Default – Above Header Ads

Adakah Blockchain Jawapan Kepada Pendigitalan?

Jika kita rajin membaca tentang isu terkini dalam bidang teknologi mesti kita akan semakin banyak menjumpai artikel tentang blockchain. Penggunaan blockchain semakin meluas dan merangkumi hampir semua sektor dalam industri. Walaupun teknologi blockchain bukanlah perintis era digitalisasi, ia seolah-olah sesuatu yang perlu di implementasi oleh syarikat untuk bersaing.

Persoalannya, adakah teknologi blockchain ini jawapan kepada pendigitalan infrastruktur dan perkhidmatan?

Zaman analog

Sebelum era digital atau lebih tepat lagi Revolusi Industri Ketiga bermula, sistem yang digunakan adalah berdasarkan analog atau mekanikal. Menurut Wikipedia, sistem analog adalah sistem elektronik yang yang mempunyai signal boleh ubah yang berterusan, dan menggunakan sebahagian dari ciri medium untuk menghantar maklumat signal itu.

Contohnya, barometer yang menggunakan posisi jarum untuk menandakan perubahan dalam tekanan atmosfera.

Sebelum era digital, kita semua hidup dalam dunia analog. Semua sistem masih lagi manual, dan kebanyakannya menggunakan kertas. Bayangkan memasukkan setiap transaksi ke dalam buku lejar, atau membuat pengiraan dengan hanya menggunakan kalkulator.

Revolusi Digital

Dengan kemasukan Internet, maka bermulalah era dot com yang menjadi popular kerana gelembung pasaran yang melihat beribu syarikat melabur berbilion dolar dan menjadi besar, kemudiannya bankrap apabila gelembung pasaran pecah hanya meninggalkan beberapa syarikat sahaja.

Revolusi digital telah membuka dunia baru yang menghubungkan satu dunia. Syarikat yang mengambil peluang untuk menyertai dunia digital berjaya berkembang dengan cepat dan mengunjurkan sasaran pemasaran mereka ke seluruh dunia.

Ia telah mengubah cara syarikat berkomunikasi, berkolaborasi, mencipta kandungan dan banyak lagi. Komunikasi menggunakan emel, live chatskype, media sosial dan sebagainya telah membuatkan ia mudah dan cepat untuk berkongsi maklumat dan berkolaborasi. Teknologi baru telah memudahkan komunikasi segera.

Ia telah mengubah cara pemasaran daripada hanya menggunakan medium seperti surat khabar dan radio kepada platform baru – laman web, blog, video streamingpodcast dan macam-macam lagi. Pengguna kini boleh mendapatkan maklumat terkini dan membuat penyelidikan dalam sekelip mata, tanpa perlu mencari selama berjam-jam di perpustakaan.

Tidak boleh dinafikan bahawa pendigitalan telah membawa banyak kebaikan kepada kita. Komunikasi menjadi lebih cepat, produktiviti meningkat dan kesilapan manusia dikurangkan dengan bantuan komputer berkuasa tinggi.

Adakah Blockchain revolusi digital seterusnya?

Dengan perkembangan teknologi baru, penambahbaikan sistem sedia ada berterusan. Dan antara teknologi yang baru muncul adalah teknologi Blockchain. Teknologi blockchain yang pada awalnya dikatakan mengubah sistem kewangan kini dianggap sebagai pemangkin pendigitalan.

Ia adalah tahap seterusnya dalam proses pendigitalan. Dari pengkalan data berpusat, kepada lejar desentralisasi. Namun begitu, adakah blockchain jawapan kepada pendigitalan?

Terdapat banyak lagi industri yang masih belum menjadi digital sepenuhnya, dan masih menggunakan infrastruktur dan sistem pengurusan yang menggunakan orang tengah sebagai perantara, kertas kerja yang banyak untuk tujuan rekod dan penyerahan dan juga pengesahan, proses pembayaran yang mengambil masa dan pelbagai fungsi lagi yang masih manual.

Blockchain mungkin adalah tahap seterusnya dalam proses pendigitalan tetapi ia tidak realistik bagi syarikat yang tidak digital sepenuhnya untuk implementasi blockchain secara langsung. Ini adalah kerana selain daripada isu-isu yang masih dihadapi blockchain, keperluan setiap syarikat adalah berbeza dan tidak semuanya akan bertambah baik jika menggunakan blockchain.

Malah banyak pakar teknologi yang bersetuju bahawa sebelum mana-mana syarikat ingin implementasi blockchain ia perlu melalui proses pendigitalan awal terdahulu. Tahun 2018 telah melihat begitu banyak proof of concept dijalankan dalam perdagangan kewangan, di mana bank seluruh dunia menguji kesesuaian teknologi blockchain untuk menjadikan proses transaksi lebih efisyen dan selamat.

Tahun 2018 adalah tahun teknologi blockchain berkembang menjadi satu hype di mana banyak syarikat yang mendengar tentangnya ingin implementasi blockchain dalam infrastruktur syarikat masing-masing kerana potensinya untuk mengubah sistem kewangan sedia ada. Hakikatnya, teknologi blockchain mungkin terbukti boleh menambah baik sistem kewangan yang melibatkan transaksi, tetapi adakah ia lebih baik dari segi penyimpanan rekod, atau perkongsian maklumat dan sebagainya?

Sebelum kemunculan istilah DLT atau distributed ledger technology sudah terdapat sistem distributed cluster, iaitu sekumpulan komputer atau mesin pemproses maklumat yang diagihkan secara virtual atau geografi dan bekerja bersama-sama untuk memberi perkhidmatan yang sama atau aplikasi kepada klien. Contohnya, DNS, Windows Internet Naming Service (WINS) dan Active Directory adalah contoh perkhidmatan yang teragih,

Antara kelebihan sistem distributed cluster adalah tiada satu titik kegagalan atau single point of failure (SPoF), reka bentuknya membolehkan skalabiliti, maklumat boleh dikongsi dalam setiap komputer dan ia boleh dipercayai. Sistem ini banyak digunakan oleh syarikat besar melalui hubungan LAN dan WAN mereka dan ianya adalah seperti satu virtual server yang besar, walaupun melibatkan banyak server.

Bunyi seperti sistem blockchain bukan?

Jadi sebenarnya implementasi blockchain ini bukanlah jawapan kepada pendigitalan kerana hakikatnya, ia bergantung kepada keperluan syarikat, fungsi dan juga saiz. Penggunaan teknologi blockchain mungkin efisyen dari segi kos, tetapi kos pemasangan dan juga pengurusannya bukanlah sedikit. Malah, dengan isu teknologi blockchain yang sedia ada, kos masa panjangnya mungkin tidak berbaloi, terutama jika syarikat yang ingin implementasinya adalah kecil.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.