Default – Above Header Ads

Perkembangan Seterusnya untuk Blockchain

Teknologi Blockchain diperkenalkan pada tahun 2008 oleh Satoshi Nakamoto, melalui whitepaper tentang suatu sistem pembayaran peer-to-peer, Bitcoin. Sistem ini membolehkan transaksi berlaku secara langsung antara penghantar dan penerima tanpa memerlukan pihak ketiga, pada masa yang sama semua transaksi yang pernah berlaku direkodkan dalam suatu lejar yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Teknologi Blokchain dianggap sebagai sesuatu yang boleh merevolusikan sistem yang sedia ada, mengubahnya menjadi lebih cekap, telus dan otomatik.

Teknologi Blockchain mula menarik perhatian ketua-ketua industri dengan potensinya untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan sistem sedia ada, terutama dalam sistem transaksi dan juga pengurusan data. Setiap industri boleh memperoleh kebaikan daripada kelebihan teknologi Blockchain atau lebih umum, teknologi lejar teragih (distributed ledger technology).

Pada mulanya, industri perbankan menganggap teknologi Blockchain masih lagi di awal perkembangan dan implementasinya lebih sukar dan menelan perbelanjaan yang besar, menjadikannya ia tidak cost-effective. Laporan tentang sentimen negatif daripada kerajaan terhadap ICO dan matawang kripto dalam tahun 2017 juga menyumbang kepada industri menjauhi teknologi Blockchain.

Pembangunan private Blockchain seperti Hyperledger dan R3 khusus buat industri telah sedikit sebanyak mengubah persepsi pemain industri. Kini, berita tentang pengujian teknologi Blockchain seperti syarikat insurans Allianz, syarikat pembuatan kereta Audi dan syarikat teknologi Huawei semakin banyak dilaporkan di tahun 2018. Kerajaan mula memberi respon positif terhadap pembangunan teknologi Blockchain dan banyak negara sudah mula menjalankan inisiatif untuk menarik syarikat teknologi dan pelabur dalam usaha mendapatkan first-mover advantage dalam teknologi Blockchain ini.

Kita sudah boleh melihat negara-negara seluruh dunia memberi komitmen untuk implementasi teknologi Blockchain. Contohnya, Dubai yang ingin menggantikan semua sistem pengurusan data kerajaan dengan infrastruktur digital berdasarkan DLT menjelang tahun 2020. Ataupun Bursa Saham Australia yang akan menggantikan sistem settlement sedia ada dengan DLT. Negara-negara lain seperti Estonia dan Gibraltar sudah lama dikenali sebagai global hub untuk syarikat-syarikat teknologi termasuk teknologi Blockchain.

Namun begitu, perkembangan ini masih lagi terlalu sedikit untuk mengekalkan teknologi Blockchain sebagai sesuatu yang relevan. Usaha untuk membangunkan teknologi Blockchain perlu dibuat secara kolektif oleh pemain-pemain besar, menyumbang kepada penggunaan teknologi ini secara meluas dan mainstream. Dua sektor yang boleh membawa teknologi Blockchain lebih jauh adalah kepimpinan dan pendidikan.

Dalam mana-mana sistem, kepimpinan akan mencorakkan hala tuju dan objektif sistem tersebut. Sama juga dengan industri teknologi Blockchain. Mereka yang dianggap sebagai pemimpin, atau lebih tepat lagi thought leaders dalam industri ini adalah pengasas Blockchain yang berjaya seperti Vitalik Buterin (Ethereum), Charlie (Litecoin), Eric Voorhees (ShapeShift) dan banyak lagi. Mereka adalah ketua industri dalam pembangunan teknologi Blockchain dan matawang kripto. Namun begitu, setiap seorang daripada mereka mempunyai agenda tersendiri, dan ini menunjukkan tiada keseragaman dalam hala tuju teknologi Blockchain menyebabkan ramai orang masih lagi tidak mempercayai ekosistem kripto.

Begitu juga dengan pendidikan. Ia mungkin adalah sektor yang paling tidak berkembang dalam ekosistem kripto dan Blockchain. Sebahagian besar ekosistem ini terdiri daripada pelabur, dan pemain industri. Statistik menunjukkan ekosistem ini kekurangan pakar dan juga pekerja mahir, dan masih banyak lagi pekerjaan dalam bidang ini yang tidak dipenuhi. Kini, beberapa institusi sudah mula menawarkan kursus berkaitan teknologi Blockchain, namun bilangannya masih tidak mencukupi untuk memnuhi permintaan daripada industri ini.

Pembangunan teknologi Blockchain melalui perkembangan projek-projek besar dan penyelesaian isu-isu kritikal adalah penting, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua sektor ini akan membina teras kepada industri teknologi Blockchain di masa akan datang.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads