Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Desentralisasi ≠ Akauntabiliti Dalam Blockchain

Jika bercakap tentang teknologi Blockchain, konsensus mengatakan ia adalah teknologi yang mampu mengubah dunia, sistem ke sistem. Ia revolusi. Ia adalah evolusi sistem legasi. Dan yang paling popular, ia adalah pengubat pelbagai masalah. Atau dalam bahasa mat sallehnya, a panacea.

Semua anggapan ini datang daripada kelebihan yang dibawa oleh teknologi Blockchain melalui ciri-cirinya dan juga bagaimana sistem blockchain itu berfungsi. Sebelum kemunculan Blockchain, pernahkah anda dengar tentang istilah desentralisasi? Memang dah ada, tapi bukan dalam konteks kewangan. Desentralisasi lebih kepada kefahaman politik yang bersifat anti-kerajaan, seperti anarki dan libertarian.

Malah, kemunculan Bitcoin sendiri adalah kerana kefahaman anarki dalam kewangan, yang ketika itu semakin diterima kerana pentadbiran kerajaan yang menyebabkan krisis ekonomi di Amerika Syarikat. Desentralisasi dalam Blockchain merujuk kepada ketiadaan penguasaan pusat dalam sistem tersebut.

Konsep desentralisasi dalam Blockchain sering dikaitkan dengan ketelusan, tiada keperluan pengantara, dan juga topik artikel kali ini, iaitu akauntabiliti. Dalam artikel-artikel sebelum ini seperti Kepentingan ‘Immutability’ dalam Blockchain, atau Apa itu Teknologi Blockchain Secara Mudah? dan banyak lagi dah menerangkan tentang bagaimana konsep desentralisasi boleh membawa kepada ketelusan dan kita memang sedia tahu Blockchain diwujudkan tanpa keperluan pengantara untuk membuat transaksi.

Namun begitu, adakah desentralisasi Blockchain bersamaan dengan akauntabiliti?

Apa itu akauntabiliti? Dalam kata mudah, akauntabiliti ini adalah kewajipan individu atau entiti untuk menerima tanggungjawab ke atas aktivitinya, dan memastikan segala aktivitinya telus. Akauntabiliti adalah sesuatu yang dituntut, lebih-lebih lagi jika mempunyai kepentingan sendiri dalam sesuatu organisasi.

Contohnya paling senang adalah kerajaan. Sudah tentu semua aktiviti kerajaan berkait rapat dengan kehidupan kita dan kita mesti nak tahu apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan, betul tak? Ketelusan pentadbir di sini sama dengan akauntabiliti. Tetapi pentadbiran sesebuah kerajaan bolehkah berubah dari sistem pentadbiran pusat kepada lebih desentralisasi? Macam tak realistik dan tidak praktikal.

Default – Inside Post Ads

Dah boleh nampak yang akauntabiliti tidak semestinya memerlukan desentralisasi? Belum lagi? Tidak apa, teruskan membaca.

Seperti yang penulis sebut di atas, konsep desentralisasi lebih kepada anti-kerajaan, Tetapi sebenarnya ia lebih berkait rapat dengan hak asasi manusia. Kefahaman anti-kerajaan datang kerana kegagalan kuasa pusat untuk melindungi hak asasi manusia. Setiap budaya mempunyai interpretasi sendiri tentang hak asasi, namun banyak yang setuju sesetengah aspek kehidupan yang dikuasai satu kuasa pusat menyebabkan satu pihak mengambil kesempatan ke atas satu lagi pihak.

Contohnya:

Kewangan – Kita meletakkan nilai kepada semua benda disekiling kita dan wang digunakan sebagai proksi kepada nilai itu. Kita sedia tahu sistem kewangan kita dikuasai bank pusat, dan boleh dikatakan terdapat kecenderungan untuk monopoli menyebabkan sukar untuk mencari alternatif medium pertukaran atau penyimpanan nilai yang lain.

Media – Perspektif kita terhadap sesuatu dibentuk oleh media yang kita tahu. Ini menyebabkan kuasa maklumat itu berat sebelah, dan sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa sesiapa yang memiliki maklumat itu boleh memanipulasinya dengan mudah sebelum ia tiba di tangan kita. Lihat sahaja media yang dikuasai oleh kerajaan, di mana setiap maklumat ditapis.

Data peribadi – Siapa sebenarnya yang memiliki data peribadi kita? Adakah kita sendiri atau syarikat-syarikat yang sentiasa meminta data peribadi daripada kita. Apabila data peribadi kita dijual kepada syarikat lain, adakah kita tahu dan sedar perkara itu berlaku?

Jadi, dalam sesetengah aspek, satu kuasa pusat yang menguasainya menghapuskan akauntabiliti kuasa itu kerana pada zahirnya tiada siapa boleh menghalang mereka daripada menyeleweng kuasa mereka. Ini adalah realiti kontrak sosial sedia ada antara rakyat dengan kerajaan, atau pengguna dan syarikat. Dalam kontrak sosial ini, sesiapa sahaja yang ingin menjadi sebahagian daripada masyarakat akan menyertai sistem itu, kerana tiada pilihan tetapi juga kerana kebaikan yang diterima.

Namun begitu, ketakutan orang ramai ialah apabila kontrak sosial ini dilanggar, seperti dalam kes penyelewengan kuasa. Itulah yang menerbitkan rasa marah yang akan bertukar menjadi anti-kerajaan. Bukanlah kerana pemusatan kuasa, tetapi kerana tiada akauntabiliti jika berlaku sesuatu yang menjejaskan masyarakat atau pengguna.

Pokoknya, suatu sistem tidak perlu menjadi desentralisasi untuk menambah akauntabiliti. Namun begitu, teknologi yang berbentuk desentralisasi seperti Blockchain memang banyak membantu bukan kerana sistemnya yang desentralisasi, tetapi kerana ia memberi cara alternatif untuk memastikan akauntabiliti setiap pihak tanpa perlu membuat rusuhan atau protes. Teknologi seperti ini menambah baik check and balances sedia ada dalam sistem legasi yang memastikan satu pihak tidak mempunyai lebih kuasa daripada pihak lain.

Teknologi bukanlah solusi kepada semua masalah, tetapi ia sangat membantu dalam menambah baik sistem sedia ada. Setiap sistem dibina berdasarkan konsep kemanusiaan yang sentiasa berkembang, dan bukannya hanya pada perkembangan teknologi yang menjanjikan pelbagai kebaikan dalam teori. Dalam konteks ini, akauntabiliti adalah matlamatnya dan desentralisasi adalah salah satu cara untuk mencapainya.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads