Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

NFT 101: Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Mengenai NFT

Fenomena NFT (non-fungible token) acap kali menjadi buah mulut majoriti dari kita semua sejak akhir tahun lepas.

Dari NFT yang wujud dalam bentuk seni, muzik sehinggalah tisu tandas, aset digital ini dijual seperti hasil seni antik yang bernilai jutaan dollar.

Tapi, benarkan nilai NFT ini semahal itu atau ia sekadar ‘hype’ sahaja? Ada sesetengah pakar yang mengatakan ia adalah gelembung yang menunggu masa untuk meletup seperti kes ‘dotcom’ atau ‘Beanie Babies’.

Sebahagian lagi pakar percaya yang fenomena NFT ini akan berkekalan dan ia akan mengubah cara kita melabur untuk selama-lamanya.

Tapi, apa itu NFT sebenar-benarnya?

NFT adalah aset digital yang mewakili objek dunia sebenar seperti karya seni, muzik dan video. NFT boleh dijual beli secara dalam talian, biasanya dengan menggunakan matawang kripto dan ia disertakan bersama-sama kod digital (yang dikenali sebagai blockchain).

Biarpun NFT ini sebenarnya sudah wujud sejak 2014, NFT menjadi fenomena baru akhir-akhir ini kerana ia menjadi cara popular untuk menjual dan membeli karya seni digital. Untuk tahun 2021 sahaja, data dari DappRadar (market tracker) menunjukkan urusan jual beli NFT telah mencecah USD24.9 billion.

Setiap NFT adalah ‘one-of-a-kind’ kerana setiap kod digital yang disertakan bersama NFT tersebut adalah unik. Setiap siri NFT juga dihasilkan secara terhad oleh penciptanya. Maka, bilangan NFT yang terdapat dalam dunia digital adalah terhad.

Kerana bilangan NFT ini terhad, harga NFT yang berkualiti dan berpotensi akan meningkat, lebih-lebih lagi jika ramai orang yang turut menginginkan aset digital tersebut.

Sebagai contoh, seorang artis digital yang dikenali sebagai Beeple telah mencipta sebuah koleksi 5,000 lukisan yang dikenali sebagai “EVERYDAYS: The First 5000 Days” telah berjaya dijual untuk $69.3 juta dalam bentuk NFT di bawah.

NFT by Beeple, “EVERYDAYS: The First 5000 Days”

Hakikatnya, sesiapa sahaja yang ada internet boleh memuat turun koleksi tersebut secara percuma. Tapi kenapa ada orang bayar puluhan juta dollar untuk gambar yang mereka boleh tangkap layar (screenshot) atau muat turun?

Ini kerana sifat NFT yang hanya membenarkan hak milik asal koleksi tersebut kepada pembelinya. Sifat NFT juga membuatkan ia mempunyai ciri khas yang akan membuktikan hak milik tersebut.

Para collectors (mereka yang mengumpul NFT sebagai koleksi) sebenarnya menggunakan ciri “hak milik” ini untuk memberi mereka kepuasan untuk menunjukkan kekayaan mereka secara digital (digital bragging rights).

Bagaimanakah NFT Berbeza Dengan Matawang Kripto?

NFT bermaksud ‘non-fungible token’. Kod digital NFT dibina menggunakan program yang sama seperti matwang kripto (blockchain) seperti Bitcoin atau Ethereum, tapi itu sahaja persamaan antara kedua-duanya.

Wang fizikal dan wang kripto bersifat “fungible”, bermakna ia boleh ditukarkan dan diniagakan untuk satu sama lain. Contohnya, RM1 boleh dipindahkan untuk RM1 kerana nilainya sama. 1 BTC boleh dipindah untuk nilai 1 BTC yang sentiasa sama nilainya.

NFT adalah berbeza. Setiap NFT mempunyai “tandatangan digital” yang membuatkan setiap NFT itu unik dan tidak sama dengan mana-mana NFT yang lain.

NFT Konfederasi nombor 088 contohnya, unik dan hanya ada satu di dunia ini. Tidak seperti 1 BTC yang boleh dipindahkan untuk nilai 1 BTC yang lain. Jika anda mahukan NFT Konfederasi 088 itu tadi, anda harus membelinya secara spesifik dari pemiliknya.

Setiap NFT hanya boleh dimiliki oleg seorang pemilik pada satu-satu masa.

Bagaimanakah NFT Berfungsi?

NFT disandarkan pada satu blockchain, yang dikongsikan secara umum sebagai public ledger untuk merekodkan setiap transaksi. Mesti pernah dengar terma blockchain, kan? Ia adalah komponen terpenting bagi matawang kripto.

Dulunya, NFT dibina diatas blockchain Ethereum, namun sekarang lebih banyak blockchain lain yang membenarkan penggunaan blockchain mereka untuk NFT seperti Polygon, Binance, Solana, Flow, Wax dan Ronin.

NFT ini pun ada banyak jenis yang berbeza kegunaannya seperti sebagai lambang status dan kekayaan (flex) pemilik, sebagai pas keahlian komuniti ekslusif dan untuk bermain game.

Ada juga NFT yang bersifat seni digital dan ada juga NFT yang dipakejkan dalam bentuk aset digital seperti tanah dan aksesori digital untuk dunia metaverse.

Jika dulunya seorang artis memerlukan galeri untuk menayangkan dan menjual lukisan mereka, kini mereka boleh terus melakukannya secara dalam talian dalam bentuk NFT.

Lebih menarik, setiap NFT juga boleh terus menjana pendapatan melalui sistem royalti setiap kali karya digital mereka bertukar tangan.

Tetapi, seni digital bukanlah satu-satunya cara untuk menjana pendapatan dalam dunia NFT.

Jenama-jenama besar dunia seperti Nike, Adidas, Lamborghini, Coca-Cola dan Pepsi juga telah melancarkan projek NFT mereka sendiri.

Malah, NFT Bored Ape Yacht Club (BAYC) ada senarai selebriti mereka yang tersendiri; dari hos popular macam Jimmy Fallon, kalangan atlet macam Stephen Curry, Shaq O’Neill, Dez Bryant, Neymar selain penyanyi rap terkenal seperti Eminem, Snoop Dog, DJ Khaleed, Marshmellow dan The Chainsmokers.

Macam mana cara nak beli NFT?

Jika anda berminat untuk mula mengumpul NFT, anda memerlukan beberapa perkara penting:

Pertama anda memerlukan dompet digital yang akan membolehkan anda menyimpan semua NFT anda dan matawang kripto. Selepas itu, anda perlu membeli matawang kripto seperti Ehereum, bergantung kepada marketplace yang anda ingin beli NFT anda.

Matawang digital boleh dibeli dengan kad kredit di traders yang dibenarkan oleh SC Malaysia seperti Luno, SINEGY dan Tokenize. Kemudian, matawang tersebut boleh dimasukkan ke dalam dompet digital anda seperti MetaMask.

Anda juga perlu memikirkan kos tersembunyi seperti trading fee dan gas fee setiap kali anda melakukan transaksi.

Marketplace terbesar dalam pasaran NFT adalah OpenSea.io. Namun, masih ada banyak lagi marketplace lain seperti Solanart, Rarible, Looksrare dan MagicEden. Malah, Malaysia juga ada platform marketplace kita sendiri yang dikenali sebagai pentas.io.

Bagaimanapun, pastikan anda melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Banyakkan pembacaan dan semak betul-betul projek NFT yang anda ingin beli. Ini kerana ada sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab yang menyamar dan menjual karya NFT palsu di luar sana.

Perlukah anda membeli NFT?

Hanya kerana anda mampu beli NFT, adakah anda perlu membeli NFT?

Ia bergantung kepada pilihan anda.

Jika anda memiliki wang lebihan untuk membelinya, tak salah jika anda melabur dalam NFT – terutamanya dalam projek yang anda minat.

Harus diingat bahawa nilai NFT ini bergantung kepada seberapa mahal pembeli mahu membelinya dari anda. Jadi, semakin ramai yang ingin memiliki NFT tersebut, secara teorinya harganya boleh dijual pada harga yang lebih tinggi.

Pendek kata, jika anda ingin memulakan pelaburan dalam NFT, pastikan anda ada buat kajian terlebih dahulu, faham risiko yang anda akan ambil kerana tersilap langkah anda boleh menanggung kerugian besar. Tapi, jika anda melakukannya dengan tepat, ganjaran yang diterima juga setimpal dengan risiko yang diambil.

Pilihan di tangan anda. DYOR (Do Your Own Research)!

Penulis artikel: Radzi Tajuddin (Pengasas Hi Wealth)

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads