Default – Above Header Ads

Bagaimana Matawang Kripto Membantu Negara Membangun

 

Mana-mana negara yang sedang membangun di dunia pasti akan menghadapi masalah-masalah seperti kemiskinan, penyelewengan kuasa, rasuah, inflasi, kadar pengangguran yang tinggi dan macam-macam lagi. Usaha untuk menangani isu-isu ini telah berjalan untuk sekian lama, dan dengan kedatangan teknologi Blockchain dan matawang kripto, ramai pihak yang bersetuju ianya mempunyai potensi yang sangat besar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi negara membangun.  

Kini, pakar ekonomi, usahawan, pembangun teknologi, institusi kewangan dan banyak lagi yang bersetuju dan percaya Blockchain mampu mengubah hidup mereka yang memerlukan, takpun sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang dihadapi negara-negara membangun.

Apa kelebihan teknologi Blockchain dan matawang kripto berbanding solusi lain?

Akses

Boleh dikatakan kelebihan terbesar matawang kripto adalah dari segi aksesnya, yang merentasi sempadan. Pada masa yang sama, ia lebih inklusif daripada bank kerana kemudahan untuk menyimpan wang hanya dengan berhubung di Internet, tanpa perlu menjejakkan kaki ke mana-mana operasi fizikal. Akses ini sangat penting kerana majoriti rakyat negara kurang membangun atau sedang membangun tidak mempunyai akaun bank. Mereka hanya bergantung harap kepada wang tunai sahaja.

Kelajuan transaksi

Sudah pasti kelebihan ini akan membantu negara-negara membangun, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergantung harap kepada pengiriman wang dari luar negara. Transaksi bank yang kebiasaannya mengambil masa 2-3 hari, kini boleh dilaksanakan dalam beberapa minit sahaja, memastikan mereka mendapat dana pada waktu yang diperlukan.

Rekod tetap dan Tidak boleh dimanipulasi

Negara-negara membangun banyak yang mempunyai pentadbiran yang tidak efisyen, di mana penyelewengan kuasa berleluasa kerana tiada akauntabiliti. Kita sedia tahu pentadbiran yang tidak efisyen dan membebankan rakyat akan menyebabkan negara semakin mundur kerana krisis ekonomi yang berlaku. Lihat sahaja negara-negara yang menghadapi kadar inflasi yang tinggi – jika kita mengkaji sistem pentadbirannya, sudah pasti kita dapat lihat aktiviti seperti rasuah, nepotisme, kronisme yang berlaku tanpa apa-apa balasan.

Teknologi Blockchain yang sememangnya dibina untuk menjadi rekod lejar yang kekal akan memberi ketelusan kepada sistem pentadbiran negara. Tambahan lagi, ia akan menjadikan proses dan urusan lebih efisyen tanpa risiko kesilapan manusia, dan sumber manusia kemudiannya boleh ditumpukan kepada perkara lain yang lebih penting.

Bagaimana matawang kripto boleh digunakan di negara membangun?

Walaupun banyak usaha untuk mengkaji potensi Blockchain sebagai penyelesaian telah dibuat, hanya beberapa solusi yang sudah sampai ke tahap penggunaan. Tiga antaranya adalah:

  1. Sistem Pengiriman

Sistem pengiriman wang global secara keseluruhannya adalah berdasarkan aktiviti rakyat negara kurang/sedang membangun yang bekerja sebagai imigran di negara membangun. Pendapatan mereka kemudiannya akan dihantar pulang ke negara asal mereka untuk menyara hidup keluarga. Kebiasaanya, mereka akan menggunakan perkhidmatan seperti Western Union, MoneyGram, Uni Transfer dan macam-macam lagi kerana yuran transaksi yang lebih rendah daripada bank.

Namun begitu, platform-platform sebegini masih lagi mengenakan yuran transaksi yang agak tinggi, menambah kos kepada pengirim. Pada masa yang sama, kiriman wang dalam matawang negara membangun itu perlu ditukar kepada matawang tempatan, yang akan membebankan penerima wang itu. 

Pasaran pengiriman wang ini agak signifikan, namun begitu hanya beberapa platform sahaja yang menawarkan perkhidmatan ini menyebabkan pengguna tidak begitu banyak pilihan. Menurut kajian World Bank 2017, jumlah pengiriman wang ke negara-negara kurang/sedang membangun yang direkod pada tahun 2016 adalah $441 bilion, iaitu lebih daripada separuh jumlah pengiriman global. Kajian itu juga mendedahkan bahawa yuran transaksi untuk Sub-Saharan adalah $20 setiap $200, yuran termahal di dunia.

Dengan matawang kripto, kos transaksi boleh dikurangkan secara signifikan dan transaksi boleh berlaku dengan cepat, tanpa membebankan pengirim atau penerima. Antara aplikasi yang sudah dilancarkan termasuk SureRemit yang beroperasi di Nigeria, dan juga Rebit di Filipina.

2. Menjadikan kewangan lebih inklusif

Menurut World Bank, kini terdapat lebih 2 bilion orang di seluruh dunia yang tidak mempunyai akaun bank. Antara faktor yang menjadi penghalang adalah kadar pendapatan yang rendah, ketiadaan fasiliti, dan kurang pendidikan. Kurang daripada 15 peratus daripada penduduk negara kurang membangun yang mempunyai akaun bank seperti di Pakistan, Chad, Burundi, Niger, Yemen, Cameroon dan banyak lagi. Ketiadaan akses kepada Perkhidmatan bank atau institusi kewangan menyebabkan penduduk negara kurang membangun tidak dapat menyertai aktiviti perdagangan global menyebabkan keadaan mereka tidak boleh bertambah baik sehingga bila-bila.

Matawang kripto mempunyai potensi untuk mengubah keadaan itu. BitPesa adalah satu contoh perkhidmatan matawang kripto yang menawarkan akses kepada bank dan instrumen kewangan melalui matawang kripto. Bukan hanya untuk membuka akaun bank tetapi juga dalam perkhidmatan lain seperti pinjaman mikro, pengiriman wang, perdagangan antarabangsa dan macam-macam lagi. 

Dalam erti kata lain, matawang kripto telah memberi kuasa kepada penduduk negara kurang membangun untuk mula menyertai dunia kewangan global. Peniaga tempatan boleh berfikir lebih jauh dan mula mempertimbangkan import dan eksport barangan. Perdagangan global yang menggunakan US Dolar sebagai nilai sandaran menjadikan ia sukar untuk negara membangun menyertainya kerana memerlukan sistem yang khusus untuk membuat pertukaran matawang asing. Aplikasi seperti BitPesa, MPesa, Nebeus dan TenX banyak membantu membina jambatan antara dunia kewangan global dan negara kurang membangun.

3. Membantu dalam Krisis Ekonomi

Matawang kripto banyak digunakan sebagai alternatif kepada matawang negara yang sudah terjejas kerana kadar inflasi yang sangat tinggi.

Contohnya negara Zimbabwe yang menghadapi krisis ekonomi yang sangat teruk pada tahun 2009 menyebabkan matawang negaranya menghadapi inflasi sehingga 500 bilion peratus. Ye, 500 bilion peratus. Kejatuhan sistem kewangan Zimbabwe menyebabkan rakyat negara itu terpaksa mencari alternatif lain, dan disitulah matawang kripto mula digunakan. 

Sama juga seperti krisis ekonomi di Venezuela yang menyebabkan penduduknya berpaling ke arah Bitcoin. Mereka mengambil kesempatan ke atas kadar elektrik yang murah untuk melombong Bitcoin dan pendapatan Bitcoin ketika itu mencukupi untuk menyara hidup satu keluarga terutama dalam pembelian barang keperluan seperti susu bayi dan insulin. Kini kerajaan Venezuela telah melancarkan matawang kripto negara sendiri, iaitu Petro.

Kesimpulan

Banyak lagi potensi matawang kripto yang lain untuk membantu negara kurang membangun seperti dari segi sumbangan amal, identiti pelarian, perusahaan sosial dan banyak lagi. Potensi blockchain dan matawang kripto bukan hanya terhad kepada ekonomi yang sudah membangun atau negara maju. Malah boleh dikatakan teknologi ini boleh digunakan untuk membawa negara dunia ketiga ini ke abad ke-21. Ramai yang percaya matawang kripto boleh merevolusi sistem sedia ada, mengapa ia tidak boleh mempercepatkan pembangunan negara dunia ketiga, setuju?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.