Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Perkembangan Blockchain: Gen 1.0, 2.0 dan 3.0

Blockchain sudah berumur 10 tahun dan masih lagi dianggap satu hype dalam masyarakat sedunia. Dalam masa satu dekad, banyak yang telah dicapai oleh Blockchain dan anda boleh membaca tentangnya di artikel ini:     Dah Satu Dekad: Apa Pencapaian Blockchain?  

Seperti mana-mana teknologi, Blockchain berkembang mengikut tahap. Bermula dengan perkenalannya oleh Satoshi Nakamoto melalui whitepaper tentang cara pembayaran peer-to-peer, ataupun Bitcoin, pada hari ini kita sudah dapat melihat pelbagai dimensi baru dalam aplikasi teknologi Blockchain di seluruh dunia.

Rata-rata peminat kripto atau teknologi Blockchain bersetuju teknologi ini telah berkembang sehingga ke generasi ketiga. Betul ke? Dalam artikel ini, kita akan boleh melihat perkembangan Blockchain dari generasi pertama sehinggalah generasi ketiga.

Generasi 1.0 : Bitcoin dan matawang kripto

Teknologi Blockchain bermula dengan perkenalan Bitcoin Melalui whitepaper yang ditulis oleh Satoshi Nakamoto. Dalam kertasnya, Satoshi melakar satu sistem pembayaran digital secara langsung antara dua pihak yang tidak memerlukan perantara. Sehingga hari ini, masih ramai lagi pembangun di seluruh dunia yang menganggap teknologi Blockchain adalah jawapan kepada isu kewangan yang masih dihadapi sehingga hari ini.

Kejayaan teknologi Blockchain bergantung kepada lejar yang merekod transaksi yang dikongsi oleh non-nod dari seluruh dunia dalam satu rangkaian. Ia tidak mempunyai satu titik kegagalan, atau one point of failure, yang menjadi risiko kepada kuasa pusat. Jika dalam sistem kewangan konvensional, kepercayaan diletakkan kepada bank untuk mengesahkan transaksi atau integriti sesuatu lejar, Blockchain yang menggabungkan kriptografi dan kod komputer untuk menjalankan satu sistem pengesahan yang efisyen.

Bitcoin melambangkan generasi 1.0 teknologi Blockchain, dan selepas Bitcoin banyak matawang kripto lain yang dicipta berdasarkan Bitcoin, dan mempunyai fungsi mudah seperti Bitcoin, seperti Litecoin, Dash, Monero dan sebagainya. Dalam erti kata lain, generasi pertama Blockchain adalah tentang wang, atau lebih tepat lagi matawang kripto yang digunakan untuk memindahkan nilai, di mana Blockchain memindahkan hakmilik dan merekod transaksi.

Generasi 2.0 : Ethereum dan Pengurusan Aset Digital

Seperti yang kita tahu, teknologi pasti akan berkembang. Penggunaan matawang kripto sebagai medium pembayaran telah membuka peluang pembangun lain untuk menggunakan Blockchain dalam fungsi lain dan ini telah melahirkan generasi kedua Blockchain, iaitu pengurusan aset digital.

Generasi Blockchain ini telah membawa kepada pemilikan yang dikongsi; sesuatu yang perlu dikongsi bersama dalam skala kecil dengan cara memberi pemilik kuasa melalui undian dan pengedaran keuntungan melalui dividen. Dan Ethereum adalah contoh terbaik yang melambangkan generasi kedua Blockchain.

Ethereum membolehkan pembangun meletakkan peraturan masing-masing untuk menentukan hakmilik, format transaksi dan fungsi-fungsi lain. Ia menggunakan bahasa pengkomputeran yang memahami keadaan sistem Blockchain pada masa sama adalah Turing-complete, yang bermakna ia boleh memasukkan apa sahaja kod dan melaksanakannya dalam sistem itu.

Dalam erti kata lain, Ethereum membolehkan teknologi Blockchain digunakan untuk membantu dalam pengurusan aset digital tanpa memerlukan hakmilik satu pihak. Dengan Ethereum, server dan cloud digantikan oleh nod-nod yang dijalankan oleh komputer dari seluruh dunia. Ethereum memberi penyelesaian kepada Internet yang dikuasai oleh satu pihak (seperti Google dan Facebook) dan memulangkan kuasa itu kepada orang ramai melalui Blockchain.

Generasi 3.0 : Penskalaan Blockchain

Tidak dinafikan isu utama dalam Blockchain pada waktu ini adalah skalabiliti dan juga kelajuan transaksi. Selain daripada itu, setiap Blockchain berada dalam situasi silo, bermakna ia tidak berinteraksi sesama sendiri. Generasi ketiga Blockchain berfungsi untuk menjadikan aliran informasi lebih efisyen, pada masa yang sama mengembangkan fungsi smart contract yang dibawa oleh Ethereum.

Perkembangan teknologi Blockchain membawa kepada penyelesaian isu-isu di atas. Kini terdapat beberapa projek Blockchain yang menghubungkan dua atau lebih Blockchain, membolehkan rangkaian Blockchain itu berinteraksi dan membuat transaksi sesama sendiri secara langsung, tanpa memerlukan penggunaan platform pertukaran.

Generasi ketiga Blockchain juga menawarkan pelbagai lapisan fungsi. Anda boleh mempunyai satu lapisan yang mengurus kontrak, satu lapisan membuat transaksi, dan satu lagi lapisan untuk menyimpan dan berkongsi data sesama Blockchain. Penambahbaikan yang dibawa generasi ketiga Blockchain adalah dari segi kelajuan dan keselamatan rangkaian. Contohnya seperti Ethereum yang berdepan dengan rangkaian yang perlahan apabila token baru ditambah ke dalam Blockchain itu. 

Kini, banyak projek yang sudah mula menambah baik infrastruktur Blockchain. Kemunculan teknologi di bawah payung DLT atau distributed ledger technology seperti Tangle, DAG dan sebagainya membuktikan Blockchain bukanlah versi terakhir dalam teknologi yang membangun ini. Malah, dalam pasaran kripto sendiri terdapat beberapa kelas token/coin yang baru seperti token sekuriti.

Kesimpulan

Apa yang pasti, teknologi Blockchain seperti teknologi lain sentiasa berkembang dan setiap evolusi pasti membawa pembaharuan dan penambahbaikan kepada versi sedia ada. Hari ini sudah terdapat pelbagai jenis aplikasi Blockchain yang tidak terhad kepada sektor kewangan sahaja. Walaupun penggunaannya masih tidak menyeluruh, dan ia lebih banyak tentang hype matawang kripto lebih dari potensi Blockchain, pada suatu hari nanti Blockchain pasti akan menjadi sesuatu yang ‘normal’ dalam kehidupan kita, seperti yang dinyatakan dalam ulasan MIT.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads