8 Tanda Blockchain Sudah Menjadi Lebih dari Hanya “Buzz Word”

Beberapa tahun yang lalu, teknologi Blockchain hanyalah “buzz word” yang wujud dalam dunia digital sahaja. Golongan yang mengambil tahu tentang teknologi Blockchain adalah developer, mereka dalam bidang IT dan startup yang ingin mengubah dunia. Bitcoin juga pada awalnya hanya popular dalam kalangan mereka yang ingin sumber wang yang tidak boleh dijejak penguatkuasa (ingat tentang Silk Road?) sebelum ia mula menarik perhatian pelabur dan pedagang.

Sejak harga Bitcoin naik dengan mendadak dan akhirnya mencecah hampir USD$20,000 semakin ramai orang mula menunjukkan minat terhadap Blockchain – daripada CEO syarikat, orang-orang penting kerajaan sehinggalah ke orang-orang biasa yang tidak pernah melabur seumur hidup mereka. Kewujudan Blockchain dan kedatangan matawang kripto sedikit sebanyak telah mengubah dunia dan ia sudahpun dinobat sebagai teknologi masa depan, seiring dengan AI dan quantum machines dan sebagainya.

Walaupun teknologi Blockchain masih lagi belum diiktiraf sebagai suatu yang staple seperti Internet, ianya sudah melangkaui status “buzz word” di mata dunia. Dalam masa beberapa tahun lagi teknologi Blockchain dijangka bakal menggantikan sistem legasi yang digunakan dalam masa kini, terutama dalam sektor pengurusan data, transaksi dan rantai bekalan. Malah kita sudah boleh melihat banyak tanda-tanda teknologi Blockchain sudah menempa nama di persada dunia dan di sini penulis ingin berkongsi 10 tanda teknologi Blockchainsudah menjadi lebih daripada hanya “buzz word“.

1. Bank dan institusi kewangan seluruh dunia menjalankan POC (proof-of-concept) ke atas teknologi Blockchain sejak tahun 2014.

Sudah lebih 100 bank dan institusi kewangan yang telah menjalan POC atau ujian ke atas teknologi Blockchain pada hari ini. Dan kebanyakan bank-bank tersebut telah pun implementasi sebahagian daripada teknologi Blockchain, jika tidak kesemuanya, dalam infrastruktur dan sistem mereka. Malah ada juga yang telah memohon paten untuk sistem berdasarkan teknologi Blockchain yang telah di develop seperti JP Morgan, Royal Bank of Canada dan TD Bank.

2. Negara-negara berkejar-kejar untuk menguatkuasa undang-undang terhadap Blockchain

Ini adalah tanda yang sangat besar tentang potensi teknologi Blockchain yang boleh mengubah dunia dan bagaimana setiap negara ingin menjadi ketua atau pioneer dalam industri berasaskan Blockchain. Jepun yang menjadi negara pertama yang mengiktiraf Bitcoin sebagai kaedah pembayaran yang sah telah membuka jalan untuk negara-negara lain mempertimbangkan undang-undang berkaitan teknologi Blockchain dan matawang kripto.

Hari ini berita-berita seperti Malta meluluskan undang-undang untuk menjadi ‘Pulau Blockchain’ dan negara-negara seperti Hong Kong dan Abu Dhabi membangunkan infrastruktur teknologi Blockchain sudah menjadi laporan yang biasa diterbitkan di laman berita utama. Lebih dari 8 buah negara seluruh dunia sudah menjadi lokasi pilihan syarikat-syarikat teknologi Blockchain dan kini 12 negara termasuk Australia, Switzerland, Singapura, Malta dan Thailand sudah pun mempunyai polisi dan rang undang-undang untuk syarikat-syarikat yang menjalankan ICO.

3. Perkhidmatan audit Blockchain ditawarkan

Suatu elemen yang penting dalam industri Blockchain selain daripada undang-undang dan polisi yang jelas adalah ketelusan operasi syarikat-syarikat Blockchain dan sepertimana syarikat-syarikat lain akan di audit setiap tahun, industri Blockchain juga perlu di audit.

Kenapa audit begitu penting?

Tanpa sistem audit yang rapi dan kuat dalam sesebuah syarikat, syarikat itu tidak akan boleh mengeluarkan laporan kewangan untuk kegunaan dalaman atau awam yang boleh dipercayai. Audit sangat penting untuk memastikan operasi sesebuah syarikat dijalankan dengan telus, dan tiada penyelewengan atau manipulasi berlaku dalam laporan tahunan syarikat itu.

Dalam dunia teknologi Blockchain yang masih baru dan tidak stabil, perkhidmatan audit Blockchain yang ditawarkan oleh PwC ini sangat kritikal kerana ia akan meningkatkan kepercayaan bukan sahaja orang awam terhadap industri Blockchain, tetapi juga pelabur-pelabur institusi dan juga pegawai-pegawai eksekutif yang mempertimbangkan implementasi Blockchain ke dalam syarikat mereka sendiri.

4. Syarikat-syarikat besar seluruh dunia menyertai konsortium Blockchain seperti Hyperledger dan EEA

Anda mesti pernah mendengar tentang Hyperledger atau EEA, bukan? Kedua-duanya terkenal dengan keahlian syarikat-syarikat besar seperti American Express, Cisco, Deutsche Bank, Fujitsu, IBM dan JP Morgan di dalam konsortium Hyperledger, dan juga Accenture, BP, CME Group, Deloitte dan Infosys di dalam EEA.

Hakikatnya, syarikat-syarikat inilah yang telah menyumbang dalam perkembangan teknologi Blockchain sehingga ia menjadi sesuatu yang berpotensi untuk diimplementasi dalam skala yang besar. Nilai pasaran kripto dan juga industri Blockchain telah meningkat dalam jangka masa yang sangat pendek kerana penyertaan syarikat-syarikat besar yang sudah lama ditubuhkan dan mempunyai reputasi yang tidak dapat dinafikan di seluruh dunia.

5. Bitcoin masuk ke dalam pasaran futures

Disember 2018 yang lalu, harga Bitcoin mencecah hampir $20,000 dan sehingga hari ini itulah harga tertinggi Bitcoin. Faktor utama harga Bitcoin naik begitu mendadak adalah pelancaran Bitcoin futures pertama dunia oleh CBOE Futures Exchange. Ia adalah perkenalan Bitcoin kepada pasaran kewangan global, yang lebih besar daripada pasaran matawang kripto.

Orang ramai tidak kira pelabur mahupun orang awam mula membuka mata kepada matawang kripto dan seterusnya, teknologi Blockchain selepas pelancaran itu.

6. Persidangan Blockchain semakin besar setiap tahun

Jika anda peka dengan dunia Blockchain, anda pasti akan mencari persidangan Blockchain yang dilangsungkan serata dunia setiap tahun. Ia adalah antara lokasi utama peminat kripto dan Blockchain, dan di situ jugalah masa depan teknologi Blockchain dibahaskan. Malah, persidangan Blockchain seperti Blockchain Summit di London dan Consensus di New York adalah antara acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti Blockchain dan juga dianggap sebagai persidangan Blockchain yang wajib disertai.

Di situ anda boleh berjumpa dengan pengasas-pengasas kebanyakan matawang kripto popular dan juga mendapat berita terkini secara langsung daripada syarikat-syarikat Blockchain yang terlibat. Tahun ini penulis bernasib baik dapat menyertai Consensus 2018, dan bermacam-macam maklumat dan perkara baru yang penulis pelajari, dan anda boleh membaca tentangnya di sini.

7. Universiti-universiti mula menawarkan kursus Blockchain dan platform jurnal berkaitan Blockchain ditubuhkan

Apabila teknologi Blockchain mula ditawarkan sebagai kursus di universiti, itu adalah tanda terbesar teknologi ini sudah diterima dunia mainstream. Lebih-lebih lagi apabila universiti yang menawarkan kursus Blockchain adalah universiti ternama seperti University of Oxford, Cornell University, Duke University, Princeton University dan MIT.

Tambahan lagi, Blockchain juga sudah mempunyai database sendiri yang menerbitkan artikel-artikel dan jurnal Blockchain bersifat akademik dan telah melalui proses peer review. Ledger adalah jurnal terbuka yang diterbitkan oleh University of Pittsburgh sejak tahun 2016 dan barisan editor Ledger termasuk Vitalik Buterin dan Michael Kumhof.

8. Institut CFA (Certified Financial Analyst) mengumumkan penambahan topik Blockchain dan kripto ke dalam kurikulum

Selain daripada ditawarkan sebagai kursus, baru-baru ini laman berita Bloomberg melaporkan bahawa topik berkaitan Blockchain dan kripto akan ditambah ke dalam peperiksaan CFA (Certified Financial Analyst). CFA adalah sebuah institut yang telah mengeluarkan lebih 150,000 profesional kewangan dan program CFA adalah antara yang paling sukar di dunia.

Penambahan ini menunjukkan bahawa Blockchain dianggap sesuatu yang penting dalam sektor fintech dan institut profesional perlu memasukkan isu-isu ini ke dalam skop pembelajaran dan latihan profesional untuk memastikan individu lebih bersedia dalam perubahan teknologi yang disumbangkan oleh Blockchain.

Banyak lagi tanda-tanda lain yang menunjukkan teknologi Blockchain sudah diterima dan diimplementasi seluruh dunia. Kini hanya tinggal sama ada orang ramai ingin mengambil tahu tentang teknologi Blockchain dan kripto ataupun tidak sahaja.