Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bagaimana Pelabur Institusi Mengubah Pasaran Kripto?

Evolusi ekosistem matawang kripto berlaku apabila pelabur institusi mula melangkah masuk ke pasaran kripto. Jika anda peka dengan pasaran saham atau komoditi yang bernilai bertrilion dollar, anda pasti akan gembira dengan kemasukan pelabur institusi kerana ia menunjukkan bahawa pasaran kripto cukup ‘matang’ untuk golongan ini dan di masa akan datang, kehadiran mereka akan membawa kestabilan dan perkembangan yang konsisten dalam jangka masa yang panjang.

Kenapa pelabur institusi mengambil masa yang lama?

Persoalan yang selalu ditanya adalah mengapa pelabur institusi ragu-ragu untuk masuk ke dalam pasaran kripto yang terbukti memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pelabur. Ada beberapa sebab mengapa pelabur institusi teragak-agak untuk menyertai pasaran kripto.

Oh ya, siapa pelabur institusi itu?

Pelabur institusi adalah organisasi atau entiti yang berdagang sekuriti dalam jumlah yang sangat besar sama ada dari segi kuantiti atau nilai dalam dollar, sehingga mereka mendapat preferential treatment atau hanya perlu membayar komisyen yang rendah. Kebiasaannya terdapat enam jenis pelabur institusi: bank komersial, endowment fund, dana pencen, dana bersama, hedge fund dan juga syarikat insurans.

Dalam erti kata lain, merekalah yang membawa ong besar masuk ke dalam pasaran.

Jadi, logiklah jika mereka ragu-ragu dengan pasaran kripto, betul tak? Secara asasnya, kripto adalah satu kelas aset baru yang tidak diketahui oleh pelabur institusi. Pasaran yang tidak dikawal selia, tiada peraturan jelas, dan mempunyai jumlah projek berpotensi dan juga projek sampah yang sama rata hanya akan membawa risiko yang tidak berbaloi kepada pelabur institusi ini, lebih-lebih lagi memandangkan mereka mempunyai banyak stakeholder.

Bitcoin Exchange CEX.IO

Reputasi pasaran matawang digital yang lebih negatif daripada positif kerana ketidakstabilan harga, penipuan dan ICO gagal yang menyebabkan kerugian besar juga adalah faktor pelabur institusi tidak mengendahkan pasaran kripto. Hakikatnya, risiko pasaran kripto yang tinggi untuk pulangan untung yang tidak menentu ditambah lagi dengan ketiadaan kawal selia menjadi penghalang besar pelabur institusi.

Era kripto baru

Bermula dengan pelancaran kontrak Bitcoin futures oleh CME dan CBOE Global Markets, secara perlahan-lahan pasaran kripto mendapat perhatian pelabur institusi. Sejak dari itu, banyak berita melaporkan pelaburan ratusan ribu dollar oleh hedge fund atau endowment fund.

Bagi peminat kripto, ia adalah tanda besar pasaran kripto sudah ‘matang’ dan stabil dan kita boleh lihat daripada pergerakan harga Bitcoin dan matawang digital yang lain sepanjang tahun 2018. Walaupun kita boleh harga jatuh mendadak selepas pencapaian rekod tertinggi dii penghujung tahun 2017, pergerakan harga sepanjang keadaan pasaran menurun yang dilihat agak konsisten memberi keyakinan kepada pelabur institusi bahawa hype yang mengelilingi pasaran kripto sebelum itu semakin berkurang.

Bagi pembangun matawang digital, kehadiran pelabur institusi menambah legitimasi industri kripto dan penerimaan terhadap kripto memberi keyakinan kepada mereka untuk membangunkan projek kripto dengan jangkaan permintaan yang tinggi. Pelombong pula mengambil peluang ini untuk menjadualkan penjualan OTC secara berkala. Malah ada yang sudah menubuhkan perkhidmatan pencairan mereka sendiri untuk menampung permintaan perdagangan yang dianggarkan bernilai dari $250,000 ke $30 bilion.

Dan yang penting, pelabur biasa menganggap kedatangan tokoh pasaran kapital seperti Morgan Stanley dan JPMorgan dalam pasaran kripto sesuatu yang sangat signifikan. Setiap perjanjian, kerjasama, penjualan atau pelaburan institusi besar akan menjadi berita utama yang menarik perhatian dunia mainstream. Kesannya, lebih ramai yang percaya pasaran kripto bukan hanya gelembung pasaran yang menanti untuk pecah, penerimaan orang ramai terhadap kripto semakin meningkat dan penggunaan kripto semakin meluas.

Kawal selia

Sudah tentu dengan kedatangan pelabur institusi, peraturan yang jelas dan pengawalseliaan yang sesuai perlu diimplementasi untuk melindungi kepentingan pelabur. Tahun yang lalu, lebih banyak negara yang mula mengorak langkah ke hadapan untuk merangka undang-undang berkenaan matawang kripto atau aset digital.

Kita juga sudah membaca tentang permohonan Bitcoin ETF, atau exchange-traded fund, iaitu antara satu instrumen pelaburan dalam pasaran kapital. Permohonan seperti ini menunjukkan pasaran kripto sudah melalui evolusi jual beli kripto kepada perdagangan instrumen pelaburan yang menyerupai pasaran kapital lain seperti saham, komoditi, emas, sekuriti dan lain-lain. Perdagangan di pasaran kripto sudah menjadi lebih rumit, maka terdapat keperluan pengawalseliaan yang sesuai untuk memastikan pasaran masih berjalan dengan lancar.

Tambahan lagi, langkah ini juga disokong oleh majoriti pelabur kripto. Malah, terdapat negara yang meluluskan organisasi self-regulatory seperti Japan Virtual Currency Exchange yang menunjukkan pemain dalam ekosistem kripto serius tentang penyediaan peraturan yang jelas dan kestabilan pasaran yang dicari oleh pelabur institusi.

Perkembangan stablecoin dan juga token sekuriti juga antara perubahan yang di bawa oleh pelabur institusi kepada pasaran kripto. Memandangkan kedua-duanya disandarkan pada suatu aset di dunia realiti, mereka mempunyai nilai yang boleh diukur oleh pelabur. Token sekuriti yang menyerupai saham menjadikan ia lebih digemari pelabur dari matawang digital lain.

Kesimpulan

Banyak perubahan signifikan yang dibawa oleh pelabur institusi dan majoritinya adalah perubahan positif. Pasaran kripto yang membuktikan legitimasinya dalam kalangan pelabur institusi akan membuka pintu yang lebih luas untuk pelabur biasa masuk. Hakikatnya, tanpa aliran masuk wang yang besar dari pelabur institusi, perkembangan kripto mungkin lebih perlahan dan kita tidak akan tiba dimana kita berada kini pada waktu yang singkat.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads