Default – Above Header Ads

Orvium, Platform Penerbitan Ilmiah berdasarkan Blockchain

Industri mana yang secara senyap-senyap telah berjaya mencapai margin keuntungan lebih tinggi daripada Google? Jawapannya bukan platform e-commerce atau bank atau pencipta smartphone, tetapi ia adalah satu sektor yang sangat terpencil dalam industri penerbitan.

Sektor ini adalah penerbitan jurnal saintifik di mana tiga syarikat terbesar yang mewakili hampir separuh daripada keseluruhan sektor ini, telah berjaya tersenarai dalam syarikat teratas di dunia. Elsevier yang beroperasi di New York, mewakili 24% daripada pasaran jurnal saintifik telah mengumumkan keuntungan lebih USD$900 juta dengan margin keuntungan sebanyak 36.8%.

Jadi apakah potensi implementasi teknologi Blockchain dalam industri ini?

Orvium, adalah infrastruktur terbuka desentralisasi yang pertama yang dibangunkan untuk mengurus penerbitan jurnal akademik dan juga data yang berkaitan. Menurut pencipta Orvium, masalah utama industri ini adalah penyelidik tidak mendapat bayaran daripada syarikat-syarikat penerbitan untuk kajian mereka, tidak seperti sektor penerbitan lain yang membayar penulis dan juga editor.

Syarikat-syarikat penerbitan ini kemudiannya menjual kembali jurnal-jurnal saintifik ini kepada kerajaan dan institusi pendidikan dengan harga yang tinggi, dan di sinilah mereka mendapat margin keuntungan yang tinggi – dengan menjual kajian daripada para saintis yang menyerahkan hak ciptaan kepada syarikat penerbitan untuk menerbitkan jurnal mereka.

Orvium dibangunkan oleh sekumpulan saintis yang mempunyai pengalaman bekerja di insitusi terbesar dunia, termasuk CERN dan NASA, dan matlamat utama Orvium adalah untuk menyediakan alternatif dalam teknologi Blockchain kepada penyelidik dan juga orang ramai. Orvium membolehkan penyelidik berinteraksi secara langsung dengan pembaca dan mengemaskini kajian mereka dalam Blockchain.

Menurut pencipta Orvium, Manuel Martin. jika satu jurnal saintifik itu belum diterbitkan, ia bermakna jurnal itu tidak wujud. Kebiasaannya, satu penyelidikan akan mengambil masa beberapa tahun untuk diterbitkan dan diedarkan kepada orang ramai. Orvium boleh mempercepatkan proses penerbitan jurnal, menjadikan kajian lebih relevan dengan masa kini.

Orvium ditubuhkan pada tahun 2017, dan ia membolehkan penyelidik mengekalkan hakmilik ke atas kertas kajian mereka, dan juga menentukan akses kepada kajian dan penemuan mereka – sama ada percuma atau berbayar.

Setiap transaksi dalam Blockchain Orvium seperti penghantaran manuskrip, penerbitan, maklumat berkaitan dan lain-lain akan disimpan dalam lejar dan membolehkan pembaca mengikuti perkembangan sesuatu kajian itu daripada permulaan sehingga pengakhiran. Orvium juga menawarkan ruang penyimpanan terdesentralisasi untuk penerbitan saintifik.

Terbaru, Orvium telah mengumumkan kerjasama dengan penerbit Publishers in Digital Health, syarikat di sebalik jurnal peer-reviewed Blockchain in Healthcare Today dan Telehealth and Medicine Today. Kerjasama ini akan dimulakan dengan pelancaran Telehealth dan Medicine Today (TMT) dalam platform Orvium.

TMT adalah jurnal peer reviewed yang terbuka di mana tokoh-tokoh kesihatan membincangkan solusi dalam bidang kesihatan dalam sektor teknologi yang transformatif dan moden. Menurut Manuel Martin, kerjasama dengan TMT adalah langkah yang besar buat Orvium yang menandakan keyakinan syarikat penerbitan besar terhadap teknologi Blockchain dan juga keupayaan Orvium sendiri.

Kesimpulan

Orvium adalah antara projek Blockchain yang ingin menjadi penyelesaian kepada isu monopoli dan oligopoli dalam kebanyakan pasaran di dunia. Dengan implementasi teknologi Blockchain, kedua-dua penyelidik dan pembaca boleh mendapat kebaikan tanpa perlu melalui orang tengah atau pihak ketiga yang mengaut segala keuntungan.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads