Default – Above Header Ads

Adakah Data dari CoinMarketCap boleh Dipercayai?

CoinMarketCap. Nama yang tidak asing lagi dalam dunia matawang kripto. Boleh dikatakan 90% daripada pemilik, pengguna, pedagang dan pelabur matawang kripto akan melawat laman web coinmarketcap untuk memeriksa harga matawang kripto kesukaan mereka, ataupun ranking matawang kripto lain.

Tetapi. Bolehkah data dari coinmarketcap dipercayai sepenuhnya?

Semua pengguna coinmarketcap sudah pasti akan mencari maklumat tertentu dalam laman web coinmarketcap. Contohnya, harga, kedudukan, carta pergerakan harga, dan macam-macam lagi. Ada juga yang menganggap jika suatu matawang kripto disenaraikan dalam coinmarketcap bermakna ianya legitimate dan boleh dilabur atau dibeli.

Betul ke?

Untuk jawab persoalan itu, mari kita meneliti maklumat yang dibekalkan oleh coinmarketcap dan laman web lain yang sewaktu dengannya dan bagaimana mereka mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Baru kita boleh tentukan sama ada coinmarketcap ini boleh dipercayai atau tidak.

Apa itu coinmarketcap?

Seperti biasa, buat yang tidak tahu atau coinmarketcap adalah satu laman web yang menjejak dan menganalisa pasaran matawang kripto. Kini, terdapat lebih daripada 2000 matawang kripto yang disenaraikan dalam coinmarketcap. Antara ciri-ciri coinmarketcap adalah:

  • Menyediakan pelbagai maklumat, statistik dan carta yang berguna
  • Menyenaraikan hampir semua matawang kripto yang wujud
  • Antara laman web paling terkenal dalam dunia kripto dan berusaha untuk membekal maklumat paling tepat [akan dibincangkan tentang ini dengan lebih lanjut dalam artikel ini]

Apa yang kita lihat jika kita membuka laman web coinmarketcap?

Cuba lihat gambar di atas. Lima statistik yang anda akan dapat di laman hadapan coinmarketcap adalah bilangan matawang kripto yang tersenarai, jumlah pasaran (berkaitan dengan bursa pertukaran kripto), kapital pasaran keseluruhan matawang kripto (yang tersenarai) dan dominasi Bitcoin yang dikira melalui pembahagian kapital pasaran Bitcoin daripada kapital keseluruhan pasaran matawang kripto.

Di bawahnya pula anda akan dapat melihat senarai 100 matawang kripto teratas yang dikira melalui kapital pasaran. Anda boleh klik setiap satu matawang kripto untuk maklumat lebih lanjut tetapi anda sudah boleh melihat kapital pasaran, harga, jumlah perdagangan dalam 24 jam, jumlah pengedaran, pergerakan harga dan graf ringkas di halaman pertama.

Salah satu ciri yang membuatkan coinmarketcap menjadi sumber utama buat pengguna kripto adalah UI yang mudah difahami dan gambaran pasaran matawang kripto yang boleh diperolehi hanya daripada halaman pertama coinmarketcap.

Jika anda klik matawang kripto, contohnya Bitcoin, anda akan mendapat maklumat yang lebih mendalam seperti dalam gambar di bawah.

Daripada halaman ini, anda boleh mendapatkan maklumat yang tiada di halaman pertama seperti bekalan maksima, graf data yang boleh diubah, dan juga link-link yang berguna termasuk laman web rasmi, blockchain explorer, komuniti, dokumen teknikal, dan whitepaper.

Selain itu, anda boleh melihat pasaran matawang kripto itu di mana coinmarketcap menyenaraikan semua bursa pertukaran kripto yang mendagangkan matawang kripto itu beserta pasangan dagangannya i.e BTC/USD. Dan jika anda skrol ke bawah, anda boleh membaca secara ringkas tentang matawang kripto itu dan melihat statistik yang berkaitan dengannya seperti harganya, ROI, harga ATH, harga terendah, harga tertinggi/terendah dalam setahun dan sebagainya.

Gambar di atas adalah senarai bursa pertukaran kripto di mana anda boleh melihat harga dagangan dan membeli matawang kripto anda.

Sangat banyak maklumat yang disediakan oleh coinmarketcap, dan semua boleh digunakan oleh pelbagai jenis pengguna tidak kira beginner mahupun pakar.

Metriks CoinMarketCap

Di bawah adalah penerangan tentang bagaimana coinmarket membuat pengiraan dan pertimbangan untuk beberapa metriks dalam laman web itu. Semua maklumat ini anda boleh dapati dalam bahagian FAQ dan Methodology laman web coinmarketcap.

Kapital pasaran: Pendaraban Harga dengan Jumlah bekalan dalam peredaran. 

Kapital pasaran = Harga X Jumlah bekalan dalam peredaran

Harga matawang kripto: Purata jumlah perdagangan pasangan matawang kripto itu. Lebih tinggi peratusan jumlah perdagangan yang disumbang oleh pasangan itu, lebih banyak pengaruhnya kepada purata harganya. Menurut coinmarketcap, ini adalah kerana pasaran dengan jumlah perdagangan tinggi mempunyai tahap kecairan yang tinggi dan kurang berisiko untuk naik turun harga yang drastik.

Jumlah perdagangan: Jumlah keseluruhan perdagangan spot yang dilaporkan oleh semua bursa pertukaran kripto dalam masa 24 jam. Coinmarketcap telah mengeluarkan beberapa pasangan matawang kripto daripada jumlah itu, dan menandanya dengan (**), jika bursa pertukaran itu tidak mengenakan yuran perdagangan ataupun menawarkan insentif signifikan untuk mendagangkan pasangan itu (kerana risiko wash trading menyebabkan jumlah perdagangan palsu dilaporkan).

Harga pasangan matawang kripto: Coinmarketcap mengira harga untuk pasangan matawang kripto individu dengan mengambil harga yang dilaporkan oleh bursa pertukaran dan menukarnya kepada USD menggunakan menggunakan harga rujukan coinmarketcap.

Jika (E) adalah harga LTC/BTC ryang dilaporkan oleh bursa pertukaran kripto.
Jika (C) adalah harga rujukan BTC dari CoinMarketCap dalam USD.
Jika (D) adalah harga yang dilaporkan ke CoinMarketCap untuk pasangan pasaran itu.

Untuk contoh ini, (E) = 0.01 BTC / 1 LTC dan (C) = 10,000 USD / 1 BTC.

D = E * C
D = (0.01 BTC / 1 LTC) * (10,000 USD / 1 BTC) = 100 USD / 1 LTC

Jadi, harga yang diperolehi untuk pasangan pasaran LTC/BTC adalah $100 USD.

Secara asasnya, coinmarketcap mendapatkan data tentang pasangan matawang kripto yang didagangkan melalui bursa pertukaran kripto. Dan kemudian menggunakan algoritmanya sendiri untuk mendapatkan metriks yang anda lihat di coinmarketcap.

Kriteria penyenaraian

Sejak tahun lalu, dakwaan tentang “fake volume” atau jumlah perdagangan palsu mula menular dalam komuniti matawang kripto. Satu kajian oleh seorang penyelidik dan pedagang matawang kripto menunjukkan bahawa jumlah perdagangan matawang kripto daripada beberapa bursa pertukaran kripto besar sebanyak USD$3 bilion telah dipalsukan. Dan menurut kajian itu, terdapat bursa pertukaran yang memalsukan jumlah perdagangan sehingga 93 peratus.

Tetapi adakah ini salah coinmarketcap? Tentunya tidak, tetapi sudah tentu laman web seperti coinmarketcap mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk melaporkan data yang tepat, bukan hanya untuk kebaikan komuniti matawang kripto tetapi juga untuk mengekalkan reputasi mereka sendiri. Dan coinmarketcap jugas sering mengemaskini algoritmanya untuk memastikan ia kekal sebagai laman web pilihan matawang kripto.

Bagaimana pula dengan matawang kripto yang disenaraikan dalam coinmarketcap?

Menurut kriteria penyeneraian coinmarketcap, laman web itu menekankan 3 prinsip untuk proses penyenaraian:

  1. Kredibiliti – adakah pemohon boleh memberi bukti tambahan untuk menyokong kesnya?
  2. Verifikasi – adakah coinmarketcap boleh mengesahkan maklumat ini dari sumber yang boleh dipercayai dan mempunyai kredibiliti?
  3. Metodologi – adakah permohonan sejajar dengan metodologi coinmarketcap?

Untuk penyenaraian matawang kripto secara khususnya, beberapa syarat perlu dipenuhi:

  • Menggunakan kriptografi, algoritma konsensus atau lejar teragih, teknologi peer-to-peer dan/atau smart contract untuk berfungsi sebagai tempat penyimpanan nilai, medium pertukaran, unit akaun, atau aplikasi desentralisasi.
  • perlu mempunyai laman web dan blockchain explorer yang berfungsi.
  • perlu didagangkan secara awam, dan secara aktif di sekurang-kurangnya dua (2) bursa pertukaran kripto (dengan jumlah yang signifikan) yang disokong oleh coinmarketcap.
  • menyediakan wakil dari projek untuk tujuan komunikasi.

Selain itu, coinmarketcap juga akan membuat penilaian secara holistik dan melihat faktor-faktor lain seperti jumlah perdagangan dan kecairan, penglibatan komuniti, progres, kumpulan pembangun, produk, impak, keunikan dan aktiviti projek itu.

Kesimpulan

Jadi dengan semua di atas, bolehkan maklumat dalam coinmarketcap dipercayai? Tidak sepenuhnya atau dalam bahasa Inggeris, to an extent. Jika anda menggunakannya untuk memeriksa harga terkini matawang kripto yang sudah anda miliki, atau ingin membuat analisa pergerakan harga yang mudah, laman web seperti coinmarketcap sesuai untuk anda.

Namun begitu, sebagai pengguna baru yang ingin membuat keputusan untuk melabur dalam sesuatu matawang kripto (selain daripada Bitcoin dan matawang kripto terbesar dalam pasaran), hanya kerana ia disenaraikan di coinmarketcap, tidak bermakna matawang kripto itu adalah projek yang legitimate dan akan membawa pulangan kepada anda.

Selalunya akan terdapat orang yang menggunakan coinmarketcap untuk membuktikan legitimasi sesuatu matawang kripto, seolah-olah dengan penyenaraian dalam laman web itu bermakna matawang kripto itu selamat untuk tidak dilabur. Hakikatnya, mana-mana projek matawang kripto masih lagi mempunyai risiko untuk menjunam, malah matawang kripto di kedudukan teratas pun boleh jatuh dengan drastik.

Kesimpulannya, coinmarketcap adalah umpama agregator data matawang kripto yang memudahkan anda untuk mencari maklumat tentang matawang kripto, tetapi ia tidaklah memberi kredibiliti mahupun legitimasi untuk matawang kripto itu. Seperti biasa, kaji selidik dahulu matawang kripto yang ingin anda labur sebaik boleh. Dan juga ingat, apa-apa pelaburan pun mempunyai risiko untuk gagal, jadi pastikan wang yang anda labur adalah wang yang anda tidak kisah kehilangannya.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.