Teknologi Blockchain bukan Hanya untuk Korporat dan Syarikat Besar

Teknologi Blockchain di Negara Membangun

Selalunya bila kita bercakap tentang teknologi Blockchain, benda yang pertama muncul di minda ialah matawang kripto, atau lebih spesifik Bitcoin, yang merupakan aplikasi pertama teknologi Blockchain. Kini pakar-pakar akademik dan industri sudah mula membincangkan tentang potensi teknologi Blockchain melangkaui matawang kripto. Penulis juga ada menulis beberapa artikel tentang penggunaan teknologi Blockchain dalam sektor-sektor lain.

Memandangkan teknologi Blockchain pertama kali muncul dalam negara yang sudah membangun, sudah tentu aplikasi teknologi Blockchain sering dibincangkan dalam skop negara maju. Contohnya dalam sektor perbankan, di mana implementasi teknologi Blockchain atau dikenali dengan nama distributed ledger technology (DLT) menjadikan proses-proses seperti clearing and settlement, pembayaran, transaksi perdagangan dan pinjaman dalam sistem perbankan lebih efektif. Banyak bank global termasuk UBS, Goldman Sachs dan JPMorgan Chase sudah membuat penyelidikan tentang teknologi Blockchain dan bagaimana ia boleh diimplementasi dalam bank.

Selain itu, teknologi Blockchain sudah mula ditawarkan sebagai solusi dalam syarikat, terutama dalam supply chain, logistik dan operasi syarikat lain. Lihat sahaja projek Hyperledger yang ahlinya terdiri daripada syarikat-syarikat gergasi seperti Microsoft, IBM, Linux dan banyak lagi. Atau Ethereum Enterprise Alliance yang menghubungkan syarikat-syarikat Fortune 500, pakar akademik dan startups dalam satu usaha kolaboratif. Secara amnya, penyelidikan tentang potensi teknologi Blockchain lebih kepada sektor swasta dan bagaimana ia boleh “disrupt” sistem yang sedia ada.

Keperluan teknologi Blockchain di Negara Kurang Membangun

Pernahkah anda terfikir tentang potensi teknologi Blockchain di sektor awam? Atau negara-negara yang kurang membangun? Ya, betul, bukan golongan atasan dunia kewangan sahaja yang boleh mendapat manfaat daripada teknologi Blockchain.

Di negara-negara membangun, penguatkuasaan undang-undang yang kuat melindungi hak-hak pengguna dan memastikan syarikat-syarikat tidak mengambil kesempatan terhadap mereka. Keadaan ini mendorong syarikat-syarikat untuk menawarkan servis atau produk yang mematuhi undang-undang, untuk melindungi pengguna dan juga syarikat itu sendiri. Di negara kurang membangun, undang-undang mungkin wujud untuk melindungi pengguna, namun institusi yang lemah menyebabkan penipuan oleh syarikat dan korupsi berleluasa.

Contohnya di sesetengah negara Afrika, pengguna perlu memasukkan deposit minimum yang sangat besar untuk membuka akaun, kadang-kadang lebih daripada pendapatan setahun. Menurut satu survey, kos 1GB internet adalah lebih 6 peratus daripada purata pendapatan. Malah, perniagaan-perniagaan kecil juga sukar untuk mengekalkan operasi kerana sumber kapital dan akses kepada institusi kewangan yang terhad.

Teknologi Blockchain mampu untuk mengubah itu semua. Teknologi Blockchain boleh membaik pulih sistem dalam negara dan juga menguatkan institusi serta menuju ke arah financial inclusion kerana ia menghalang penipuan, korupsi dan juga mendorong kepada akauntabiliti semua pihak. Sistem teknologi Blockchain itu sendiri menguatkuasakan peraturan tentang keselamatan dan juga pengesahan transaksi. Ini adalah antara ciri-ciri yang menjadikan teknologi ini selamat dan murah, lebih-lebih lagi bagi pengguna di negara-negara kurang membangun.

Sektor Kewangan

Ini adalah sektor yang mempunyai potensi paling besar untuk berkembang melalui teknologi Blockchain. Dalam sektor ini sahaja sudah terdapat beberapa proses yang boleh menjadi lebih efektif dan efisien.

1. Remittance (penghantaran wang ke luar negara)

Pada tahun 2016, pekerja asing menghantar sebanyak lebih kurang USD$442 bilion kepada keluarga mereka di negara tempat tinggal mereka. Proses penghantaran wang secara global adalah sesuatu yang sangat penting dan merupakan faktor utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di negara kurang membangun.

Namun begitu, proses ini melibatkan kos dan yuran yang sangat tinggi, termasuk kos pertukaran matawang dan juga bayaran komisyen. Pada tahun 2015, kos transaksi ke luar negara mencecah hampir 11 peratus melalui bank dan 7 peratus melalui operator pengantaran wang. Teknologi Blockchain dan matawang kripto telah membuka jalan untuk penghantaran wang dengan kos yang sangat rendah.

Bitspark, sebuah syarikat yang beroperasi di Hong Kong menetapkan kos penghantaran yang sangat rendah, iaitu HK$15 untuk penghantaran kurang daripada HK$1,200 yang bersamaan dengan USD$2 untuk transaksi kurang daripada USD$150. Berbanding dengan penghantaran melalui bank atau operator lain, syarikat ini hanya meletakkan caj kurang daripada 1 peratus untuk setiap transaksi. Terdapat banyak lagi servis lain yang sudah mula beroperasi untuk penghantaran wang ke Philippines, Ghana, Zimbabwe, Uganda, Sierra Leone and Rwanda dengan caj bayaran yang sangat rendah.

2. Microfinance

Microfinance adalah perkhidmatan kewangan termasuk akaun penyimpanan, dana insurans dan pinjaman yang ditawarkan kepada pengguna yang berpendapatan rendah atau miskin. Microfinance dianggap sebagai sesuatu yang sangat penting dalam membangunkan negara miskin kerana banyak aktiviti yang melibatkan wang di negara membangun, tidak sama di negara miskin. Di situ, masyarakat mengekalkan sistem barter atau pertukaran barangan yang tidak melibatkan wang untuk mendapat akses kepada servis-servis ini.

Konsep microfinance ini bergantung kepada kepercayaan yang sangat tinggi kerana pinjaman boleh dibuat tanpa perlu kolateral. Oleh itu, mekanisme untuk memastikan sistem ini efektif termasuk menjadikan satu ahli yang meminjam bertanggungjawab terhadap ahli lain. Kaedah ini memberi insentif untuk ahli-ahli lain bekerjasama untuk memastikan pinjaman dibayar kembali.

Dengan adanya teknologi Blockchain, pengurusan microfinance menjadi lebih efektif dan pengguna tidak terhad dalam transaksi yang dibuat. Denominasi matawang kripto yang kecil dan yuran transaksi yang rendah sedikit sebanyak mengurangkan beban peminjam ataupun pengguna lain.

3. Insurans

Seperti yang kita tahu, kos untuk mendapatkan insurans, tidak kira sama ada insurans kereta, rumah atau perubatan agak mahal, lebih-lebih lagi di negara kurang membangun. Kos pentadbiran adalah antara kos yang tertinggi dalam insurans, di mana setiap satu dollar premium yang dikutip, kos pentadbiran adalah antara $0.28 sehingga melebihi $1.

Dan di negara-negara ini, kurang daripada 15 peratus daripada populasi yang mempunyai insurans kesihatan. Keadaan ini menyebabkan kesesakan di hospital-hospital awam, pada masa sama menghalang penduduk yang tinggal di kawasan terpencil daripada mendapat akses kepada perubatan.

Teknologi Blockchain boleh mengurangkan kos-kos pentadbiran dan juga perbelanjaan untuk mengelakkan penipuan kepada pemberi insurans, dan ini secara tidak langsung mengurangkan premium yang dikenakan kepada pengguna. Satu contoh syarikat yang menawarkan perkhidmatan microinsurance adalah Consuelo yang di sokong oleh syarikat pembayaran mudah alih di Mexico, iaitu Saldo.mx.

4. Bantuan kemanusiaan

Penulis rasa yang paling menarik sekali adalah bagaimana teknologi Blockchain boleh membaik pulih sektor humanitarian aid, atau bantuan kemanusiaan. Pernahkah anda tertanya-tanya ke mana duit yang anda dermakan pergi? Adakah ia dihantar terus kepada mereka yang memerlukan? Walaupun ia tidak mendapat liputan meluas, tetapi organisasi-organisasi yang menawarkan bantuan kemanusiaan juga tidak lari daripada korupsi, penipuan, diskriminasi dan pengurusan yang tidak efektif.

Sistem berdasarkan teknologi Blockchain boleh mengurangkan kos, dan juga mempercepatkan transaksi ke kawasan yang dilanda musibah atau yang terpencil. Dalam keadaan tertentu, matawang kripto juga boleh menggantikan wang tunai, membolehkan organisasi, penduduk dan perniagaan menggunakannya untuk pertukaran barangan dan perkhidmatan. Satu projek di Afrika Selatan, Usizo, adalah satu platform berdasarkan teknologi Blockchain yang membolehkan sesiapa sahaja membayar bil elektrik untuk sekolah-sekolah di situ. The Sun Exchange pula membolehkan pelabur membeli dan menyewakan sel solar kepada sekolah dan perniagaan di Afrika sebagai alternatif kos elektrik yang mahal.


Sebenarnya banyak lagi sektor-sektor dan industri di negara-negara yang kurang membangun yang boleh mendapat manfaat daripada teknologi Blockchain. Benarlah kata pakar ekonomi Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, “Financial inclusion penting bukan sahaja kerana ia menggalakkan perkembangan, tetapi ia juga memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dikongsi bersama. Akses kepada perkhidmatan kewangan memainkan peranan penting dalam mengeluarkan orang awam daripada belenggu kemiskinan, memberi kuasa kepada wanita, dan membantu kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada orang awam.”

Penulis pasti, di Malaysia juga kita boleh mendapat banyak manfaat daripada teknologi Blockchain. Persoalannya, bilakah Malaysia akan mula mengorak langkah ke hadapan dalam implementasi teknologi Blockchain?