Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Anda memegang Coin atau Token?

Sewaktu penulisan, menurut Coinmarketcap.com, terdapat 1384 matawang kripto dan 7550 pasaran yang tersenarai sebagai aktif dalam pasaran jual beli matawang kripto. 1384 matawang kripto…menakjubkan bukan? Mari kita ke laman web Etherscan pula. Menurut laman web tersebut, terdapat sebanyak 22264 kontrak ERC20 token. Wah. Dan daripada jumlah itu, lebih kurang 350 token disenaraikan sebagai matawang dalam coinmarketcap.com.

Istilah matawang atau “coin” dan token sering digunakan secara bersilih ganti di dunia matawang kripto. Kebanyakkan pengguna menganggap kedua-duanya mempunyai definisi yang sama. Tetapi sebenarnya kedua-dua istilah ini agak berbeza, baik dari segi penggunaan mahupun definisi asal. Bukan itu sahaja, istilah cryptocurrency juga telah mendapat gelaran misnomer, yang bermakna sesuatu istilah itu tidak digunakan dengan betul. Jadi, dalam artikel kali ini penulis akan cuba mengupas isu-isu di atas ini.

Apa itu Cryptocurrency?

Perkataan cryptocurrency, atau matawang kripto mula digunakan apabila Bitcoin, matawang kripto decentralized pertama, dicipta. Matawang kripto boleh didefinisikan sebagai matawang digital yang di sulitkan (encrypt) menggunakan kaedah kriptografi. Istilah kriptografi pula berkaitan dengan teknik-teknik penyulitan yang digunakan untuk memastikan keselamatan dan mengesahkan pemindahan transaksi. Setakat ini anda faham?

Di atas kita belajar tentang definisi matawang kripto, tetapi mengapa Bitcoin dinamakan matawang? Tujuan Bitcoin dicipta adalah untuk menggantikan matawang (dollar) ketika itu yang dikawal oleh institusi kewangan dan bank yang dianggap korup dan tidak boleh dipercayai. Itu adalah matlamat Bitcoin dan menjadi titik permulaan penggunaan istilah matawang kripto.

Istilah cryptocurrency adalah misnomer

Seperti yang penulis sudah sebut di atas, penggunaan istilah cryptocurrency untuk Bitcoin dan altcoin lain adalah tidak tepat. Ingat lagi artikel penulis: Apa Klasifikasi Matawang Krypto: Matawang, Komoditi atau Sekuriti? Dalam artikel itu penulis ada menerangkan tentang tiga syarat untuk menjadi matawang:

  1. mewakili unit kewangan
  2. boleh menyimpan nilai secara stabil
  3. sebagai medium pertukaran

Bitcoin mungkin menepati syarat-syarat ini sewaktu penciptaannya, tetapi dengan naik turun harga yang tidak stabil, dan juga kadar transaksi yang perlahan, penggunaan istilah matawang kripto sudah menjadi tidak tepat. Begitu juga dengan matawang kripto yang lain (altcoin), yang kebanyakkannya langsung tidak menepati syarat-syarat untuk menjadi matawang.

Nota: Definisi atau lebih tepat lagi, kategori matawang kripto masih lagi diperbahaskan sehingga hari ini, dan penulis tidak akan menyentuhnya lebih mendalam dalam artikel ini.

Jenis-jenis cryptocurrency

Alternative cryptocurrency coins (altcoins)

Alternative cryptocurrency coins atau altcoins atau coin adalah sama dan istilah-istilah itu boleh diguna bersilih ganti dalam konteks yang sama. Altcoin merujuk kepada semua matawang kripto selain daripada Bitcoin. Kebanyakan altcoin adalah berdasarkan kod terbuka dan protokol asal Bitcoin, juga dipanggil fork. Protokol altcoin diubah mengikut cita rasa pencipta, dan kodnya juga berbeza, menjadikan ia satu coin baru yang mempunyai ciri-ciri berlainan dengan Bitcoin. Antara contoh altcoin yang dicipta berdasarkan kod Bitcoin adalah seperti Litecoin, Peercoin dan Dogecoin. Dan daripada altcoin ini, altcoin lain juga dicipta dengan cara yang sama.

Ada juga terdapat altcoin lain yang dicipta tidak berdasarkan protokol Bitcoin. Mereka dicipta untuk mempunyai blockchain sendiri dan juga protokol yang menyokong coin mereka sendiri. Antaranya adalah Ethereum, Ripple, Omni, Nxt, Waves dan sebagainya. Satu ciri utama altcoin adalah mereka mempunyai blockchain mereka tersendiri, di mana transaksi coin tersebut terjadi dalam rangkaian itu tanpa memberi kesan kepada rangkaian lain.

Fungsi yang paling penting untuk coin adalah sebagai kaedah pembayaran atau penyimpanan nilai. Jika anda lihat altcoin seperti Litecoin, Dash, Dogecoin dan sebagainya, fungsi utama mereka adalah sebagai kaedah pembayaran peer-to-peer dan ia tidak mempunyai fungsi lain. Malah, kita boleh katakan bahawa kebanyakan altcoin pada hari ini berfungsi untuk menyimpan nilai yang berubah-ubah setiap waktu dan hanya digunakan dalam aktiviti jual beli sahaja.

Token

Berbeza pula dengan token. Token merujuk kepada suatu aset atau utiliti, yang selalunya wujud di atas blockchain yang lain. Token boleh mewakili apa sahaja aset, asalkan ia boleh ditukar dengan aset lain dan boleh dijual beli. Token boleh menjadi suatu komoditi, matawang kripto, mahupun loyalty points atau sebagai undi dalam satu komuniti.

Senang cerita, berbeza dengan altcointoken boleh mempunyai pelbagai fungsi. Token mampu menyimpan nilai atau ciri-ciri yang kompleks dan boleh diprogram untuk mempunyai fungsi-fungsi yang berlainan. Mencipta token adalah lebih mudah daripada altcoin, kerana tidak perlu mengubah kod daripada protokol asal ataupun mencipta blockchain yang baru. Anda boleh mencipta token dengan mudah di atas platform yang telah tersedia. Contohnya Ethereum, Waves atau Omni. Platform seperti yang disebut membolehkan anda mencipta token anda sendiri dengan menggunakan smart contract; kod komputer yang sudah diprogram untuk dilancarkan sendiri (self-execute) tanpa memerlukan pihak ketiga.

Kesimpulan

Anda sudah faham perbezaan coin dan token? Perbezaan utama antara kedua-duanya adalah dari segi struktur, dimana coin atau altcoin mempunyai blockchain tersendiri dan token berfungsi di atas blockchain lain (contohnya Ethereum) yang digunakan untuk operasi aplikasi yang berkaitan.

Namun begitu, kini terdapat istilah-istilah baru yang muncul seperti utility tokentokenized securities dan app token yang membawa beribu kekeliruan kepada pengguna. Ini adalah kerana pihak berkuasa masih lagi bertungkus-lumus untuk memberi definisi yang tepat dari segi undang-undang kepada altcoin/coin/token yang muncul setiap hari. Bagi kita orang awam, cukuplah sekadar mempelajari asas perbezaan coin dan token sebelum pergi lebih jauh untuk merungkai istilah-istilah baru di dunia matawang kripto.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.