Default – Below Header Ads

Dulu ICO, kini STO

Dalam beberapa artikel sebelum ini, penulis telah perkenalkan satu lagi segmen baru dalam dunia kripto, iaitu token sekuriti kripto. Penulis juga bercerita tentang impak kerajaan Malaysia mengklasifikasi matawang kripto sebagai sekuriti. Selain itu, memandangkan ia adalah segmen yang sangat baru, penulis juga berbincang tentang impak kepada dan halangan dalam pasaran kripto.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin bercerita tentang di mana untuk mendapatkan token sekuriti ini dan apa proses yang terlibat. Kalau sebelum ini, untuk mendapatkan token atau coin baru, anda boleh menyertai Initial Coin Offering (ICO), untuk mendapatkan sekuriti anda perlu menyertai Security Token Offering (STO).

Apa bezanya?

Jika anda berminat untuk membaca lebih lanjut tentang ICO, anda boleh baca artikel tentang apa itu ICO. Di sini, penulis akan menerangkannya secara ringkas.

ICO

ICO atau initial coin offering adalah penjualan token atau coin baru kepada orang awam yang dijalankan dalam tempoh masa tertentu. Pada asalnya ia adalah satu cara projek blockchain untuk mengumpul dana, untuk membangunkan produk mereka. Pada hari ini, terdapat pelbagai tujuan ICO dijalankan termasuk mengutip dana, menawar perkhidmatan, pemasaran, membina komuniti dan banyak lagi.

STO

STO atau security token offering adalah penjualan token atau coin baru yang mempunyai ciri-ciri sekuriti, seperti yang ditetapkan oleh badan penguatkuasa. STO dijalankan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran dan perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, pada masa yang sama mendapat kelebihan daripada pengecualian sekuriti khususnya di Amerika Syarikat.

Setiap negara akan mempunyai peraturan sekuriti sendiri tetapi rata-rata akan menggunakan peraturan sekuriti sedia ada, seperti untuk saham, ke atas token sekuriti. Token sekuriti juga bersandarkan suatu aset sedia ada, seperti saham syarikat, hak untuk menerima dividen dan juga mengundi.

Boleh dikatakan beza antara ICO dan STO adalah kawal selia. Namun begitu, ramai pelabur besar yang lebih terbuka dengan konsep STO dan token sekuriti kerana hakikatnya, ia lebih melindungi pelabur daripada penjualan token melalui ICO.

Lapisan STO

Memandangkan token sekuriti tidak mempunyai blockchain sendiri, ia akan menggunakan platform blockchain sedia ada seperti Ethereum, dan Polymath. Terdapat empat lapisan penting dalam ekosistem token sekuriti iaitu:

  • Protokol Blockchain
  • Smart contract
  • Platform insurans
  • Bursa pertukaran token sekuriti

Kelebihan STO

1. Perlindungan pelabur

Dalam pasaran token sekuriti yang dikawal selia, projek blockchain yang menawarkan token sekuriti perlu berdaftar dengan penguatkuasa dan mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan. Peraturan berkaitan sekuriti direka bentuk untuk memberi perlindungan kepada pelabur, di mana ia menghalang kemasukan projek yang berbaur penipuan.

Pelabur juga akan merasa lebih yakin untuk membuat pelaburan yang besar kerana adanya kawal selia. Memandangkan sekuriti biasanya menawarkan pulangan kepada pelabur, seperti saham syarikat atau hak pemilikan, pelabur bukan hanya bergantung kepada nilai token itu di pasaran seperti matawang kripto lain.

2. Elak daripada kegiatan dalam pasaran yang tiada kawal selia – pump and dump, manipulasi pasaran

Kita sedia tahu pasaran kripto yang tidak dikawal selia penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menguntungkan satu pihak dan merugikan yang lain seperti pump and dumpscam, manipulasi pasaran dan macam-macam lagi. Malah, ada yang berpendapat jika isu-isu ini tidak diselesaikan dalam pasaran kripto, lambat laun majoriti pasaran kripto akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat ini, dan akhirnya menjejaskan keseluruhan pasaran kripto.

STO yang dikawal selia akan dapat mengurangkan aktiviti-aktiviti ini dan pelabur akan lebih yakin untuk melabur dalamnya.

3. Setiap token sekuriti bersandarkan aset, tidak seperti token kripto lain

Peserta STO kebanyakannya adalah pelabur, dan bukannya pengguna, dan mereka membayar untuk menerima sekuriti yang diwakili oleh token itu. Oleh sebab itu, setiap token sekuriti adalah bersandarkan aset dan bukannya hanya idea atau utiliti.

Kekurangan STO

1. Kos yang tinggi – pematuhan, latihan, pemantauan

Bagi kebanyakan projek blockchain, kos yang tinggi adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Ini adalah kerana di belakang projek-projek ini adalah startup yang tidak mempunyai kapital yang besar seperti syarikat yang sudah lama tertubuh. Projek-projek blockchain ini diketuai anak-anak muda yang ingin merevolusikan sistem yang sedia ada.

Kawal selia bermakna kos tambahan seperti kos pematuhan, latihan, pemantauan dan sebagainya. Contohnya di Amerika Syarikat, ini temasuk kos broker, pelantikan pegawai pematuhan, latihan kepada pekerja, kos pendaftaran, pemeriksaan dan penilaian, kos penambahan pekerja untuk fungsi untuk dan banyak lagi. Tidak hairanlah jika banyak projek blockchain yang nampak tidak berminat untuk masuk ke dalam segmen baru ini, walaupun ia membuka pintu kepada pelabur institusi.

2. Tiada sokongan daripada bursa pertukaran dan pemain ekosistem kripto

Segmen token sekuriti ini masih lagi baru dan seperti banyak benda baru dalam dunia kripto, perkembangannya adalah lambat dan mengambil masa. Setakat ini, bursa pertukaran terbesar dalam pasaran kripto masih lagi belum menyokong token sekuriti. Begitu juga dengan pemain ekosistem kripto yang lain. Apa yang dapat dilihat adalah STO lebih popular dalam kalangan pemain industri berbanding pelabur kripto biasa.

ICO vs STO

Sumber: 101blockchains.com

Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa dengan segala stigma dalam ICO, ramai yang sudah beralih arah kepada sesuatu yang mempunyai risiko yang lebih rendah. Secara perlahan, STO bakal menggantikan ICO apabila pemain dalam pasaran kripto mula sedar bahawa peluang mendapat pelaburan lebih besar lebih banyak dalam gelanggang STO.

Menurut laporan dari beberapa sumber, token sekuriti Neluns telah berjaya mengutip $136 juta dalam STO dan itu adalah jumlah terbesar, diikuti dengan tZero yang mengutip sebanyak $134.7 juta.

Di masa hadapan, dengan penguatkuasaan rangka undang-undang berkaitan matawang kripto yang dilaksanakan di seluruh dunia, kemungkinan besar STO akan menggantikan tempat ICO. Dengan pasaran yang dikawal selia, jaminan kepada pelabur dan juga pulangan yang tidak dipengaruhi naik turun harga Bitcoin tetapi kepada prestasi syarikat, sudah tentu pasaran kripto akan lebih menyerupai pasaran sekuriti yang sedia ada.

Persoalannya, adakah itu yang diinginkan majoriti pelabur dalam pasaran kripto kini? Apa kata anda?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!