Default – Above Header Ads

Bank Negara mengeluarkan Polisi Matawang Kripto: Apa kesannya?

Pada 27 Februari 2018, Bank Negara Malaysia mengeluarkan kenyataan mengenai polisi berkenaan matawang kripto yang berkuatkuasa mulai hari yang sama.

Untuk memudahkan pembaca, penulis akan membuat ringkasan isi-isi penting mengenai polisi ini.

Tujuan polisi ini

Dokumen ini menetapkan peraturan dan standard minima yang perlu dipatuhi oleh institusi yang melapor untuk memastikan aktiviti berkaitan matawang digital dijalankan dengan telus dan juga kawalan protokol AML/CFT di implementasi dengan betul untuk mengurangkan risiko institusi berkenaan digunakan untuk aktiviti-aktiviti jenayah.

Siapa yang tertakluk di bawah polisi ini

Mana-mana institusi atau individu yang menjalankan salah satu atau apa-apa kombinasi aktiviti-aktiviti berikut:

  1. pertukaran matawang digital kepada matawang fiat;
  2. pertukaran matawang fiat kepada matawang digital; atau
  3. pertukaran matawang digital kepada matawang digital, sama ada dalam operasi pertukaran matawang digital atau sebaliknya.

Mana-mana institusi atau individu yang menjalankan aktiviti di atas di Malaysia, tertakluk di bawah peraturan ini tidak kira sama ada institusi/individu tersebut berada di Malaysia atau tidak.

Skop dokumen ini

Institusi/individu yang tertakluk di bawah polisi ini menurut penerangan di atas perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan berkenaan:

  1. pengenalpastian dan pengesahan identiti pengguna dan pemilik berkaitan, pengawasan berterusan terhadap transaksi pengguna, pemeriksaan latar belakang, laporan transaksi yang disyaki dan penyimpanan rekod;
  2. obligasi ketelusan; dan
  3. keperluan menyerahkan data statistik dan maklumat berkaitan kepada Bank Negara untuk tujuan mengurus risiko ML/FT.

Antara peraturan yang ditetapkan dalam dokumen ini

Institusi/individu yang tertakluk perlu

  • melaporkan butiran operasi kepada Bank Negara
  • melakukan risk-based assesment berkenaan risiko ML/FT dan mempunyai mekanisme untuk mengurus risiko ML/FT
  • menjalankan CDD, Customer Due Diligence, atau Enhanced CDD (di mana risiko ML/FT adalah tinggi) ke atas setiap pengguna perkhidmatan

Customer Due Diligence

CDD adalah proses pengenalpastian dan pengesahan identiti pengguna, dan antara dokumen yang diperlukan adalah:

  • Nama penuh;
  • Nombor NRIC (National Registration Identity Card) atau pasport atau nombor rujukan apa-apa dokumen rasmi yang mempunyai gambar pengguna;
  • Alamat kediaman atau surat-menyurat;
  • Tarikh lahir;
  • Kewarganegaraan; dan
  • Tujuan transaksi

Dan dalam kes Enhanced CDD, maklumat di atas dan juga

  • Maklumat tambahan mengenai aset dan lain-lain berkenaan pengguna
  • pertanyaan tentang sumber dana. Dan dalam kes PEP (Politically Exposed Person), sumber dana perlu dilaporkan
  • kelulusan daripada pihak pengurusan institusi untuk meneruskan perkhidmatan kepada pengguna yang dikenal pasti

On-going Due Diligence

  • pengawasan setiap transaksi untuk memastikan transaksi konsisten dengan maklumat yang diperoleh institusi berkenaan pengguna, termasuk urusan dan profil risiko mereka;
  • pemeriksaan transaksi untuk mengenalpasti transaksi berkaitan alamat yang disyaki digunakan untuk tujuan penipuan atau jenayah.

Apa kesan dokumen ini terhadap anda?

Di atas adalah antara isi-isi penting berkaitan polisi ini yang mungkin memberi kesan kepada anda. Secara amnya, peraturan ini adalah sama seperti pengawalseliaan yang sudah berjalan di negara-negara seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat. Setiap institusi yang menjalankan aktiviti berkaitan pertukaran matawang digital perlu melapor kepada badan pihak penguatkuasa.

Kesan yang jelas daripada ini adalah anda perlu melalui proses KYC (Know Your Customer) jika anda menggunakan perkhidmatan pertukaran matawang kripto. Bagi pengguna biasa, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana proses ini sudah pun berlaku di kebanyakan platform pertukaran. Perbezaannya adalah sama ada proses KYC ini voluntary atau mandatory. Dalam erti kata lain, sesetengah platform pertukaran menggalakkan pengguna mengesahkan identiti masing-masing untuk menambah tahap kepercayaan, dan mengehadkan transaksi jika pengguna tidak mahu melakukan proses ini.

Walaupun Bank Negara telah menegaskan bahawa polisi ini tidak bermakna Malaysia menerima, menyokong atau mengiktiraf matawang kripto sebagai legal tender, satu kesan positif adalah pengguna biasa akan merasa lebih selamat dan yakin untuk membuat transaksi dalam platform pertukaran, kerana mereka merasa terdapat peraturan yang melindungi mereka. Mereka akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan platform pertukaran yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan BNM, dan lambat laun semua institusi akan mula melapor kepada BNM.

Bagi pengguna lain yang terdiri daripada mereka yang ingin mengelak daripada berurusan dengan bank (untuk transaksi beratus ribu ringgit) atau mereka yang menggunakan matawang kripto untuk tujuan jenayah, pastinya peraturan ini memberi impak yang besar kepada mereka. Begitu juga dengan mereka yang menitikberatkan perlindungan hak privasi dan maklumat peribadi mereka. Pengawalseliaan matawang kripto atau aktiviti berkaitan matawang kripto adalah sesuatu yang sangat bercanggah dengan matlamat penciptaan matawang kripto.

Tetapi tidak dapat dinafikan pengawalseliaan adalah langkah yang sangat penting untuk sesebuah kerajaan menerima matawang kripto sebagai legal tender. Pastinya mereka yang tidak mempunyai kepercayaan kepada bank mahupun kerajaan akan menentang hakikat ini, dan tidak mahu apa-apa pengawalseliaan dijalankan. Ia mungkin sesuatu yang ideal, namun dalam sesebuah negara ianya sangat tidak pragmatik. Penulis beranggapan dunia matawang kripto perlu dikawal selia, walaupun tidak semestinya oleh penguatkuasa yang dilantik kerajaan. Pasaran matawang kripto menyamai sistem free market economy yang tidak memerlukan campur tangan kerajaan dalam memastikan transaksi yang telus.

Apapun kerajaan Malaysia sudah pun mengorak langkah ke arah pengawalseliaan matawang kripto dan dalam jangka masa panjang mungkin memberi kesan kepada cara kita membuat transaksi berkaitan matawang kripto.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads