Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Adakah Venezuela ‘Use Case’ Terbaik Bitcoin?

Venezuela adalah salah satu negara yang popular dalam kalangan komuniti kripto. Bukan kerana negara itu adalah perintis dalam teknologi Blockchain, atau kerajaannya telah implementasi undang-undang berkenaan matawang kripto, mahupun sebagai negara mesra kripto. Jika anda seorang yang sentiasa mengikuti berita tentang kripto, anda mesti tahu tentang krisis ekonomi di negara Venezuela yang membawa kepada matawang kripto sebagai penyelamat.

Namun begitu, adakah Venezuela ‘use case’ terbaik Bitcoin?

Keadaan hiperinflasi yang melanda negara Venezuela sejak tahun 2017 telah menyebabkan rakyatnya mula mencari alternatif lain untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga mereka. Matawang negara Venezuela, Bolivar, dianggap tidak bernilai oleh penguatkuasa kewangan negara itu, menyebabkan harga barangan seperti makanan, pakaian, dan air naik dengan mendadak.

Bitcoin dan Perlombongan Bitcoin Menjadi Penyelamat Venezuela

Salah satu cara rakyat Venezuela untuk menampung kehidupan mereka adalah dengan aktiviti melombong Bitcoin. Kos elektrik di Venezuela yang rendah berbanding negara lain menjadikan aktiviti perlombongan Bitcoin sesuatu yang menguntungkan.

Tetapi terdapat satu masalah: risiko untuk ditangkap adalah sangat tinggi. Walaupun kegiatan melombong Bitcoin bukanlah satu jenayah di negara itu, ramai yang menjalankan operasi perlombongan Bitcoin telah ditangkap dan didakwa oleh pegawai yang korup di negara itu.

Disebalik risiko itu, penggunaan Bitcoin semakin bertambah sehinggalah hari ini. Pada suku ketiga tahun 2017, jumlah perdagangan Bitcoin di LocalBitcoins Venezuela telah meningkat 4 kali ganda. Ia menjadi alternatif untuk rakyat Venezuela sebagai tempat penyimpanan kekayaan dan juga medium pembayaran memandangkan ekonomi Venezuela semakin tenat dan dijangka tidak akan dapat pulih.

Penulis sudahpun menceritakan tentang penggunaan Bitcoin yang semakin meluas di negara Venezuela kerana keadaan ekonomi yang semakin parah. Dalam keadaan itu, memang tidak boleh dinafikan matawang kripto adalah alternatif terbaik kepada matawang fiat yang semakin hilang nilainya. Pada masa sama, kos transaksi Bitcoin yang rendah dan penerimaannya secara global (tanpa perlu menukar matawang asing seperti fiat) menjadikan ia sangat bernilai di Venezuela.

Presiden Nicolas Maduro dan Mimpi Petro

Tidak lama kemudian pada penghujung bulan Disember 2017, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumumkan bahawa negara itu akan mencipta matawang nasional mereka sendiri yang disokong sumber minyak dari negara itu. Tujuan utama matawang kripto itu, menurut Presiden Maduro adalah untuk menentang sekatan kewangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas pegawai kerajaan Venezuela yang dianggap melanggar hak asasi manusia di negara itu.

Menurut menteri komunikasi Venezuela, Jorge Rodriguez, Petro akan disokong oleh 5.3 juta tong minyak – bersamaan dengan $ 267 billion. Sebagai perbandingan, pasaran Bitcoin adalah kira-kira $ 248 bilion pada tahun 2017. Ramai yang berada di dalam dan luar negara itu merasa skeptikal dengan dakwaan menteri Venezuela itu, kerana menurut mereka, sumber minyak yang dikatakan akan menjadi aset sandaran matawang kripto itu masih belum wujud.

Hasil pra-jualan Petro yang didakwa mencecah $5 bilion pun tidak berjaya meyakinkan orang ramai tentang potensi Petro. Malah, rakyat Venezuela sendiri tertanya-tanya tentang status projek itu memandangkan penciptaan matawang nasional itu kononnya untuk menyelamatkan ekonomi negara itu. Jadi tidak hairanlah jika ramai yang menganggap Petro ini satu penipuan sahaja.

Minyak petroleum yang kononnya menjadi sandaran Petro, masih belum dipam. Malahan, kerajaan Venezuela hanya memegang 60% saham dalam projek ekstrak minyak yang melibatkan usaha sama beberapa syarikat minyak lain. Menurut parti pembangkang lagi, Petro bukanlah bersandarkan minyak petroleum, tetapi lebih kepada jualan forward minyak Venezuela.

Kemaskini terbaru Petro adalah pendedahannya pada bulan Oktober 2018 bahawa Petro berdasarkan protokol Dash. Sebelum ini Petro pernah dikatakan sebagai token Ethereum dan juga berdasarkan protokol NEM. Tambahan lagi, Petro didakwa mempunyai mekanisme yang membolehkan penggubahan wang haram berlaku dengan mudah oleh pegawai kerajaan, menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat melarang pembelian Petro.

Rejim Maduro telah mencipta platform yang membolehkan penukaran Litecoin dan Bitcoin kepada Petro yang dipanggil Dicom, yang didakwa adalah salinan daripada platform perdagangan Uphold di UK. Rakyat perlu mempunyai kad politik yang dikeluarkan kerajaan Venezuela untuk membeli Petro. Selain daripada itu, rakyat Venezuela juga boleh menukarkan bolivar kepada matawang digital itu.

Satu-satunya agensi yang dibenarkan kerajaan Venezuela untuk menjual Petro adalah National Superintendency of Crypto Assets and Related Activities (Sunacrip) yang akan menerima lebih kurang $0.40 sebagai komisyen untuk setiap transaksi. Harga Petro ditetapkan oleh bursa pertukaran Dicom dan kini dijual pada harga 14,665,500 bolivars ($59).

Walaupun Petro menjadi semakin mudah untuk diakses, isu-isu berkaitan Petro seperti dakwaan kegiatan penggubahan wang haram dan juga ketiadaan maklumat tentang penggunaannya masih menjadi tanda tanya kepada rakyat Venezuela. Jadi, tidak hairanlah jika mereka meneruskan penggunaan matawang kripto seperti Bitcoin, Litecoin, Dash dan sebagainya.

Selamat tinggal Venezuela

Sejak beberapa tahun yang lalu, jumlah penduduk yang meninggalkan Venezuela meningkat sehingga 17 peratus, menurut laporan dari United Nations. Ramai yang meninggalkan negara itu dengan membawa aset mereka dalam bentuk matawang kripto seperti Bitcoin. Ini adalah kerana risiko membawa wang tunai atau barangan kemas sangat tinggi.

Hasilnya adalah ramai antara rakyat Venezuela yang menjadi golongan “unbanked” atau tidak mempunyai akaun bank dan terpaksa bergantung harap kepada aset kripto yang boleh ditukar kepada matawang fiat.

Krisis Venezuela menjadi Eksperimen Matawang Kripto

Keadaan ekonomi melarat di Venezuela telah membuka mata kepada potensi matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat yang semakin kehilangan nilai. Platform seperti LocalBitcoins dan AirTM telah menjadi titik permulaan baru bagi penduduk Venezuela yang dilanda kemiskinan.

Rejim autokratik Maduro yang mengarahkan bank persendirian dan awam yang menyekat IP luar negara telah menghalang rakyat Venezuela daripada mengirim wang kepada luar negara. Oleh sebab itu, rakyat negara itu terpaksa mencari penyelesaian kreatif untuk mengatasi halangan kerajaan mereka sendiri.

Organisasi non-profit seperti GiveCrypto cuba untuk membantu keluarga Venezuela dengan kempennya untuk mengedarkan token EOS kepada 100 keluarga yang tinggal di sempadan Venezuela iaitu Santa Elena de Uairen. Organisasi itu bekerjasama dengan EOS Venezuela untuk memberi kecairan fiat kepada peniaga tempatan dan membolehkan keluarga menggunakan telefon yang sama untuk akses sumbangan EOS.

Venezuela Contoh Ekstrem Penggunaan Matawang Kripto

Hakikatnya, krisis yang melanda Venezuela sehingga matawang kripto dianggap penyelamat yang menggantikan Bolivar adalah contoh yang ekstrem. Namun begitu, ia membawa kita kembali kepada tujuan penciptaan Bitcoin, iaitu pembebasan daripada kuasa pemusatan dan ekonomi bebas yang dikawal selia oleh masyarakat sendiri berdasarkan konsep Libertarianisme.

Adakah ia ‘use case’ Bitcoin yang baik?

Dalam konteks penindasan kerajaan terhadap rakyatnya dengan polisi yang tidak membawa kebaikan kepada negara, ya. Tetapi untuk penggunaan matawang kripto yang meluas, sukar untuk kita bayangkan negara-negara lain terutama yang membangun atau sedang membangun akan menghadapi krisis ekonomi seteruk Venezuela untuk membawa kepada penggunaan matawang kripto yang meluas.

Venezuela adalah contoh terbaik matawang kripto berpotensi menjadi alternatif matawang fiat, namun sukar untuk menilai prestasinya jika kita hanya melihat kepada negara bermasalah seperti Venezuela.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.