua analisis ini digunakan untuk tujuan yang sama iaitu untuk mengaut keuntungan. Akan tetapi, dengan mengambil tahu tentang berita dan cerita latar belakang sesuatu kaunter, traders yang menggunakan analisis teknikal akan lagi ke hadapan kerana mereka tahu cara harga sesebuah kaunter itu bergerak dan juga dimana harga masuk dan juga keluar. Hal ini akan membantu mereka untuk mengkaji nilai risiko dan juga keuntungan yang bakal mereka perolehi. Jika kajian mereka disokong lagi dengan berita-berita positif sesuatu syarikat atau industri, mereka akan menjadi lebih yakin untuk melabur dalam kaunter tersebut.
Apa pendapat anda? Analisis yang mana anda rasa lebih baik?
Penulis: Anis Syafiqa binti Mohd Rosdi