Default – Above Header Ads

Bagaimana Token Sekuriti boleh Mengubah Pasaran Kripto dan Apa Halangannya

Dalam dua artikel sebelum ini kita sudah berbincang tentang apa itu token sekuriti dan apakah isu apabila kerajaan Malaysia klasifikasi matawang kripto sebagai sekuriti. Kali ini kita akan berbincang lebih lanjut tentang impak token sekuriti kepada pasaran kripto dan halangan kepadanya.

Pasaran Kripto Sedia Ada

Apa yang kita tahu adalah banyak matawang kripto dalam pasaran kripto mendapat nilai mereka daripada utiliti yang ditawarkan kepada pengguna. Sebahagian lain adalah daripada network effects yang akan dibincangkan dalam artikel lain. Segelintir kecil adalah skim ponzi dan skim penipuan yang indah khabar dari rupa. Dan segelintir kecil lagi adalah token sekuriti yang kini semakin menempa nama dalam dunia kripto.

Perbezaan utama token utiliti dan sekuriti (bukan token sekuriti) adalah ia tidak menjana pulangan yang kemudiannya akan dibahagikan kepada pemegangnya melalui dividen atau pembelian semula saham. Dalam pasaran kripto, pulangan daripada matawang kripto dijana oleh bekalan yang terhad dan permintaan yang meningkat.

Jika kita lihat contoh seperti tiket ke konsert, barangan bernilai yang dilelong, koleksi seperti setem atau syiling lama, semuanya mempunyai nilai yang tidak terhingga kerana cirinya yang terhad. Namun, semua aset ini tidak dianggap sebagai sekuriti.

Impak Token Sekuriti kepada Pasaran Kripto

Dalam artikel sebelum ini, penulis bercakap tentang Howey Test, iaitu ujian standard untuk menentukan sama ada sesuatu aset itu adalah sekuriti atau tidak. Jadi kita boleh simpulkan bahawa kebanyakan matawang kripto dalam pasaran bukanlah sekuriti, melainkan pembangun disebaliknya menjanjikan pulangan berlipat kali ganda daripada pembelian itu.

Perubahan pertama dalam pasaran kripto adalah dari segi kawal selia. Token sekuriti membentuk satu segmen baru pasaran kripto yang berada di bawah kawal selia penguatkuasa. Perdagangan token sekuriti akan membawa masuk peraturan seperti KYC/AML, penapisan, penilaian dan pemeriksaan.

Jika kini hanya bursa pertukaran yang melaksanakan polisi KYC/AML jika ada, kini syarikat dibelakang token sekuriti itu perlu memastikan setiap pelabur mematuhi polisi itu. Setiap projek token sekuriti akan dinilai dan diluluskan oleh penguatkuasa sebelum ia dilancarkan kepada orang awam. Anda pernah dengar tentang Securities Token Offering (STO)? Itu adalah panggilan baru untuk penjualan token sekuriti, yang menggantikan ICO. Dalam artikel akan datang kita akan meneroka perbezaan antara kedua-duanya.

Perubahan seterusnya adalah dari segi kemasukan pelabur. Kebanyakan pelabur sedia ada adalah dalam kalangan individu kerana akses kepada pasaran kripto lebih mudah dan terbuka daripada pasaran saham (walaupun kini pelabur biasa boleh membeli saham yang ditokenkan). Namun begitu, bagi pelabur institusi, ketidakstabilan dan kebolehpercayaan yang sedikit terhadap pasaran kripto yang tidak dikawal selia menyebabkan mereka tidak mahu mengambil risiko melabur dalam pasaran itu.

Campur tangan penguatkuasa memberi jaminan kepada pelabur institusi kerana mereka yakin dengan adanya kawal selia, aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan pasaran akan dapat dikawal. Contohnya, skim piramid dan penipuan, manipulasi pasaran melalui skim pump and dump, konflik kepentingan dan lain-lain. Penguatkuasa juga boleh menapis projek-projek ICO yang tidak mematuhi peraturan atau standard yang ditetapkan.

Halangan untuk Token Sekuriti Kripto

Senang cerita, pasaran kripto akan lebih menyerupai pasaran sekuriti pada hari ini yang berada di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti. Bagi ramai pelabur institusi, ini adalah sesuatu yang mereka merasa selesa dan sudah tentu lebih yakin untuk membuat pelaburan dalamnya. Namun begitu, matawang kripto berbeza dengan sekuriti seperti saham, bon dan sebagainya. Masih terdapat banyak halangan untuk token sekuriti kripto sebelum ia boleh diterima sepenuhnya.

Pemindahan token

Kita tahu untuk sekuriti seperti saham, kita perlu melalui polisi KYC untuk membeli dan menjual saham itu dan antara faktor yang dipertimbangkan adalah umur, tempat tinggal, pendapatan dan sebagainya. Memandangkan pasaran sekuriti dikawal oleh data yang berpusat, setiap transaksi yang berlaku ditapis dan dinilai sebelum ianya diluluskan oleh kuasa pusat. Bagaimana untuk replikasi proses itu dalam satu sistem yang desentralisasi, terbuka dan tidak memerlukan kawalan pusat? Kita semua tahu proses pengesahan dijalankan dalam rangkaian oleh pelombong, jadi bagaimana untuk menyiarkan peraturan mengenai sesuatu transaksi dan memastikan mereka patuh kepada peraturan itu?

Implikasi Undang-undang

Kawal selia datang dengan pelbagai kebaikan kepada pelabur – terutama dari segi perlindungan. Namun begitu, peraturan yang sedia ada untuk kripto masih lagi tidak menyeluruh dan majoritinya adalah untuk mendapatkan lesen untuk beroperasi. Apakah safeguard yang diletakkan dalam pasaran untuk memastikan ianya berjalan dengan lancar?

Dalam pasaran kripto kini yang tidak dikawal selia, rata-rata pelabur tahu bahawa mereka menanggung risiko 100% jika nilai matawang kripto yang mereka pegang jatuh secara mendadak. Dan jika mereka menyimpan matawang kripto di bursa pertukaran yang digodam, ia adalah antara mereka dan bursa pertukaran kripto itu. Jika kita lihat pasaran sekuriti, peraturan dan tanggungjawab yang jelas telah ditetapkan. Adakah ia boleh direplikasi dalam token sekuriti kripto?

Ini adalah kerana imbangan kebebasan dan juga kepastian. Matlamat kripto adalah untuk memberi kebebasan kepada pelabur tetapi untuk mengembangkan pasaran kripto, pelabur ingin jaminan pelaburan mereka akan dilindung.

Syarikat yang menawarkan token sekuriti kripto perlu melaporkan aktiviti mereka kepada penguatkuasa, tetapi apa yang perlu dilaporkan? Dalam pasaran sekuriti, laporan perlu dihantar setiap suku tahun dan mengikut standard yang ditetapkan. Persoalannya sekali lagi, bolehkah ini direplikasi dalam token sekuriti kripto? Kebanyakan syarikat dalam pasaran kripto adalah startup dan bukannya syarikat yang sudah lama ditubuhkan, jadi adakah prosedur rumit dalam pasaran sekuriti sesuai untuk mereka?

Kesimpulan

Kesimpulannya, masih terlalu banyak persoalan yang muncul daripada token sekuriti kripto. Persoalan paling besar adalah jika kita mahu replika struktur pasaran sekuriti untuk token sekuriti kripto, apa gunanya kita mencipta satu pasaran baru untuk token sekuriti kripto? Lebih mudah jika kita digitalisasi pasaran sekuriti yang sedia ada, betul tak?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads