Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Industri Pembayaran dan Matawang Kripto

Sistem pembayaran telah berkembang sejak penggunaan sistem barter di masa lampau. Daripada barangan kepada bijian, daripada logam kepada kertas, daripada akaun bank ke e-wallet, bentuk wang melalui perubahan mengikut peredaran zaman. Memandangkan pembayaran adalah salah satu komponen paling penting dalam kehidupan, dan hampir semua perkara akan melibatkan pembayaran, tidak hairanlah jika kadar perkembangan industri pembayaran berlaku dengan sangat pantas.

Menurut laporan McKinsey tentang pembayaran global tahun 2018, pendapatan pembayaran global melonjak ke $1.9 trilion pada tahun 2017, dan dijangka akan mencecah $3 trilion dalam masa lima tahun. $3 trilion atau $3,000,000,000,000. Banyak ke tak tu?

Evolusi Industri Pembayaran

Sebelum inovasi dari Internet

Pada tahun 1979, Visa telah memperkenalkan terminal kad kredit.

Menjelang tahun 1980an, penggunaan pembayaran secara elektronik telah menular dalam komuniti retail dan melancarkan beberapa syarikat hardware seperti Hypercom, Ingenico, Verifone dan lain-lain.

Terminal kad kredit yang diperkenalkan oleh Visa telah berkembang dengan meluas dan berjaya mengubah peranan rangkaian pembayaran dan juga pemproses pembayaran. Dari syarikat logistik baucar kertas kepada pembekal komunikasi elektronik untuk kemudahan pembayaran elektronik.

Contoh terminal kad kredit pada tahun 1970an

Dengan kemunculan perniagaan berdasarkan internet, permintaan terhadap terminal pembayaran yang baru meningkat, dan menjana pembangunan syarikat-syarikat baru seperti Authorize.net, Cybersource dan Bibit. Namun begitu, syarikat-syarikat baru ini terlalu kecil untuk bersaing dengan pemproses pembayaran sedia ada, oleh itu mereka mula fokus kepada teknologi yang bersemuka dengan peniaga atau pelanggan, dan bukannya infrastruktur pembayaran sahaja.

Syarikat-syarikat ini kemudiannya dikenali sebagai payment gatewayPayment gateway adalah sama dengan terminal pembayaran, bezanya mereka beroperasi di web, mengubah suai transaksi berdasarkan internet supaya bayaran ini kemudiannya boleh disalurkan ke pemproses pembayaran sedia ada.

Perubahan yang dibawa oleh teknologi

 

Pada tahun 1994, satu startup bernama Amazon.com membuka perniagaannya. Tahun berikutnya, eBay dilancarkan.

Dengan perkembangan pantas online commercepayment gateway mula menghantar jumlah transaksi yang semakin hari semakin besar kepada pemproses pembayaran. Dan syarikat pemproses pembayaran besar mula memperoleh syarikat payment gateway tersebut.

Pada waktu ini, syarikat payment gateway mula berkembang dengan pesat kerana perkhidmatan mereka dikhususkan kepada segmen peniaga, supaya tiada satu gateway sahaja yang boleh berkhidmat untuk keperluan keseluruhan pengkalan data pengguna pemproses bayaran itu. Ini bermakna mereka tidak terbeban kerana jumlah transaksi yang sangat besar.

Untuk memenuhi keperluan mereka, pemproses pembayaran perlu bekerjasama atau memperoleh beberapa payment gateway. Menjelang tahun 2000an, pembangun software sudah mula integrasi dengan payment gateway dan menghantar transaksi kepada beberapa pemproses pembayaran. Selain daripada itu, teknologi juga telah membawa inovasi lain seperti penambahan ruangan penyimpanan data dan kuasa pemprosesan, enkripsi data, tokenisasi dan integrasi pembayaran kepada software point-of-sales (PoS).

Era pelbagai pilihan

Hari ini, terdapat banyak pilihan pemproses pembayaran dan payment gateway untuk peniaga. Dan dengan teknologi juga, pilihan kaedah pembayaran juga sudah bertambah untuk pengguna untuk memenuhi keperluan yang berbeza.

Kini, pengguna boleh memilih untuk ke kedai fizikal dan membayar menggunakan tunai atau kad, kedai online dan menggunakan kad, pemindahan bank secara onlinee-wallet mahupun matawang kripto. Dan setiap kaedah pembayaran datang dengan kelebihan dan keburukan masing-masing.

Sebelum ini penulis telah mengeluarkan artikel membuat perbandingan SWIFT, Visa dan matawang kripto. Masalah utama matawang kripto dalam industri pembayaran adalah penskalaan dan penggunaan meluas. Dan ia umpama situasi catch-22. Tanpa penskalaan, sukar untuk menggalakkan penggunaan meluas kerana infrastruktur blockchain sedia ada tidak dapat menampung jumlah transaksi besar yang diperlukan untuk sistem berjalan dengan lancar. Dan jika tiada penggunaan meluas, tidak berbaloi untuk menskalakan blockchain kerana kos yang tinggi dan risiko yang berkaitan.

Namun begitu, terdapat pelbagai sebab yang logik mengapa matawang kripto sepatutnya diterima sebagai kaedah pembayaran dalam industri pembayaran.

1. Yuran

Gambar di atas menerangkan bahagian dalam jumlah yang dibayar oleh pelanggan yang akan pergi kepada setiap pengantara sebelum ia tiba kepada peniaga. Bayangkan, jika anda membayar menggunakan tunai, kemungkinan besar kadar yang anda bayar adalah kurang daripada $100 seperti di atas. Jika tidak pun, peniaga akan mendapat kesemua $100 itu tanpa perlu kehilangan $2.50 setiap pelanggan kepada pengantara yang lain.

Inilah yang dikatakan yuran yang berkaitan dengan kad debit atau kredit – di mana sebahagian daripadanya hilang daripada pengguna atau peniaga tanpa memberi kebaikan kepada kedua-duanya, dua pihak yang sepatutnya memperoleh kesemua kebaikan dalam transaksi perniagaan.

Berbanding dengan kad debit atau kredit, jika anda membayar peniaga terus dengan matawang kripto seperti Bitcoin atau Litecoin atau Dash, yuran transaksi anda yang dikenakan adalah untuk pemproses transaksi yang bekerja untuk memastikan keseluruhan blockchain berjalan dengan lancar. Jika tidak pun, anda akan membayar melalui payment gateway matawang kripto seperti Bitpay dan Coinpayment yang hanya mengambil dari 0.5 hingga 1 peratus setiap transaksi. Itu sahaja. Tiada lagi yuran kad, yuran ATM, yuran peniaga, yuran akaun bank, yuran overdraft dan segala jenis yuran lain yang berkaitan.

2. Privasi data

Kita semua tahu sebaik sahaja kita membuka akaun bank dan mengambil kad debit atau kredit, segala jenis maklumat peribadi kita telah diambil oleh bank atau pembekal kad kredit. Selain daripada itu, peniaga, pembekal perkhidmatan dan entiti lain juga banyak yang menyimpan maklumat peribadi kita tanpa diketahui. Maklumat termasuk nama, alamat, no kad pengenalan, tarikh lahir, pelaburan, baki akaun bank, sejarah transaksi, aktiviti pembelian dan sebagainya. Bagi institusi kewangan tradisional, maklumat kita adalah sangat bernilai bagi mereka.

Transaksi matawang kripto seperti kita tahu menghadkan maklumat dalam transaksi hanya kepada satu siri nombor (alamat wallet) dan ID transaksi yang mengesahkan transaksi itu berlaku. Jika anda membayar melalui pemproses pembayaran matawang kripto pula, anda selalunya akan memberi nama anda, tetapi maklumat lain tidak perlu diberi kerana anda tidak akan menggunakan akaun bank anda dalam transaksi sebegini.

3. Penggunaan komersial meluas

Transaksi matawang kripto mungkin adalah paling berguna untuk transaksi antarabangsa. Ini adalah kerana berbanding dengan pemindahan bank yang mengambil masa beberapa jam hingga beberapa hari, setiap transaksi matawang kripto tidak kira dalam negara atau antarabangsa akan berlaku serta-merta – tidak perlu menunggu beberapa jam, yuran pemindahan antarabangsa, mahupun had penghantaran.

Selain itu, semakin ramai yang menyimpan matawang kripto semakin besar potensi penggunaan matawang kripto sebagai pembayaran. Bitpay, antara payment gateway matawang kripto paling berjaya, telahpun memproses transaksi bernilai $1 bilion setahun dan Coinpayments, satu lagi payment gateway popular sudahpun berkhidmat dalam 200 buah negara. Payment gateway lain termasuk Coingate yang berkhidmat untuk 50,000 peniaga, dan Utrust yang bekerjasama dengan Payrexx.

Dan potensi paling besar adalah di negara yang menghadapi krisis ekonomi di mana nilai matawang negara mereka terlalu rendah dan kadar inflasi yang sangat tinggi menjejaskan kehidupan mereka. Negara-negara seperti Turki, Venezuela, Brazil, Argentina dan Afrika Selatan mempunyai jumlah pengguna matawang kripto yang sangat besar, dan mereka menganggap matawang kripto sebagai penyelamat ketika negara mereka menghadapi masalah kewangan yang sangat teruk.

Kesimpulan

Peredaran zaman dan perkembangan teknologi telah membawa pelbagai inovasi dalam industri pembayaran. Adakah matawang kripto bakal ataupun sudah menjadi inovasi seterusnya dalam industri ini? Ramai yang berpendapat begitu. Walaupun penggunaan matawang kripto sebagai pembayaran masih lagi terhad, dan jumlah transaksi yang boleh ditampung masih kecil, ramai yang percaya bahawa dengan usaha pembangun matawang kripto, infrastruktur blockchain akan bertambah baik dan berpotensi menggantikan pemproses pembayaran legasi sedia ada dalam industri ini.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.