Default – Above Header Ads

Apa itu Token Sekuriti?

Ini adalah topik hangat terutama di Malaysia. Sebelum ini, coin.my dah melaporkan tentang Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng mengumumkan penguatkuasaan peraturan matawang kripto pada 15 Januari, yang mengklasifikasikan matawang kripto sebagai sekuriti. Pada 23 Januari, kerajaan telah membuat U-turn dan menjelaskan bahawa status digital aset itu bergantung kepada bagaimana ia digunakan.

Penulis rasa masih banyak masalah dengan penerangan tentang klasifikasi matawang kripto yang dilaporkan oleh FintechNews, dan dalam artikel akan datang penulis akan membincangkan isu ini dengan lebih mendalam. Tetapi sebelum itu kita mestilah perlu belajar tentang asas token sekuriti ini, betul tak?

Jom kita ulang kaji dulu sebab istilah-istilah ni akan digunakan untuk menerangkan pasal token sekuriti ni.

Apa itu Token?

Kalau anda baca artikel “Adakah anda memegang coin atau token?” anda akan pelajari secara lebih terperinci perbezaan antara coin dan token. Dalam konteks ini, token secara mudah adalah umpama aset atau utiliti yang dimiliki oleh sebuah syarikat dan wujud dalam satu platform Blockchain. Contohnya token Golem dan OmiseGo yang wujud di atas Blockchain Ethereum.

Antara Utiliti dan Sekuriti

Jika dahulu kebanyakan matawang kripto dikategorikan sebagai utilti, selalunya kerana tidak mahu dikawal selia bawah peraturan sekuriti, kini penguatkuasa sudah mula memeriksa semula token-token ini untuk memastkan ianya adalah utilti, dan bukannya sekuriti.

Disebabkan itu, ramai yang lebih biasa dengan istilah token utiliti. Token utiliti adalah token kripto berdasarkan satu projek Blockchain, dan pelabur yang membelinya akan mendapat pulangan dalam bentuk akses kepada platform itu, atau sebarang bentuk penggunaan ke atas token itu contohnya seperti Ether yang digunakan sebagai yuran di platform Ethereum, atau ruang penyimpanan sebagai ganti token dan macam-macam lagi.

Sekuriti. Token Sekuriti?

Kedua-dua token utiliti dan sekuriti ni ada elemen nilai dari segi penggunaan atau ciri-ciri yang mendatangkan kebaikan kepada pemegangnya. Tetapi token sekuriti tak semestinya perlu ada nilai yang datang dari utiliti. Untuk memahami token sekuriti kita perlu memahami apa itu sekuriti.

Dalam definisi kewangan, sekuriti adalah aset kewangan yang didagangkan yang mempunyai nilai. Antara contoh sekuriti adalah saham, bon, nota, option, debenture dan banyak lagi. Dan jika kita ambil contoh saham, ia melambangkan pemilikan sesuatu entiti tanpa perlu mengambil alih entiti itu. Faham setakat ini?

Sekuriti ini secara amnya adalah satu bentuk pelaburan, di mana syarikat atau entiti komersial lain boleh mengutip kapital baru. Mesti anda pernah dengar tentang IPO kan? IPO adalah secara mudahnya penjualan saham syarikat kepada pelabur awam. Jadi, dalam konteks matawang kripto pula, ia adalah token sekuriti. Dan jika dahulu kita hanya ada Initial Coin Offering (ICO), kini kita ada Security Token Offering (STO) dimana token sekuriti ditawarkan kepada orang ramai.

Token sekuriti, seperti sekuriti, akan memberi pulangan dividen, untung saham, bunga atau apa sahaja aktiviti sekuriti lain yang boleh menambah pulangan kepada pemegang token itu.

Satu lagi perbezaan penting antara token utiliti dan token sekuriti adalah token sekuriti lebih dikawal selia oleh kerajaan daripada token utilti. Sudah tentu ini adalah kerana mereka sudah ada rangka undang-undang sekuriti yang boleh digunakan untuk token sekuriti.

Carta di atas oleh FINMA, Lembaga Pengawasan Pasaran Kewangan Swiss, menerangkan bagaimana token melalui proses untuk dikenal pasti sebagai token sekuriti. Menurut FINMA, jika fungsi utama token itu adalah untuk memberi hak akses kepada sesuatu aplikasi atau perkhidmatan dan jika token itu boleh digunakan untuk itu pada waktu ia dikeluarkan, FINMA tidak akan klasifikasikan ia sebagai sekuriti.

Howey Test di Amerika Syarikat

Di Amerika Syarikat, Mahkamah Agung pada tahun 1946 telah menghakimi kes SEC vs Howey yang akan menjadi asas kepada Howey Test yang kini digunakan sebagai standard untuk menentukan sama ada satu kontrak itu melibatkan pelaburan atau tidak.

Dalam kes ini, dua defendan korporat yang beroperasi di Florida menawarkan kontrak hartanah untuk sekeping tanah besar dengan dusun citrus. Defendan menawarkan pembeli pilihan untuk menyewa kembali tanah yang dibeli kepada defendan, yang akan menggunakan tanah itu untuk menanam, menuai, memproses dan menjual citrus itu tadi. Memandangkan kebanyakan pembeli tidak mempunyai pengalaman dalam mengurus dusun citrus, mereka bersetuju untuk menyewa kembali tanah itu kepada defendan.

Namun begitu, kontrak sebegini tidak sah dari segi undang-undang dan Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran (SEC) Amerika Syarikat menyaman defendan. Menurut SEC, defendan telah melanggar undang-undang kerana tidak mendaftar kontrak itu sebagai sekuriti. Selepas penyiasatan, Mahkamah Agung membuat keputusan bahawa kontrak itu adalah sekuriti.

Kes ini telah membentuk ujian yang digunakan untuk menentukan sama ada satu transaksi itu berbentuk kontrak pelaburan atau tidak. Jika ya, ianya dianggap sebagai sekuriti dan akan dikawal selia di bawah SEC.

3 syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi sekuriti adalah:

  • Ia adalah pelaburan wang (kes-kes lain mengembangkan definisi wang kepada bentuk aset lain selain wang).
  • Pelaburan itu dalam “common enterprise“, iaitu perusahaan di mana pendapatan pelabur berkait rapat dan bergantung kepada usaha dan kejayaan mereka yang menawarkan pelaburan, penjualan pelaburan itu atau pihak ketiga.
  • Terdapat jangkaan untuk mendapat pulangan keuntungan dari operasi penawar pelaburan, atau pihak ketiga.

Jika token atau coin memenuhi syarat-syarat ini, ianya dianggap sebagai sekuriti dan perlu patuh undang-undang yang dikawal selia SEC.

Penerimaan orang ramai terhadap token sekuriti kripto

Dari segi prospek, token sekuriti kripto lebih berpotensi untuk diterima secara meluas terutama dalam kalangan pelabur insitusi dan institusi kewangan besar seperti bank. Terdapat pelbagai sebab prospeknya lebih tinggi berbanding matawang kripto lain, walaupun ia adalah umpama sektor baru dalam pasaran kripto. Antara sebabnya adalah:

  • Peraturan kawal selia yang lebih jelas ke atas kripto memberi lebih keyakinan kepada pelabur institusi dan syarikat besar
  • Impak penerimaan pelabur insitusi/syarikat besar/institusi kewangan menarik lebih ramai orang ke dalam pasaran kripto, menjadikan ia berkembang lebih cepat dan pesat
  • Perdagangan menjadi lebih cepat, selamat, dan efektif dari segi kos
  • Lebih banyak pelaburan besar menjadikan penerimaan terhadap blockchain dan kripto lebih tinggi

Sudah tentu, dengan perkembangan baru terutama dalam dunia kripto akan membawa pelbagai isu dan halangan. Dalam artikel lain, penulis akan membincangkan tentang isu dan halangan ini. Apa yang pasti, ramai yang melihat ini sebagai peluang yang amat besar untuk melonjakkan dunia kripto, dan kita sudah boleh lihat banyak token sekuriti yang sedang dibangunkan atau sudah dilancarkan seperti tZero, Polymath dan Open Finance Network.

Hanya masa akan menentukan sama ada perkembangan ini positif atau tidak.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads