Apa Ciri-ciri Penting yang Perlu ada Dalam Wallet Kripto?
Apa benda wajib yang perlu anda miliki dalam dunia kripto? Jawapannya adalah wallet kripto. Wallet kripto adalah umpama akaun bank anda, di mana anda boleh menyimpan, menerima dan menghantar matawang kripto anda ke wallet kripto lain atau menggunakannya untuk pembelian.
Kita sedia tahu terdapat pelbagai jenis wallet dalam dunia kripto dan anda boleh memilihnya berdasarkan keperluan anda. Sebelum ini juga penulis sudah menceritakan perbezaan hot wallet dan cold wallet. Dalam artikel kali ini, penulis ingin berkongsi ciri-ciri penting yang perlu ada dalam setiap wallet kripto.
1. Keselamatan dan kawalan private key
Sudah tentu keselamatan adalah ciri-ciri paling utama dalam wallet kripto. Dan komponen paling penting perlu dilindungi adalah private key anda. Jika ianya hilang, sama ada dicuri atau anda kehilangan akses kepadanya, maka anda boleh melambaikan selamat tinggal kepada simpanan matawang kripto anda.
Lebih banyak lapisan keselamatan dalam sesuatu wallet kripto, lebih selamat matawang kripto. Menetapkan kata laluan yang panjang dan kompleks dan memastikan setiap pengeluaran matawang kripto memerlukan kata laluan adalah langkah paling asas untuk melindungi keselamatan matawang kripto anda.
Selain daripada itu, wallet kebiasaannya akan menggunakan two-factor authentication dan/atau pin kod tambahan sebagai lapisan keselamatan setiap kali aplikasi itu dibuka. Satu lagi komponen keselamatan yang digunakan beberapa wallet adalah transaksi multisig atau wallet yang memerlukan kebenaran beberapa orang pengguna sebelum transaksi boleh dibuat. Ianya lebih kurang sama seperti menulis cek yang memerlukan dua tandatangan.
2. Sokongan multi-currency
Walaupun Bitcoin mendominasi pasaran kripto sejak dahulu lagi, terdapat beribu-ribu matawang kripto lain yang menjadi pilihan pengguna. Selalunya setiap matawang kripto akan menawarkan wallet mereka sendiri.
Namun begitu, jika anda jenis yang menyimpan beberapa matawang kripto, agak leceh untuk memuat turun wallet untuk setiap matawang kripto. Jadi, pemilihan wallet kripto patutnya berdasarkan matawang kripto yang disokong oleh wallet tersebut dan matawang kripto yang anda ingin beli.
3. Cross-platform
Online wallet sememangnya boleh diakses dari sistem operasi Windows, iOS dan Android kerana ia dijalankan di atas cloud. Untuk offline wallet, pembangun perlu membangunkan ciri-ciri cross-platform untuk membolehkannya diakses di sistem operasi yang berbeza. Dalam erti kata lain, pembangun perlu membina aplikasi software yang berbeza yang menyokong pelbagai sistem operasi.
Seperti yang kita tahu, offline wallet adalah lebih baik kerana private key tidak disimpan dalam cloud, sebaliknya ia mengenkripsi private key anda dalam peranti anda. Seperti dalam point pertama, anda mengawal private key anda sepenuhnya.
Wallet cross-platform mempunyai kedua-dua ciri-ciri kesenangan seperti online wallet dan keselamatan kerana ia adalah offline.
4. Backup dan recovery
Backup sebenarnya lebih kepada apa yang perlu dibuat oleh pemilik wallet kripto itu sendiri. Seperti komputer atau telefon bimbit, anda membuat backup untuk melindungi segala dokumen, gambar, video dan apa-apa yang penting. Backup wallet kripto pula akan memastikan anda boleh mendapatkan kembali simpanan kripto anda jika sistem atau komputer anda gagal, anda kehilangan wallet anda atau ianya dicuri.
Recovery pula adalah proses mendapatkan semula simpanan kripto, private key atau akses kepada wallet anda. Kebiasaannya pengguna akan mendapat “seed phrase” sewaktu mengaktifkan wallet mereka dan ia menyimpan semua maklumat yang diperlukan untuk mendapatkan balik wallet tersebut.Wallet seperti SovereignWallet pula menggunakan enkripsi zero-knowledge untuk membolehkan penggunanya mendapatkan kembali private key mereka dengan cara memuat turun aplikasi itu di telefon pintar yang lain.
5. Pilihan untuk pertukaran dan pembelian serta-merta
Jika dahulu, wallet kripto hanya digunakan untuk menyimpan, menghantar dan menerima kripto sahaja, kini ciri-ciri baru telah dibangunkan. Dan ini termasuk built-in exchange atau kebolehan untuk pertukaran dan pembelian matawang kripto serta-merta.
Contohnya, Atomic Swap yang menawarkan pertukaran cross-chain iaitu kepada matawang kripto lain dalam wallet itu. Selain itu, ia juga telah integrasi ShapeShift, ChangeNOW dan Changelly untuk matawang kripto yang belum lagi disokong.
6. UI yang mudah difahami dan senang untuk digunakan
Dan ciri-ciri yang paling utama adalah user interface (UI) yang mudah difahami dan memberi pengalaman pengguna yang baik. Proses pendaftaran yang mudah dan navigasi interface yang tidak kompleks adalah tanda wallet yang bagus.
Kesimpulan
Banyak lagi ciri-ciri tambahan yang membawa kelebihan untuk pesaing-pesaing wallet dalam pasaran kripto. Seperti bank dan kad kredit, setiap pengguna mempunyai pilihan masing-masing untuk menyimpan matawang kripto mereka.