Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

8 Sebab Mengapa Ada Ulama’ yang Mengharamkan Bitcoin

Perbahasan tentang status halal atau haramnya Bitcoin bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Bitcoin mula mendapat perhatian masyarakat awam terutamanya pada tahun 2017 apabila nilai pasaran Bitcoin mencecah hampir US$20,000 bagi 1 BTC, timbul pertanyaan dalam kalangan umat Islam tentang status Bitcoin dari sudut pandang syarak.

Coin.my sendiri berpendirian yang secara umumnya, penggunaan matawang kripto sebagai medium transaksi adalah harus. Coin.my telah banyak menulis dan memaparkan artikel yang berkaitan dengan hukum menggunakan dan berjual beli matawang kripto secara amnya. Antaranya:

  1. Apa Yang Menjadikan Sesuatu Matawang Kripto Itu Patuh Syariah?
  2. Mufti Islam Mengeluarkan Fatwa Bitcoin Patuh Dengan Hukum Syariah
  3. Bitcoin: Matawang, Komoditi, Sekuriti Atau Identiti Baru? Satu Perbincangan –  Bahagian I (ada lima bahagian kesemuanya)

Namun mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apa hujah atau sebab yang menyebabkan ada ‘alim ‘ulama’ yang berpendapat bahawa Bitcoin itu haram? Antara yang berpandangan bahawa Bitcoin haram digunakan adalah Majlis Fatwa Mesir dan Syaikh Ali Qaradaghi yang kini menjawat jawatan Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia.

Dalam penulisan kali ini, kita akan melihat lapan sebab mengapa Bitcoin difatwakan sebagai haram dan sedikit kupasan mengenainya.

Tiada nilai intrinsik (nilai sandaran)

Antara sebab Bitcoin dikatakan haram adalah kerana Bitcoin tidak mempunyai apa-apa nilai yang tersendiri, tidak seperti emas atau perak. Hal ini menjadikan, penjualan dan pembelian Bitcoin adalah suatu urus niaga ‘atas angin’; ia bertukar tangan bukan kerana nilai intrinsiknya tetapi nilai yang terbentuk berdasarkan persepsi.

Tidak dikawal selia oleh pihak berautoriti

Idea besar di sebalik Bitcoin adalah tidak ada satu pihak pun yang boleh mengubah atau mengganggu gugat pengeluaran/penghasilan Bitcoin kerana keseluruhan sistemnya adalah berdasarkan konsep lejar terbuka. Hal ini bermakna, sekiranya ada sebarang insiden yang tidak diingini terjadi, penjual, pembeli dan pelabur Bitcoin tidak mempunyai sebarang jaminan ganti rugi atau perlindungan. Sifat wang yang sebenar – menurut Ibn Taymiyah dan Imam Nawawi – dalam Syariah, ia mesti dikawal selia oleh kerajaan.

Mempunyai unsur keraguan (gharar) dan manipulasi yang besar

Sehingga ke hari ini, identiti Satoshi Nakamoto – pengasas Bitcoin – masih menjadi misteri. Fakta ini menyebabkan ada ulama’ yang berpendapat Bitcoin adalah satu produk atau matawang yang mempunyai unsur gharar yang keterlaluan, memandangkan pemilik/pengasasnya sendiri tidak diketahui. Ia juga terbuka kepada manipulasi yang besar memandangkan identiti penjual/pembeli Bitcoin boleh dirahsiakan sepenuhnya.

Tidak menepati syarat sebagai matawang

Antara syarat matawang yang sah daripada sudut pandangan syarak termasuklah:

  • Medium pertukaran (medium of exchange)
  • Penyimpanan nilai (mahkzunan lil tsarwah atau store of value)
  • Ukuran kestabilan (Miqyas lil Qiyam)
  • Ukuran penerimaan umum (Mi’yar li Tadawul)

Oleh kerana Bitcoin tidak memenuhi beberapa daripada syarat-syarat di atas, maka ia haram digunakan sebagai matawang dalam sebarang transaksi.

Pengeluaran matawang adalah hak mutlak pemerintah

Menurut pandangan sesetengah ulama’, tanggungjawab untuk mengeluarkan matawang adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah, i.e. legal tender. Hal ini menjadikan Bitcoin berada dalam satu kategori yang tersendiri kerana ia dikeluarkan oleh ‘rakyat’ kebanyakan.

Boleh dijadikan alat untuk membiayai aktiviti haram

Memandangkan identiti penjual dan pembeli dalam transaksi jual beli Bitcoin boleh dirahsiakan, ada kerisauan yang ia boleh dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membiayai aktiviti-aktiviti yang haram dan tidak sah di sisi undang-undang. Aktivi yang dimaksudkan termasuklah keganasan, pengubahan wang dan mengelak daripada membayar cukai.

Pelaburan yang berisiko tinggi

Harga Bitcoin hanya USD966 pada Januari 2017 dan kemudian naik secara mendadak sehingga mencecah USD19,850 pada Disember tahun yang sama; kenaikan 18,884%! Harganya kemudian jatuh merudum hanya beberapa hari selepas itu kepada USD12,000. Ia memberikan indikasi yang harga Bitcoin adalah terlalu tidak menentu dan sukar sekali dijangkakan. Maka ada ulama’ yang mengharamkan pelaburan dalam Bitcoin kerana risikonya yang terlalu tinggi.

Kaedah ‘mining’ yang ada unsur judi

Ada ulama’ yang mengatakan, Bitcoin itu haram kerana kaedah menempanya (mining) berunsur judi. Hal ini adalah kerana, komputer-komputer berkuasa tinggi yang digunakan untuk mining, ia berfungsi dengan menyelesaikan permasalahan matematik untuk merungkai hash secara rawak. Tiada siapa tahu komputer mana yang dapat menyelesaikan masalah tersebut dahulu atau bagaimana komputer-komputer tersebut bekerja.

Hampir semua sebab atau hujahan di atas telah pun dijawab oleh a’lim ulama’ yang lebih kontemporari seperti Datuk Dr. Daud Bakar, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan Mufti Muhammad Abu Bakar yang berpendapat bahawa Bitcoin itu harus digunakan dan dimanfaatkan. Dan ramai juga asatizah dan ilmuwan yang berpandangan Bitcoin harus digunakan dengan beberapa syarat tertentu.

Apa-apa pun pandangan atau fatwa tentang Bitcoin, yang penting kita sendiri menuntut ilmu dan tidak hanya bertaklid buta. Dengan akal yang dikurniakan Allah kepada kita, dengan bermacam sumber ilmu dan informasi di hujung jari, kita sepatutnya dapat membuat keputusan yang baik dan rasional.

Jika kita tidak mahu membeli dan menggunakan Bitcoin, biarlah kerana kita benar-benar tahu dan faham akan hukum-hakam di sebaliknya. Dan jika kita berpendirian bahawa umat Islam tidak wajar terlibat dengan Bitcoin, biarlah pendirian itu berdasarkan hujah yang jitu lagi padu.

Janganlah jadi seperti lalang; apabila harga Bitcoin naik mendadak, kita orang pertama yang berebut-rebut mahu membelinya. Tetapi apabila ada ustaz atau ilmuwan yang mengatakan Bitcoin itu haram, kita pun turut sama berapi-api mengharamkannya. Kerana kesudahan bagi lalang itu hanya satu; dicantas untuk diberi makan pada lembu! Eh.

Ditulis oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads