Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Vitalik Buterin: Satu Lagi Genius yang Keluar Universiti

Siapa yang tidak kenal siapa kat atas ni, sila serahkan simpanan Ethereum anda kepada saya.

Tahukah anda Vitalik Buterin ni menubuhkan Etherum sewaktu beliau hanya berumur 19 tahun? Cuba anda ingatkan kembali apa yang anda buat semasa anda berumur 19 tahun. Kalau waktu itu anda telah berjaya mencipta satu matawang kripto baru yang mempunyai matlamat untuk menjana pembangunan matawang kripto baru, token dan smart contract anda layak digelar seorang genius setanding Einstein.

Itulah Vitalik Buterin.

Dari Rusia ke Kanada

Vitalik Buterin lahir pada tanggal 31 Januari 1994 di sebuah bandar kecil di Rusia, Colomna. Sewaktu berumur 6 tahun, kedua ibu bapanya mengambil keputusan untuk berpindah ke Kanada, di mana ia lebih mudah untuk mencari pekerjaan yang berkaitan dengan latar belakang bapanya dalam bidang kejuruteraan komputer.

Di situlah bermulanya perjalanan kehidupan Vitalik sebagai seorang genius. Salah seorang daripada guru yang mengajarnya telah menukarkannya ke kelas untuk pelajar yang mempunyai IQ yang tinggi. Vitalik mula mengembangkan minat secara mendalam dalam bidang matematik, programming dan juga ekonomi.

Seperti kebanyakan remaja, Vitalik juga menghabiskan masa terluangnya dengan bermain World of Warcraft. Disitulah dia belajar bahawa program yang dikawal kuasa pusat boleh memberi kesan negatif kepada pengguna. Ini adalah kerana karakter yang dimainkan dalam permainan itu berubah secara drastik apabila World of Warcraft dikemaskini ke versi terbaru. Akhirnya, Vitalik membuat keputusan untuk berhenti bermain World of Warcraft.

Perkenalan Vitalik kepada Bitcoin dan matawang kripto

Pada tahun 2011, bapa Vitalik telah memperkenalkannya kepada Bitcoin. Pada masa itu, bapanya memiliki syarikat teknologi yang dijual kerana dia ingin fokus kepada teknologi Blockchain disebalik Bitcoin.

Bapa borek anak rintik.

Tetapi pada awalnya, Vitalik tak berminat pun dengan teknologi Blockchain atau Bitcoin. Genius pun adalah manusia biasa, dan Vitalik yang berumur 17 tahun ketika itu adalah seperti remaja-remaja lain. Namun begitu, satu elemen yang menarik perhatian Vitalik adalah ciri-ciri desentralisasi matawang kripto.

Selepas berbulan membaca dan menyelidik tentang Bitcoin dan teknologi Blockchain, Vitalik membuat keputusan untuk memiliki Bitcoin. Memandangkan Vitalik tidak mempunyai duit untuk membeli Bitcoin, beliau membuat kontrak dengan satu blog Bitcoin untuk dibayar 5 BTC bagi setiap artikel yang ditulis.

Ingat, Bitcoin ketika itu hanya bernilai USD$1, jadi bayaran yang diambil oleh Vitalik sangat rendah. Adakah anda akan menerima pekerjaan itu jika anda berada di tempat Vitalik?

Tidak berapa lama kemudian, Vitalik memulakan Bitcoin Magazine dengan penulis Mihai Alise. Bitcoin Magazine adalah salah satu risalah terbesar dalam dunia matawang kripto sehingga kini. Di situlah permulaan penglibatan Vitalik dengan lebih mendalam dalam komuniti dunia kripto, sehinggalah Vitalik mengambil keputusan untuk keluar daripada universiti untuk fokus kepada teknologi Blockchain.

Keluar Universiti, masuk Kripto

Bermula pada tahun 2013, selepas Vitalik berhenti menuntut pengajian di universiti, beliau mula menjelajah dunia untuk mencari pengalaman dan menambah ilmu tentang teknologi Blockchain. Vitalik bertemu dengan banyak developer dalam pelbagai tahap projek Blockchain dan ini menambah minatnya untuk membangunkan sesuatu.

Sewaktu Vitalik di Israel, beliau berjumpa dengan dua syarikat yang sedang membina sesuatu yang hampir sama dengan apa yang Vitalik kemudiannya bangunkan sebagai Ethereum. Kedua-dua syarikat ini ingin mengeluarkan token dan smart contract di atas Blockchain Bitcoin.

Vitalik mengolah idea mereka dan disitulah tercetusnya rangka Ethereum. Idea Vitalik adalah untuk mencipta matawang kripto baru yang membolehkan developer lain menggunakan smart contract dan membangunkan token sendiri menggunakannya. Vitalik mencadangkan ideanya kepada kedua-dua syarikat tadi, namun tidak dapat menarik minat mereka.

Mesti kedua-dua syarikat tu menyesal sebab tidak mahu menerima idea Vitalik. Padan muka!

Tertubuhnya Ethereum

Menjelang akhir tahun 2013, Vitalik telah menulis satu whitepaper yang menerangkan dengan lebih mendalam apa itu Ethereum. Beliau mula menghantar whitepaper itu kepada rakan-rakannya yang kemudiannya mengedarkannya kepada kenalan mereka.

Beberapa rakannya yang merasakan idea Vitalik mempunyai potensi menyertainya dalam projek Ethereum. Vitalik membuat keputusan untuk membawa team beliau ke Zug, Switzerland dan menubuhkan Ethereum Foundation, sebuah organisasi non-profit yang bertanggungjawab untuk membangunkan Ethereum sebagai open source software.

Pada tahun 2014, Ethereum melancarkan ICO dan berjaya mengutip sebanyak 31,000 Bitcoin yang pada masa itu bernilai USD$18.3 juta. Nilai kutipan Ethereum itu menjadikan ia antara kutipan ICO terbesar ketika itu.

Vitalik, kini dan seterusnya

Di masa kini Ethereum adalah matawang kripto ketiga terbesar selepas Bitcoin dan Ripple, dengan modal pasaran berjumlah USD$13 bilion. Ianya digunakan untuk beribu-ribu aplikasi, oleh beratus ribu developer dan syarikat Blockchain seluruh dunia, dan masih lagi bertakhta sebagai smart contract platform di dunia matawang kripto.

Antara pencapaian terbesar Ethereum, selain daripada kutipan ICO adalah penubuhan satu kerjasama untuk mengkaji, belajar dan berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan teknologi Ethereum yang digunakan dalam banyak aplikasi kompleks dalam pelbagai sektor dan industri. Kerjasama ini, yang dinamakan Enterprise Ethereum Alliance mempunyai lebih 500 ahli yang terdiri daripada syarikat-syarikat ternama seperti Microsoft, IBM, Intel, Ernst & Young dan macam-macam lagi.

Vitalik sendiri telah tersenarai dalam beberapa senarai Tokoh Muda Berpengaruh di Dunia.

Pada tahun 2016, Vitalik berjaya tersenarai dalam Fortune’s 40 Under 40, dan pada tahun 2018 beliau lagi sekali tersenarai dalam senarai yang sama, dan kedudukannya naik daripada ke-31 kepada ke-22.

Vitalik juga mendapat tempat kedua dalam Fortune’s 2018 Ledger 40 Under 40, inisiatif pertama di dunia untuk mencipta honor roll bagi tokoh-tokoh muda di bawah umur 40 yang berjaya mengubah dunia perniagaan. Tahun ini juga Vitalik tersenarai dalam senarai Forbes’ 30 Under 30 yang termasuk Naib Presiden dan Pengarah Goldman Sachs, founder beberapa syarikat aset terbesar dunia, Naib Presiden Bank of America dan ramai lagi.

Pencapaian Vitalik sangat menakjubkan memandangkan beliau hanya berumur 23 tahun. Kini, Vitalik menetap di Singapura, di mana beliau mengetuai sektor Asia Ethereum. Menurut komuniti Reddit, Vitalik memiliki sebanyak 630,000 Ether dan pada April 2016, Vitalik telah menjual 25 peratus daripada simpanannya. Komuniti kripto menganggarkan bahawa Vitalik memiliki aset bernilai lebih kurang USD$170 juta, dan Forbes meletakkan net worth Vitalik dalam angka USD$100-$200 juta selepas harga Ether jatuh.

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.