Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

MoF Klasifikasi Matawang Kripto sebagai Sekuriti: Ada Isu Ke?

Pada 15 Januari, seluruh Malaysia digemparkan dengan berita bermulanya kawal selia ke atas matawang kripto, terutama platfrom pertukaran dan Initial Coin Offering (ICO) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Dan sewaktu pengumuman itu dikeluarkan, Suruhanjaya itu juga mengatakan bahawa semua matawang kripto akan diklasifikasikan sebagai sekuriti.

Seperti biasa, peminat kripto di Malaysia sudah pasti merasa tidak puas hari dengan peraturan baru ini. Lebih-lebih lagi apabila matawang kripto dianggap sebagai sekuriti. Ini menunjukkan ketidakfahaman kerajaan tentang apa itu matawang kripto dan juga teknologi Blockchain. Negara lain pun tidak klasifikasi semua matawang kripto sebagai sekuriti. Pelik sungguh keputusan Malaysia ini.

Tidak lama selepas itu, mungkin kerana menerima pelbagai kritikan dari banyak peminat kripto, kerajaan membuat u-turn dan cuba menjelaskan peraturan baru itu. Inilah masalah kerajaan dulu dan sekarang. Mengeluarkan pengumuman tentang suatu peraturan baru, tanpa menjelaskan tentang rasionalnya terlebih dahulu. Tapi tidak mengapalah, yang penting kini dengan kemaskini daripada Suruhanjaya Sekurit Malaysia, klasifikasi matawang kripto itu berdasarkan penggunaannya.

Sebelum kita berbincang lebih mendalam tentang ini, mari kita lihat terjemahan laporan dari Fintech News Malaysia:

Status aset digital berdasarkan penggunaannya

Matawang kripto seperti Bitcoin boleh dianggap sebagai sekuriti berdasarkan penggunaannya. Jika ia didagangkan, maka ia jatuh di bawah kawal selia peraturan sekuriti. Manakala jika ia digunakan untuk membeli sebungkus nasi lemak, maka ia bukan di bawah Perintah Penetapan dan tidak dianggap sekuriti.

Penetapan itu adalah berdasarkan aktiviti. Jika ia didagangkan, ia adalah sekuriti. Jika ia digunakan untuk pembayaran, ia bukan dan memerlukan lesen daripada Bank Negara.

Butiran terperinci:

Menurut Perintah Penetapan yang dikeluarkan oleh Warta Kerajaan Persekutuan, satu aset digital menjadi sekuriti apabila:

Situasi 1

  • ia didagangkan di suatu tempat atau di atas suatu kemudahan di mana tawaran untuk menjual, membeli, atau menukar matawang digital lazimnya dibuat atau diterima;
  • seseorang mengharapkan suatu pulangan dalam apa-apa bentuk daripada dagangan, pertukaran, atau penebusan matawang digital itu atau peningkatan nilai matawang digital itu;
  • dan tidak diterbitkan atau dijamin oleh mana-mana badan kerajaan atau bank pusat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

Situasi 2, bagi token digital yang mewakili hak atau kepentingan seseorang dalam apa-apa perkiraan di mana:

  • orang itu menerima token digital sebagai pertukaran bagi suatu balasan;
  • balasan atau sumbangan daripada orang itu, dan pendapatan atau pulangan, dikumpulkan;
  • pendapatan atau pulangan perkiraan itu dijana daripada pemerolehan, pemegangan, pengurusan atau pelupusan apa-apa harta atau aset atau aktiviti perniagaan;
  • orang itu mengharapkan suatu pulangan dalam apa-apa bentuk daripada dagangan, pertukaran atau penebusan token digital itu atau peningkatan nilai token digital itu;
  • orang itu tidak mempunyai kawalan hari ke hari ke atas pengurusan harta, aset atau perniagaan perkiraan itu; dan
  • digital token itu tidak diterbitkan atau dijamin oleh mana-mana badan kerajaan atau bank pusat sebagaimana ditentukan oleh Suruhanjaya

Bagaimana dengan token utiliti?

Chin Wei Min, Pengarah Eksekutif di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata:

“Jika seseorang menanti apa-apa pulangan dalam apa jua bentuk dari perdagangan, [sama ada] pertukaran atau penebusan token itu, atau peningkatan nilai; jika seseorang menanti pulangan daripada pertukaran token itu, maka ia akan jatuh di bawah kawal selia kami.”

Walaupun token itu bertujuan untuk menjadi token utiliti, kebanyakan mereka dikeluarkan untuk syarikat mengutip dana, jadi di tahap terakhir itu, ia jatuh di bawah peraturan sekuriti.

“Saya rasa ia tidak berbeza dengan baucar AEON. Jika anda bayar RM50 untuk baucar AEON, tiga bulan dari sekarang, jika anda pergi ke AEON semula, ia masih RM50; baucar itu sendiri tidak sepatutnya naik dari segi nilai.”

Semasa sesi itu, Suruhanjaya itu menekankan berkali-kali tujuan utama mereka draf undang-undang ini adalah untuk melindungi pelabur biasa di Malaysia.

Pandangan penulis

Serta-merta perkara pertama yang penulis fikirkan, mengapa sekuriti? Mengapa bukan komoditi atau matawang dan mengapa bukan di bawah Bank Negara?

Untuk menjawab soalan klasifikasi ini memang sukar, dan sehingga kini banyak kerajaan akan kembali kepada rangka undang-undang yang sedia ada untuk mengawal selia matawang kripto kerana ianya lebih mudah. Dan setiap negara mempunyai justifikasi masing-masing untuk peraturan yang ditetapkan – contohnya, Jepun memberi status legal tender kepada Bitcoin, dan membentuk badan self-regulatory untuk bursa pertukaran. Amerika Syarikat pula mengawal selia matawang kripto yang dianggap sekuriti di bawah SEC. China melarang ICO dan penjualan matawang kripto.

Jadi tidak hairanlah jika negara Malaysia juga membuat keputusan mengenai peraturan kripto berdasarkan apa yang lebih diketahui. Ini adalah kerana ciri-ciri matawang kripto yang fleksibel dari segi penggunaannya. Walaupun ada yang berpendapat matawang kripto adalah kelas aset baru, bagi kebanyakan kerajaan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk mengawal selia matawang kripto.

Dan melihat kepada penerangan dalam warta kerajaan persekutuan itu, klasifikasi sekuriti untuk matawang kripto yang didagangkan adalah logik. Jadi apa impaknya kepada kita?

Sebenarnya peraturan sekuriti ini lebih banyak memberi kesan kepada operator atau pemberi perkhidmatan dalam dunia kripto – contohnya syarikat ICO, bursa pertukaran, broker dan mana-mana entiti yang terlibat dalam perdagangan kripto. Kawal selia kerajaan bermakna mereka perlu mendaftar kepada Suruhanjaya, memastikan mereka menjalankan proses KYC/AML dan melapor aktiviti kepada kerajaan.

Bagi pelabur biasa yang tidak menggunakan matawang kripto untuk kegiatan jenayah, anda tidak akan begitu terjejas dengan peraturan ini selain daripada melalui proses KYC. Mungkin buat sesetengah pengguna kripto, kawal selia adalah antitesis kepada tujuan penciptaan kripto, tetapi rata-rata akan rasa lebih terjamin kerana kawal selia ini.

Namun begitu, bak kata pepatah Inggeris, “the devil is in the details“. Maknanya walaupun kerajaan telah mengeluarkan warta untuk menunjukkan bagaimana matawang kripto boleh diklasifikasi kepada sekuriti, mereka masih belum menerangkan apa yang perlu dibuat oleh operator atau pemberi perkhidmatan ataupun pelabur biasa.

Adakah peraturan ini akan menjejaskan perkembangan pasaran kripto di Malaysia, atau membuka pintu itu lebih luas untuk orang ramai, hanya masa akan menentukan.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads