Default – Above Header Ads

Adakah Kripto akan Bertahan Jika Pasaran Kripto Hancur?

Dalam beberapa hari ini, pasaran kripto nampak seperti meningkat kembali. Seperti biasa, kita masih tidak tahu sama ada ini adalah petanda pasaran sudah keluar dari status bearish ke bullish, ataupun ia hanya momentum yang singkat. Apa pun, ramai yang kelihatan seronok melihat harga Bitcoin dan matawang kripto naik.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin bercakap tentang apa yang akan berlaku jika pasaran kripto hancur? Dalam erti kata lain, jika gelembung pasaran kripto ini pecah dan harga matawang digital jatuh secara mendadak. Ingat lagi era dotcom? Apa sebenarnya yang berlaku ketika itu?

Kejatuhan Era Dotcom

Bagi yang mengingati era dotcom lewat tahun 1990-an, mereka pasti mengetahui tentang bagaimana keterujaan dan harapan menggunung tinggi pelabur kepada potensi Internet menyumbang kepada “dotcom bubble”. Tempoh masa dari 1995-2000 itu melihat perkembangan dalam penggunaan dan implementasi Internet yang sangat ekstrem.

Di antara 1995-2000, indeks saham Nasdaq meningkat lebih 400%. Saham syarikat seperti Qualcomm naik lebih 2000%. Kebanyakan saham syarikat teknologi ketika itu terlebih nilai, dan keyakinan pelabur terhadap Internet ketika itu menyebabkan mereka mengetepikan ratio price-earnings (P/E) yang dianggap antara elemen paling penting untuk menilai sesebuah syarikat.

Pemecahan gelembung pasaran dotcom ini, yang dikenali kini sebagai dotcom crash itu bermula pada awal tahun 2000 dengan masalah tahun 2000 atau Y2K, iaitu satu kelas bug komputer yang berkaitan dengan format dan penyimpanan data kalendar untuk tarikh bermula tahun 2000, menyebabkan perbelanjaan untuk teknologi menjadi tidak stabil. Tiga hari selepas indeks Nasdaq memecah rekod tertinggi, pada 13 Mac 2000, berita tentang negara Jepun yang sekali lagi mengalami kemelesetan ekonomi mencetuskan penjualan saham teknologi secara global.

Berikutan itu bermulalah kejatuhan banyak syarikat Internet yang bankrap dan menjelang tahun 2002, pasaran saham telah kehilangan $5 trilion dalam kapital pasaran sejak mencapai rekod tertingginya.

Default – Inside Post Ads

Apa persamaan pasaran kripto dan era dotcom?

Sama ke pasaran kripto dengan era dotcom ni? Kalau kita lihat permulaan pasaran kripto mungkin boleh dikatakan sama. Lebih-lebih lagi memandangkan sukar untuk menilai setiap matawang digital dalam pasaran berbanding saham. Dalam pasaran kripto, satu token atau coin itu boleh jadi hanya konsep atau idea, ataupun prototaip awal. Hanya sedikit sahaja projek kripto yang sudah dibangunkan sepenuhnya sebelum penyenaraian matawang digital itu dalam pasaran.

Jadi, trend harga matawang kripto di pasaran ketika itu lebih kepada network effects dan juga cara projek kripto itu menambah keyakinan dan kepercayaan pelabur. Persamaan pasaran kripto dan era dotcom adalah pada pelaburan yang masuk berdasarkan keyakinan dan kepercayaan kepada potensi sesebuah projek kripto atau teknologi blockchain itu sendiri.

Adakah itu menandakan pasaran kripto adalah gelembung seperti era dotcom?

Sebelum ini penulis sudah menceritakan tentang sejarah gelembung pasaran seperti Tulip Mania, era dotcom dan juga house market bubble. Penulis menyimpulkan sifat-sifat pasaran kripto menyamai gelembung pasaran. Namun begitu, pasaran kripto yang sudah berumur lebih 5 tahun ini telah melalui beberapa kitaran pembetulan dan walaupun dengan harga Bitcoin yang mencecah hampir $20,000 di penghujung 2017, lebih dari setahun kemudian, pasaran kripto masih lagi wujud malah boleh dikatakan akan berkembang dengan lebih pesat dengan kemasukan pelabur institusi.

Adakah ini jaminan pasaran kripto tidak akan jatuh?

Tidak. Tetapi penulis yakin banyak pihak yang mempunyai kepentingan dalam memastikan pasaran kripto ini tidak jatuh dengan teruk dan jika mereka menguasai pasaran kripto (memandangkan Bitcoin mendominasi pasaran dan sesiapa yang memiliki Bitcoin paling banyak, mereka boleh manipulasi pasaran kripto), pasaran kripto masih boleh bertahan walaupun harga jatuh mendadak.

Contoh terbaik: Pasaran kripto selepas Disember 2017.

Berbalik kepada persoalan asal artikel ini: Adakah kripto akan bertahan jika pasaran kripto hancur?

Katakanlah pasaran kripto menurun secara mendadak dan hampir semua matawang kripto jatuh ke kosong, adakah kripto akan bertahan? Jawapannya ya.

Kenapa? Satu sebab yang utama adalah network effect.

Network effect adalah fenomena di mana rangkaian pengguna yang bertambah akan meningkatkan nilai sesuatu. Dalam kes matawang kripto, selagi terdapat sebilangan orang yang percaya dan ingin menggunakan matawang kripto, lambat laun nilai matawang kripto itu akan naik kembali.

Dan inilah yang dikatakan oleh ramai penganalisa bahawa “Bitcoin tidak akan jatuh ke kosong”. Selagi masih ada pengguna Bitcoin yang ingin menggunakannya kerana teknologi blockchain di belakangnya ataupun mempercayai matlamat Bitcoin, selagi itu Bitcoin akan bernilai buat mereka ini. Jika kita berfikir secara logik, itu adalah sejarah Bitcoin, bukan? Daripada sesuatu yang bernilai kurang dari $1, apabila semakin ramai yang memilikinya dan mula menggunakannya, nilai Bitcoin itu bertambah.

Kesimpulan

Seperti roda kehidupan, apa yang di atas, pasti akan berada di bawah suatu hari nanti. Bezanya adalah sama ada ia akan naik semula atau berterusan di bawah. Era dotcom membuktikan bahawa network effects tidak membawa nilai kepada syarikat dari segi memperoleh keuntungan, tetapi adakah mungkin kali ini network effects akan menjamin nilai matawang kripto?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.