Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

IEO Versi Terbaru (Dan Lebih Baik) ICO?

Hype ICO sudah berakhir

Beberapa tahun yang lalu, hype ICO masih lagi mendominasi pasaran kripto. Ia umpama pintu gerbang kepada dunia kripto, menarik ratusan ribu pelabur membeli token atau coin baru. Jika anda sudah menyertai dunia kripto sejak tahun 2015 atau awal lagi, anda pasti mendengar tentang kutipan ICO sehingga ratusan juta.

Beberapa tahun yang lalu, berita seperti ICO Tezos yang memecah rekod ICO dengan kutipan Bitcoin dan Ether bernilai lebih kurang $223 juta (pada masa itu) adalah sesuatu yang biasa. Ataupun projek-projek ICO lain termasuk Ethereum, Lisk, Golem, Waves dan sebagainya yang dianggap sebagai antara projek ICO yang berjaya dalam kutipan mereka.

Namun begitu, kejatuhan pasaran kripto pada bulan Disember 2017 turut menjejaskan ICO. Tambahan lagi, memandangkan kerajaan dan penguatkuasa mula mengambil perhatian terhadap matawang kripto, banyak projek-projek ICO yang terpaksa dihentikan atau dihadkan kepada negara-negara tertentu. Ini menyebabkan kutipan ICO semakin teruk.

Baru-baru ini sahaja satu laporan telah menyatakan bahawa kutipan ICO pada bulan Januari 2019 jatuh lebih 95% daripada bulan terbaiknya. Laporan lain pula menunjukkan bahawa kutipan ICO pada Q1 2019 hanya $118 juta berbanding $6.3 bilion di Q1 2018. Tidak sampai 20% pun daripada kutipan Q1 2018. Ini menunjukkan hype dan populariti ICO sudah semakin pudar.

STO memenangi hati penguatkuasa

Tetapi ia tidak menandakan projek matawang kripto tidak mempunyai cara lain untuk mengutip dana. Pernah dengar tentang STO? Sejak negara-negara seperti Amerika Syarikat mengklasifikasikan kebanyakan matawang kripto sebagai sekuriti, banyak startup kripto sudah mula membuat penawaran token sekuriti, untuk menarik pelabur institusi dan memenangi hati penguatkuasa.

Sebelum ini penulis telah pun menulis tentang apa itu STO dan apa bezanya dengan ICO. STO, atau security token offering merujuk kepada penjualan token atau coin baru yang mempunyai ciri-ciri sekuriti dan ia juga dijalankan di bawah penyeliaan Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran. Paling penting, ia perlu mematuhi peraturan sekuriti yang sudah ditetapkan oleh negara-negara masing-masing.

Ramai yang menganggap STO telah menggantikan ICO kerana ia melindungi pelabur dan juga bersandarkan kepada aset di dunia nyata, tidak seperti matawang kripto lain. Namun begitu, tidak semua kripto menepati ciri-ciri sekuriti, dan memandangkan kos menjalankan STO adalah tinggi, pada masa sama pengawalseliaan menghadkan akses kepada pelabur biasa, tidak ramai yang begitu menyokong STO, terutama dalam kalangan pelabur biasa dan bursa pertukaran.

IEO solusi kepada isu-isu ICO

Jadi, jika ICO sudah tidak popular dan STO tidak diminati majoriti peserta ekosistem kripto selain pelabur institusi dan industri, apa pilihan lain?

Terbaru adalah IEO. Ia adalah trend matawang kripto terkini pada tahun 2019 yang menggantikan era ICO. Apa itu IEO?

IEO bermaksud initial exchange offering. Atau dalam bahasa ibunda bermaksud penawaran token atau coin melalui bursa pertukaran. IEO ini adalah di mana bursa pertukaran yang akan menguruskan dan menjalankan penjualan token untuk projek-projek kripto.

Di bawah adalah gambaran bursa pertukaran yang kini menjalankan aktiviti IEO.

Apa perbezaan antara ICO dan IEO?

1. Penyertaan

Jika dalam ICO, anda perlu berdaftar secara langsung ke dalam laman web projek kripto yang menjalankan ICO itu untuk menyertai penjualan token. Dalam IEO pula anda perlu mendaftar sebagai pengguna bursa pertukaran untuk menyertai penjualan token. Ini bermakna anda boleh menyertai sebanyak mana IEO yang ditawarkan di platform pertukaran, menjadikan pelaburan anda lebih mudah.

2. Kepercayaan terhadap projek

Model ICO adalah sangat terbuka, di mana apa sahaja projek kripto boleh menjalankan ICO tanpa perlu melalui proses kelayakan atau mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak ketiga. Walaupun ramai mungkin menyokong konsep ICO yang lebih terbuka, hakikatnya banyak projek kripto yang sudah mengambil kesempatan terhadap keterbukaan ini untuk menjalankan penipuan atau scam.

Dalam kes IEO pula, bursa pertukaran adalah pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan keseluruhan ekosistem berjalan dengan lancar. Ini termasuklah membuka jalan untuk memudahkan projek-projek baru mengutip dana. Pada masa yang sama, mereka juga perlu memastikan projek yang menjalankan IEO adalah projek yang genuine atau yang mempunyai potensi yang tinggi.

3. Projek yang lebih bertanggungjawab

IEO juga mengajar projek-projek kripto menjadi lebih bertanggungjawab dalam pengurusan projek mereka. Mereka perlu memastikan aktiviti pemasaran mereka dijalankan dengan efektif dan juga menguruskan infrastruktur seperti kod, smart contract, penjualan token, penyenaraian token dan macam-macam lagi untuk mematuhi syarat-syarat kelayakan yang dikenakan bursa pertukaran.

Kutipan dana melalui IEO menekankan kualiti projek kripto kerana ia juga berkaitan dengan reputasi bursa pertukaran itu sendiri. Jika terdapat projek kripto yang tidak ada potensi yang menjalankan IEO, sudah pasti reputasi positif bursa pertukaran akan terjejas.

Kesimpulan

IEO yang dimulakan oleh Binance melalui Binance Launchpad kini pantas menjadi trend yang diikuti bursa pertukaran lain seperti Bittrex, OKEx, Huobi dan lain-lain. Malah sudah terdapat banyak IEO dalam pelbagai peringkat kutipan/pelancaran, dan penulis pasti menjelang penghujung tahun 2019, ICO tidak akan disebut lagi.

IEO melambangkan kemajuan dalam industri kripto dan mencerminkan usaha pemain industri kripto untuk mengimbangi kemahuan penguatkuasa dan juga memberi alternatif yang lebih baik kepada pelabur tidak kira pelabur harian mahupun institusi. Persoalannya adalah sejauh mana potensi IEO dalam memastikan ekosistem matawang kripto terjaga dan selamat untuk pelabur?

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads