Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Asal Usul “Technical Analysis”

Kalau anda pernah dengar tentang pasaran saham atau kripto, pasti anda akan selalu terdengar tentang analisis teknikal. Tidak kira anda newbie mahupun trader berpengalaman, sudah pasti anda tidak akan lari daripada menggunakan analisis teknikal dalam keputusan perdagangan anda.

Jadi, apa itu analisi teknikal?

Analisis teknikal dalam konteks pelaburan saham merupakan suatu seni untuk mengenal pasti price behaviour berdasarkan penawaran dan permintaan (supply and demand) yang dibuat oleh pembeli dan penjual terhadap sesuatu stok. Analisis ini digunakan untuk menentukan sama ada terdapat kesinambungan bagi trend pergerakan harga ataupun tidak, dan sekiranya tidak, bilakah trend tersebut akan bertukar arah. Terdapat tiga jenis trend bagi pergerakan harga iaitu trend menaik (uptrend), trend menurun (downtrend) dan mendatar (sideway).

Sesetengah penganalisa memilih untuk menggunakan trendlines bagi menganalisis pergerakan harga saham manakala sebahagian lagi menggunakan formasi candlesticks dan selebihnya menggunakan band and boxes (dengan menggunakan visualisasi matematik). Kebanyakan penganalisa menggunakan gabungan kaedah-kaedah tersebut untuk mengenal pasti titik masuk dan titik keluar yang berpotensi tinggi untuk diberikan kepada traders. Analisis teknikal terdiri daripada analisis perbandingan, kuantitatif dan kualitatif. Semakin banyak stok yang bergerak dalam arah yang sama, semakin tinggi kebarangkalian senario yang diharapkan akan berlaku.

Asal Usul Analisis Teknikal

Prinsip analisis teknikal telah digunakan sejak beratus tahun dahulu lagi. Di Eropah, Joseph De La Vega telah menggunakan analisis teknikal awal untuk menganalisis dan meramal pasaran saham Belanda pada abad ke 17. 

Di Asia pula, satu teknik baru dalam analisis teknikal telah diperkenalkan oleh Homma Munehisa di Negara Jepun pada awal abad ke 18 iaitu teknik candlestick atau candle chart. Teknik ini telah digunakan untuk menganalisis perdagangan beras pada zaman tersebut.

Namun begitu, antara penyumbang terbesar kepada analisis teknikal ini ialah Charles Dow, Ralph Nelson Elliott, William Delbert Gann dan ramai lagi termasuklah seorang penari iaitu Nicolas Darvas. Mereka telah memperkenalkan perspektif baru dalam pasaran iaitu high and low (harga paling tinggi dan paling rendah dalam satu bar) dalam carta lebih berkesan untuk meramal pergerakan harga berbanding maklumat yang diperoleh daripada sesebuah syarikat (fundamental).

Charles Dow Bapa Analisis Teknikal Moden

Perkembangan asas analisis teknikal dimulakan oleh Charles Dow yang juga dikenali sebagai bapa analisis teknikal pada zaman moden. Charles Dow memperkenalkan Teori Dow (Dow Theory) yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Teori ini memyumbang kepada perkembangan analisis teknikal sejak akhir abad ke 19. Charles Dow merupakan salah seorang pengasas Dow Jones pada tahun 1884. Indeks Perindustrian Dow Jones telah dicipta oleh Charles Dow. 

Sebelum ini, carta evolusi harga diperoleh dengan cara melukis satu palang (bar) yang mengandungi high (harga paling tinggi), low (harga paling rendah) dan harga penutup untuk setiap tempoh masa (hari, minggu, bulan atau tahun). Dengan melukis carta tersebut, kita dapat lihat pergerakan harga sentiasa membentuk satu kitaran dan trend tidak kira tempoh masa. Pada waktu itu, tidak banyak stok yang volatile kerana kesemuanya bergerak secara perlahan. Jadi, kaedah melukis carta dengan menggunakan tangan menjadi mudah dan efektif tetapi mengambil masa yang lama dan memerlukan usaha yang tinggi. 

Selain itu, salah satu indicator (petunjuk) analisis teknikal pertama telah dicipta iaitu Moving Average. Purata dikira dengan menambah sepuluh nilai terakhir dan dibahagi dengan 10. Oleh kerana data purata ini berubah dari masa ke masa, maka data ini dipanggil The Moving Average. Data Moving Average ini digunakan untuk menghasilkan carta yang memberi petunjuk kepada trend pergerakan harga stok. Kaedah ini masih digunakan sehingga ke hari ini walaupun pelbagai kaedah lain telah diperkenalkan.

Ralph Nelson Elliot

Pada tahun 1930, seorang akauntan professional, Ralph Nelson Elliott telah memperkenalkan sebuah teori baru dalam analisis teknikal iaitu Teori Elliot Wave. Elliot mengemukakan bahawa pergerakan harga saham secara keseluruhannya membentuk sebuah pola yang spesifik, dan selalu berulang dalam tempoh masa tertentu.

Dalam bukunya yang terkenal bertajuk “The Wave Principle”, Elliot menyatakan bahawa harga saham digerakkan oleh traders dan berbentuk gelombang yang selalu berulang. Keadaan psikologi dan emosi traders membentuk satu gelombang (ke arah atas dan bawah). Sekiranya kita menganalisis gelombang tersebut, kita boleh meramal arah pergerakan harga saham yang akan datang kerana pada dasarnya sifat traders saham adalah sama iaitu tamak dan takut (greed and fear).

Sejauh mana teori tersebut benar? Sudahkah anda melakukan backtesting? Mungkin teori tersebut efektif pada waktu dulu, tapi adakah teori tersebut masih relevan pada hari ini?

Kesimpulan

Di zaman moden ini, terdapat banyak kaedah analisis teknikal yang boleh digunakan untuk meraih keuntungan yang maksimum dari pasaran saham. Namun begitu, kita harus ingat bahawa analisis teknikal bukanlah sebuah kaedah yang sempurna. Kaedah ini tidak memberi jaminan 100% terhadap keberkesanan dalam meramal pergerakan harga saham tetapi hanya membantu meningkatkan kebarangkalian keuntungan.

Bagaimana cara meningkatkan kebarangkalian keuntungan? Ia berhajat kepada kajian dan usaha yang luar biasa. Biasanya, mereka yang berjaya melakukannya, akan digelar sebagai market wizard. Tetapi, kenapa market wizard ini tidak mengajar teknik dan method yang dia jumpa kepada umum? Saya akan kupas dalam artikel seterusnya.

Penulis: Nur Najihah binti Mohd Redzuan

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.