Default – Above Header Ads

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Hashrate

Hashrate ni adalah satu istilah yang banyak digunakan dalam dunia kripto, khususnya kepada pelombong. Penting ke nak tahu tentang hashrate ni? Mari baca artikel ni kalau nak tahu jawapan kepada soalan itu.

Apa itu hashrate?

Hash adalah output dalam hash function di setiap blok dalam rantaian Blockchain, dan hashrate adalah kelajuan untuk menyelesaikan masalah matematik untuk membentuk blok baru dalam Blockchain. Dalam erti kata lain, ia adalah kelajuan peralatan perlombongan itu beroperasi.

Seperti yang kita tahu, melombong kripto melibatkan pelombong membentuk blok baru, dan dengan menggunakan peralatan perlombongan yang boleh membuat beratus ribu atau berjuta tekaan setiap saat, pelombong boleh mencari jawapan untuk menyelesaikan masalah blok itu dalam masa yang singkat.

Secara teknikal, pelombong akan menyelaras hash blok baru itu supaya ianya berada di bawah atau sama dengan “sasaran”. Sasaran ini berubah mengikut tahap kesukaran (yang juga berubah secara berkala). Untuk sampai ke hash yang disasarkan, pelombong itu perlu menyelaras nonce dalam blok tadi. Setiap nonce bermula dengan “0” dan akan bertambah setiap masa untuk mendapatkan sasaran.

Memandangkan penyelarasan nonce adalah sesuatu yang mengikut nasib, kemungkinan untuk mencapai satu hash (sasaran) adalah sangat tipis. Pelombong perlu mencuba banyak kali dengan menyelaras nonce sehingga mendapatkan sasaran itu. Bilangan percubaan yang dibuat setiap saat adalah apa yang kita panggil hashrate atau hash power.

Pengiraan hashrate

Hashrate diukur dalam hashes per second (h/s) atau hash sesaat. Antara istilah yang biasa digunakan untuk mengukur hash adalah mega, giga dan tera bergantung kepada jumlah hash. Contohnya, satu peralatan perlombongan dengan kelajuan 60 hash sesaat and membuat tekaan sebanyak 60 kali sesaat untuk menyelesaikan masalah blok. Kilohash (KH/s) melambangkan 1,000 hash, megahash (MH/s) untuk 1,000 kilohash, terahash (TH/s) untuk 1,000 megahash dan petahash (PH/s) untuk 1,000 terahash.

Peralatan yang digunakan untuk melombong matawang kripto berlainan tidak mempunyai hashrate yang sama. Contohnya, peralatan untuk melombong Bitcoin akan mempunyai hashrate berbeza dengan peralatan untuk melombong Ethereum. Ini disebabkan algoritma berlainan yang digunakan setiap matawang kripto yang menentukan memori dan kuasa komputer yang diperlukan untuk melombong.

Kepentingan hashrate

Dalam dunia Blockchain, hashrate sesuatu rangkaian adalah elemen yang paling penting, kerana ia menandakan keselamatan sesuatu rangkaian. Seperti yang diterangkan di atas, hashrate melambangkan jumlah kuasa pengkomputeran yang dilontarkan ke dalam rangkaian, oleh nod-nod diseluruh dunia.

Semakin banyak nod yang masuk ke dalam rangkaian, semakin selamat rangkaian itu. Bayangkan jika hanya 1 peralatan perlombongan dalam satu rangkaian matawang kripto, maknanya pelombong itu memiliki 100% hashing power. Dan semakin banyak pelombong masuk untuk bersaing mendapatkan ganjaran blok, tahap kesukaran blok akan meningkat dan hashrate juga akan meningkat, menjadikan rangkaian lebih selamat.

Proses inilah yang menyelesaikan masalah kerentanan matawang digital kepada serangan luar (siber) dan juga masalah “double spend“. Ini adalah kerana ia lebih menguntungkan untuk bersaing mendapatkan ganjaran blok daripada cubaan menggodam Blockchain tersebut. Pada masa kini, rangkaian Bitcoin mempunyai lebih sepuluh quintilion hash sesaat, oleh nod-nod seluruh dunia, membuatkan ia rangkaian pengkomputeran terbesar di dunia.

Hashrate penentu trajektori pasaran kripto?

Ada teori mengatakan bahawa hashrate menentukan harga dalam pasaran kripto. Betul ke?

Jom kita tengok apa yang berlaku pada hashrate ketika harga pasaran jatuh. Gambar rajah di bawah adalah pergerakan hashrate ketika kejatuhan harga Bitcoin pada bulan Mei 2018. Melihat carta ini, kita boleh lihat peningkatan konsisten dalam hashrate berbulan sebelum kenaikan dan juga selepas penjualan besar di pasaran.

Jika kita bandingkan modal pasaran dan pergerakan hashrate, kita akan temui bahawa kedua-duanya bergerak bertentangan dengan satu sama lain. Persoalannya di sini, mengapa hashrate meningkat sedangkan harga pasaran berterusan menurun?

Seperti yang diterangkan di atas, semakin banyak pelombong menyertai rangkaian, semakin meningkat hashrate dalam rangkaian itu. Apa yang kita boleh inferenskan adalah walaupun harga Bitcoin jatuh, pelombong masih lagi meneruskan aktiviti perlombongan mereka.

Adakah pelombong tahu sesuatu yang kita tidak tahu?

Jika anda seorang pelombong, apa sebab utama anda akan kekalkan aktiviti melombong matawang kripto walaupun harga sedang jatuh? Kita boleh rumuskan bahawa pada pandangan pelombong, trajektori harga matawang kripto adalah lebih kepada bullish. Sudah tentu pelombong akan kekal dalam aktiviti perlombongan selagi ia masih menguntungkan, dan mungkin keadaan pasaran yang bearish membolehkan mereka mengumpul lebih banyak Bitcoin untuk menanti momentum bullish Bitcoin yang seterusnya.

Sebaliknya ia akan lebih membimbangkan jika pergerakan hashrate mengikut trend harga matawang kripto. Senario ini akan menunjukkan bahawa pelombong sudah beralih dari Bitcoin kepada matawang kripto lain, atau menghentikan perlombongan matawang kripto. Apa yang pasti, pelombong mengambil pandangan jangka masa panjang, dan akan mengabaikan trend menurun pasaran kripto dalam jangka masa pendek.

Kesimpulan

Hashrate mungkin bukanlah satu ukuran yang jelas atau menarik perhatian pelabur, namun perlu kita ingat, pelombong boleh dikatakan aset paling penting dalam ekosistem Blockchain, khususnya yang menggunakan algoritma PoW. Tanpa mereka, keseluruhan sistem akan akhirnya jatuh.

Jadi, jika anda lihat pergerakan hashrate mengikuti trend harga pasaran yang menurun, pada waktu itulah anda boleh mula risau tentang pelaburan anda.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads