Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Perlu ke Kisah tentang teknologi Blockchain dan Matawang Kripto?

10 tahun dahulu kalau ada yang menyebut tentang Bitcoin mesti rata-rata orang akan keliru. 10 tahun dahulu Bitcoin hanya wujud dalam alam maya dan dalam perbualan online antara pengguna IRC sahaja. 5 tahun kemudian Bitcoin semakin dikenali tetapi dalam kalangan pengguna darknet. Kini, Bitcoin menjadi buah mulut orang ramai apabila bercakap tentang pelaburan besar, bagaimana untuk menjadi jutawan serta-merta, matawang masa depan dan macam-macam lagi.

Biasanya orang akan mengenali matawang kripto bermula dengan Bitcoin. Bitcoin sudah menjadi household name, umpama jenama popular seperti Tupperware, Pampers, Maggi. Ini semua adalah jenama kepada produk generik yang juga mempunyai jenama lain di bawah syarikat yang berbeza. Kesannya, pengguna merasa jenama-jenama lain mempunyai kualiti yang lebih teruk daripada jenama popular hanya kerana mereka pernah memonopoli pasaran terlebih dahulu.

Begitu juga dengan Bitcoin. Tidak hairanlah mengapa Bitcoin masih memonopoli pasaran matawang kripto (53.2% menurut coinmarketcap) memandangkan ianya adalah matawang kripto pertama walaupun ia bukanlah yang terhebat. Namun begitu, apabila disebut tentang matawang kripto yang lain, atau altcoin, hanya segelintir sahaja yang tahu. Ramai tahu tentang Bitcoin, tetapi itu sahaja yang mereka tahu.

Cukupkah hanya dengan tahu tentang Bitcoin sahaja? Perlu ke kita kisah tentang matawang kripto lain ataupun teknologi Blockchain? Jom kita ulangkaji sedikit tentang matawang kripto dan Blockchain.

Matawang kripto hanyalah Bitcoin dan teknologi Blockchain adalah alien di Malaysia

Statistik menunjukkan bahawa rata-rata yang berminat/mempunyai ilmu pengetahuan tentang matawang kripto adalah dalam kalangan lelaki berumur antara 25-44 tahun. Dalam Malaysia, kumpulan tersebut meliputi 41 peratus daripada keseluruhan populasi negara ini jadi tidak hairanlah jika masih ramai yang tidak mengetahui tentang matawang kripto mahupun teknologi Blockchain. Lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia agak perlahan dari segi perkembangan teknologi.

Penulis boleh anggarkan dalam setiap 10 orang yang penulis bertanya tentang matawang kripto dan Blockchain, tidak sampai 5 orang yang mengetahui tentangnya dan hampir semua hanya tahu tentang Bitcoin atau Ethereum atau Ripple sahaja. Ini menunjukkan bahawa awareness tentang matawang kripto masih lagi tidak meluas di Malaysia, dan ilmu yang sampai pun masih lagi tidak cukup kerana matawang kripto itu hanyalah 1 peratus daripada potensi teknologi Blockchain.

Malah, penulis berani katakan bahawa sebahagian besar pembaca coin.my juga hanya kisah tentang pergerakan harga matawang kripto atau matawang kripto baru untuk dilabur dan bukannya potensi teknologi Blockchain untuk mengubah dunia. Betulkan? Hakikatnya, kita hanya akan kisah tentang teknologi Blockchain apabila ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, sama seperti AI, IoT, Big Data dan Emerging Technologies yang lain.

Perlu ke kita kisah tentang matawang kripto dan teknologi Blockchain ni, melangkaui potensi untuk meraih keuntungan daripada pelaburan matawang kripto? Untuk menjawab persoalan itu, mari kita ulangkaji sedikit tentang matawang kripto dan teknologi Blockchain.

Apa itu matawang kripto?

Secara asasnya, matawang kripto adalah matawang digital yang wujud di luar sistem kawalan pusat yang sedia ada untuk matawang fiat. Matawang kripto melibatkan penggunaan kriptografi (sistem algoritma matematik yang sangat kompleks), di mana transaksi disahkan menggunakan teknologi Blockchain, tanpa memerlukan kawalan atau penglibatan pihak ketiga (bank atau institusi kewangan lain).

(Kalau nak belajar tentang bagaimana transaksi Bitcoin berlaku boleh baca artikel-artikel ini: 7 Sebab Anda Patut Menggunakan BitcoinBagaimana Sebenarnya Transaksi Bitcoin Berlaku? dan banyak lagi artikel di coin.my).

Dunia mengenali matawang kripto melalui Bitcoin pada tahun 2008 dan objektif Bitcoin pada waktu itu adalah sebagai solusi kepada masalah kewangan yang dihadapi dunia akibat penyelewengan duit oleh bank-bank besar yang menyebabkan individu terpaksa menanggung kerugian yang signifikan. Pendek kata, ketika itu, rata-rata orang sudah kehilangan kepercayaan kepada kerajaan dan insitusi kewangan dan Bitcoin dicipta oleh Satoshi Nakamoto sebagai alternatif kepada matawang fiat.

10 tahun kemudian, jumlah matawang kripto sudah melebihi 2000 dan lebih banyak digunakan sebagai alat pelaburan daripada solusi kepada isu-isu yang dihadapi dunia. Ianya tidak lagi menjadi motto para anarki mahupun libertarian, tetapi buah mulut setiap orang yang merasa dirinya tech savvy, atau hipster, atau yang mengimpikan status Billion Dollar Whale.

Harga Bitcoin dan matawang kripto lain yang meletup pada bulan Disember 2017 telah mengangkat matawang kripto ke persada dunia. Bitcoin mencapai rekod hampir USD$20,000, Ether bernilai lebih USD$1,000 dan matawang kripto lain juga merekodkan nilai all-time high sebelum nilai keseluruhan pasaran matawang kripto jatuh mendadak awal tahun 2018.

Walaupun nilai market cap matawang kripto kehilangan lebih 60 peratus, dan pasaran matawang kripto masih lagi dalam keadaan bearish, jumlah pelabur matawang kripto semakin hari semakin bertambah. Pada masa yang sama, ia semakin membuka mata orang ramai kepada teknologi Blockchain.

Apa itu Blockchain?

Senario biasa yang penulis alami adalah orang tahu tentang Bitcoin tetapi tidak tahu tentang teknologi Blockchain yang menyumbang kepada kewujudan Bitcoin. Tanpa Blockchain, Bitcoin hanyalah matawang digital yang masih lagi memerlukan pihak ketiga untuk proses transaksinya. Kenapa Blockchain ni istimewa?

Secara ringkas, Blockchain adalah lejar digital yang merekodkan setiap transaksi matawang kripto daripada yang pertama sehingga kini. Untuk merekodkan transaksi matawang kripto, rantaian blok dibentuk dengan cara penyelesaian masalah matematik yang sangat kompleks (sistem kriptografi) oleh rangkaian komputer yang dinamakan minersMiners diberi insentif dalam bentuk matawang kripto yang baru dan/atau yuran transaksi untuk memastikan keseluruhan sistem berjalan dengan lancar.

Sesiapa sahaja boleh akses lejar Blockchain ini, dan untuk kebanyakan matawang kripto, sesiapa sahaja yang memiliki peralatan mining boleh mengesahkan transaksi matawang kripto. Elemen-elemen in menjadikan transaksi matawang kripto telus dan tidak boleh dimanipulasi dengan mudah. Anda boleh membaca artikel-artikel coin.my untuk maklumat yang lebih teknikal.

Apa impak Blockchain di masa kini?

Istimewanya teknologi Blockchain ini adalah ianya tidak terhad kepada sektor kewangan sahaja. Blockchain mungkin bermula dengan matawang kripto, namun potensi teknologi ini lebih besar daripada itu. Lejar Blockchain yang kekal dan ketelusan sistem pengesahannya menjadikan teknologi ini berguna sebagai pengkalan data dan juga dalam industri logistik.

Penciptaan smart contract oleh Ethereum telah mencetus kepada implementasinya dalam industri supply chain dan lain-lain yang melibatkan kontrak antara dua pihak atau lebih. Senang cerita, teknologi Blockchain ini boleh diimplementasi dalam apa jua sektor dan industri. Daripada sistem pendaftaran, sistem pengundian, kepada pengkalan data untuk menghubungkan rangkaian hospital dan memberi akses kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank di negara-negara miskin.

Sudah banyak artikel tentang potensi teknologi Blockchain di coin.my seperti Perkembangan Seterusnya untuk Blockchain, 10 Kegunaan Blockchain dalam Dunia Sebenar, Adakah Blockchain Penawar bagi Isu Teknologi Sedia Ada dan macam-macam lagi. Seperti dalam artikel 8 Tanda Blockchain Sudah Menjadi Lebih dari Hanya “Buzz Word”, teknologi Blockchain bukan hanya “buzz word” semata-mata tetapi sesuatu yang dianggap sebagai solusi untuk pelbagai masalah teknologi yang dihadapi dunia sekarang.

Pasaran matawang kripto

Berbalik kepada matawang kripto, hakikatnya pasaran matawang kripto yang wujud apabila permintaan Bitcoin semakin meningkat telah membawa matawang kripto dan teknologi Blockchain ke dunia mainstream. Pasaran ini telah mencipta beratus-ratus jutawan dan bilion-wan alaf baru yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan muda.

Ramai berpusu-pusu masuk pasaran matawang kripto untuk mencuba nasib meraih keuntungan berlipat kali ganda. Dan memandangkan banyak matawang kripto yang bersifat finite atau terhad, tidak hairanlah jika nilai matawang kripto ada yang meletup tanpa sebab hanya disebabkan khabar angin untuk menambah permintaan.

Seperti mana-mana pelaburan, pelaburan matawang kripto bersifat high-yield, high-risk. Ini adalah kerana harganya yang volatile boleh berubah dalam sekelip mata sahaja dan ketiadaan regulasi dari mana-mana pihak menyebabkan pasaran ini mudah dimanipulasi pemain-pemain besar. Tidak salah untuk mencuba nasib kerana ramai sahaja yang sudah menjadi kaya kerana matawang kripto, tetapi pastikan anda mempunyai ilmu secukupnya tentang matawang kripto dan teknologi Blockchain sebelum anda membuat keputusan untuk melabur.

Kesimpulan

Persoalan sama ada perlu atau tidak kita kisah tentang teknologi Blockchain bergantung kepada setiap individu. Ramai sahaja yang tidak ambil tahu tentang perkembangan teknologi lain seperti AI, robot, autonomous vehicle, nanotechnologyfintech dan macam-macam lagi. Mereka mungkin menggunakan gadget terbaru tetapi lebih daripada itu, bukanlah sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian.

Tetapi pada masa yang sama, tak rasa rugi ke kalau kita tidak ambil tahu tentangnya? Matawang kripto mungkin satu hari nanti akan menggantikan matawang fiat dan teknologi Blockchain mungkin akan menggantikan semua sistem yang sedia ada. Bersediakah kita untuk kedua-duanya jika kita tidak mempunyai ilmu dari sekarang?

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.