Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

6 Mitos tentang Blockchain dan Matawang Kripto

Bila kita bercakap tentang sesuatu, pasti akan ada unsur-unsur khabar angin yang perlu dikaji selidik untuk tahu sama ada ia benar ataupun tidak. Sama juga dengan Blockchain dan matawang kripto. Sejak kewujudan Blockchain satu dekad yang lalu, terdapat banyak khabar angin dan mitos tentang Blockchain dan matawang kripto yang muncul.

Kadang-kadang mitos ini adalah sesuatu yang baik, kerana ia mewujudkan satu suasana misteri tentang sesuatu. Siapa tidak suka misteri? Tetapi bagi Blockchain dan matawang kripto, kebanyakan mitos yang berkaitan membuatkan ramai orang lebih keliru tentang kedua-duanya, dan kita semua tahu “orang tidak suka pada apa yang mereka tidak faham/tidak tahu”, satu pepatah yang berasal dari pepatah Inggeris, “People hate what they don’t understand“.

Jadi, dalam artikel kali ini, penulis ingin debunk atau meleraikan 10 mitos tentang Blockchain dan matawang kripto untuk anda.

1. Bitcoin/matawang kripto adalah satu program (untuk cepat kaya)

Ini mungkin adalah mitos paling tidak masuk akal penulis pernah dengar. Namun begitu amat menyedihkan apabila ramai orang percaya mitos ini. Penulis tidak pasti dari mana datang mitos ini, tetapi ramai yang mengambil kesempatan daripada kejahilan sesetengah orang untuk mendapat keuntungan dengan cepat. Tanpa mempelajari tentang asas Blockchain dan matawang kripto, golongan ini dengan begitu senang mempercayai manifesto “cepat kaya” dengan menyertai program-program Bitcoin atau matawang kripto.

Buat sekelian kalinya, Bitcoin dan matawang kripto lain adalah, ya, matawang kripto. Ataupun untuk lebih jelas, aset digital yang boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran, pemindahan nilai, penggunaan platform dan sebagainya. Satu-satunya fungsi asas yang tiada pada Bitcoin atau matawang kripto lain adalah program “cepat kaya”.

Jadi kalau anda dapat emel atau jemputan untuk menyertai satu program di mana jika anda membeli 1 BTC, BTC anda akan bertambah setiap hari, ternyata ianya satu scam. Mana-mana program yang menjanjikan BTC anda beranak adalah satu penipuan. Penulis sudah mengeluarkan pelbagai artikel tentang Bitcoin dan matawang kripto ini, dan hanya terdapat tiga cara untuk mendapat untung daripada matawang kripto: 1) mining, 2) trading dan 3) HODLing. Itu sahaja.

2. Bitcoin adalah scam

Ini lagi satu mitos pelik yang penulis pernah dengar. Bukan sahaja ianya pelik, tetapi ia sangat popular dalam kalangan mereka yang berpengaruh. Anda mesti pernah membaca tentang kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh seperti JP Morgan, Jamie Dimon, Warren Buffett dan sebagainya tentang Bitcoin, bukan? “Bitcoin is a scam.“, “Bitcoin is a fraud.“, itulah yang sering dilemparkan oleh mereka.

Disebabkan mereka ini berpengaruh dalam dunia kewangan, pasti ramai akan membenarkan kata-kata mereka. Mungkin kenyataan mereka berasas, kerana mereka membandingkan Bitcoin dengan matawang US Dollar. Bagi mereka, mana mungkin Bitcoin mampu menggantikan US Dollar sebagai matawang rasmi mana-mana negara, kerana ianya hanya “nombor” digital, jadi kesimpulannya ianya adalah scam semata-mata.

Namun begitu, pada hakikatnya, matawang fiat juga tidak bersandarkan apa-apa melainkan kepercayaan kepada kerajaan. Begitu juga Bitcoin. Nilai intrinsik Bitcoin terletak kepada kepercayaan dan penerimaan pengguna terhadapnya, dan nilai itulah yang dipaparkan di pasaran.

3. Blockchain = Bitcoin

Walaupun semakin lama, semakin jelas bahawa kedua-duanya adalah berbeza, tetapi buat ramai pendatang baru dunia matawang kripto, mereka masih lagi menganggap kedua-duanya adalah dua benda yang sama. Mungkin kerana Bitcoin adalah perkataan yang lebih popular daripada Blockchain, dan memandangkan ianya wujud pada masa yang sama, ramai orang yang keliru lebih-lebih lagi tanpa pengetahuan mendalam tentang Blockchain.

Kalau anda pun masih keliru, silalah baca artikel-artikel kami di sini.

4. Matawang kripto adalah satu-satunya aplikasi Blockchain

Seperti mitos di atas, mitos ini juga tidak berkekalan lama. Matawang kripto mungkin adalah aplikasi paling popular Blockchain, tetapi pada hakikatnya, kegunaan teknologi Blockchain lebih meluas daripada itu. Malah, sudah banyak industri yang mula implementasi teknologi Blockchain dalam model perniagaan mereka, dan kebanyakkannya juga tidak menggunakan matawang kripto.

Ramai yang bertanya, adakah Blockchain memerlukan matawang kripto untuk berjalan dengan lancar? Artikel ini (    Bolehkah teknologi Blockchain wujud tanpa Matawang Kripto?  ) akan menjelaskannya dengan lebih baik untuk anda. Apapun, dengan perkembangan teknologi, kegunaan Blockchain sudahpun melangkaui matawang kripto.

5. Transaksi matawang kripto adalah anonymous

Ciri utama Blockchain yang seringkali disebut adalah anonymity, atau kebolehannya untuk melindungi identiti pengguna daripada dijejaki. Tetapi sejauh mana ianya benar? Pada asasnya. Blockchain adalah lejar awam yang desentralisasi. Ini bermakna transaksi di dalam lejar tersebut boleh dilihat oleh sesiapa pun.

Namun begitu, nilai transaksi yang anda boleh lihat berkaitan dengan satu alamat yang dipanggil public key. Anda tidak bole mendapatkan identiti penghantar atau penerima transaksi tersebut. Selagi anda tidak mengumumkan public key anda kepada orang lain, identiti anda tidak akan diketahui. Jadi, ini bermakna matawang kripto adalah anonymous, bukan?

Salah. Memang betul tidak mudah untuk menjejaki identiti penghantar/penerima daripada public key, tetapi ianya tidak mustahil. Lebih-lebih lagi kini kebanyakan platform pertukaran mengamalkan polisi Know-Your-Customer (KYC). Jadi, jika anda membuat wallet yang memerlukan pengesahan identiti, kemungkinan besar transaksi yang anda buat boleh dijejaki kepada identiti anda. Anda boleh baca artikel ini (    Apa Sebenarnya Konsep ‘Anonymity’ dalam Matawang Digital?  ) untuk keterangan tentang anonymity dengan lebih lanjut.

Walaupun begitu, terdapat beberapa cara untuk mengelakkan identiti anda daripada dijejaki. Contohnya menggunakan matawang kripto yang boleh melindungi identiti anda seperti Monero atau Zcash. Kedua-duanya menggunakan strategi berbeza untuk memastikan transaksi tidak boleh dijejaki. Apa yang pasti, transaksi matawang kripto seperti Bitcoin bukanlah anonymous sepenuhnya seperti dianggap ramai orang.

6. Matawang kripto hanya digunakan oleh penjenayah

Akhir sekali, ini adalah mitos yang boleh dikatakan benar. Ciri-ciri matawang kripto yang desentralisasi dan anonymous menjadikan ianya pilihan yang lebih baik dari matawang fiat dalam kegiatan jenayah. Platform seperti Silk Road mendapat sambutan yang hebat kerana penggunaan Bitcoin yang membuatkan penjenayah lebih berani.

Tetapi harus diingat, jenayah juga berlaku dengan penggunaan matawang fiat. Malah boleh dikatakan penjenayah yang menggunakan Bitcoin lebih sedikit daripada penjenayah yang menggunakan matawang fiat. Tambahan lagi, majoriti pengguna matawang kripto adalah dalam kalangan orang biasa yang mematuhi undang-undang.

Seperti matawang fiat, matawang kripto juga adalah salah satu alat yang digunakan oleh penjenayah, yang kononnya lebih sukar untuk dijejaki. Namun begitu, ia tidak bermakna keadaan ini aan berkekalan kerana sudah tentu pihak berkuasa akan mencari jalan untuk menjejaki penjenayah, tidak kira mereka menggunakan matawang kripto atau tidak. Yang penting, selagi anda tidak melakukan jenayah dengan matawang kripto, anda tidak perlu takut menggunakannya.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi mitos tentang matawang kripto yang kebanyakannya tidak benar, dan disebarkan untuk membangkitkan sentimen negatif dalam kalangan pengguna. Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada sesuatu tentang matawang kripto itu benar atau tidak adalah dengan menambah ilmu pengetahuan tentangnya. Dan sudah tentulah tempat terbaik untuk bermula adalah di coin.my!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.