Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Game of Crypto-Thrones

Episod finale Game of Thrones baru sahaja berakhir dan dengar cerita ramai yang tidak puas hati dengan musim terakhir siri popular ini. Siapa di sini peminat kipas-susah-mati Game of Thrones? Kalau anda bukan peminat Game of Thrones, boleh skip sahaja artikel ini.

Penulis bukanlah peminat tegar Game of Thrones, tetapi penulis ikuti jugaklah dan tahu sedikit sebanyak tentang watak-watak dalam siri Game of Thrones. Dan memandangkan demam Game of Thrones masih lagi berpanjangan kerana ketidakpuasan hati peminat kipas-susah-matinya dengan musim terakhir ini, banyak juga penulis terjumpa artikel yang cuba memadankan matawang kripto dengan watak-watak siri Game of Thrones tersebut.

Maka dengan itu wujudlah siri baru Game of Crypto-Thrones! Dari bacaan penulis dan bayangan penulis sendiri tentang pasaran kripto dalam alam Game of Thrones, inilah hasilnya.

Bitcoin/Satoshi Nakamoto – Ned Stark

Setuju tak? Walaupun Ned Stark mati di awal siri Game of Thrones, House of Stark kekal sebagai pemain utama yang mendominasi siri Game of Thrones. Satoshi Nakamoto, seperti Ned Stark telah meninggalkan legasinya sebagai matawang kripto yang mempunyai legitimasi kepada takhta kripto.

 

 

Ethereum – Daenerys Targaryen

Ethereum berteraskan idea tentang kebebasan dari kuasa pusat dan desentralisasi. Seperti Daenerys, Ethereum berpegang kepada prinsip “untuk orang ramai” dan smart contract, produk Ethereum mencapai matlamat itu dan membuang keperluan pihak ketiga sebagai perantara. Tambahan lagi, seperti Daenerys yang bersikap pragmatik, Ethereum juga telah membina perikatan strategik dengan pemain-pemain besar dalam industri.

Litecoin – Jon Snow

Litecoin dicipta daripada blockchain Bitcoin melalui soft fork. Seperti Jon, Litecoin naik daripada tiada apa-apa, bersaing dengan beribu-ribu kripto lain dan bertahan sepanjang musim sejuk kripto (pasaran bear) dan kini menempatkan dirinya sebagai pemain paling utama dalam dunia kripto.

Seperti mana Jon hampir mati beberapa kali, Litecoin juga pernah selamat daripada kejatuhan teruknya pada bulan September 2017, kepada harganya pada mas kini. Litecoin juga dianggap sebagai Perak kepada Emas Bitcoin, dalam erti kata lain, orang kanan Bitcoin.

Bitcoin Cash/Craig Wright – Cersei Lannister

Dalam dunia kripto, musuh paling ketat Bitcoin sudah tentu adalah Bitcoin Cash. Dan kini daripada Bitcoin Cash, lahir satu lagi musuh baru iaitu Craig Wright. Kedua-duanya seperti Cersei Lannister dalam Game of Thrones, yang mempunyai satu matlamat: kuasa takhta.

Seperti Cersei, kedua-duanya sangat bercita-cita tinggi dan menggunakan pelbagai strategi untuk berada di kedudukan teratas pasaran kripto. Bitcoin Cash dahulu pernah dituduh menggunakan taktik kotor untuk pump harga BCH di pasaran. Dan yang terbaru adalah Craig Wright yang kononnya mendakwa dirinya sebagai Satoshi Nakamoto sehingga sanggup mendaftar di Pejabat Hak Cipta AS.

XRP – Tyrion Lannister

Dalam Game of Thrones, watak Tyrion Lannister adalah sangat pintar dan licik. Pada awalnya, nampak seperti motivasi Tyrion menghala ke arah kejatuhan takhta ke tangan House of Lannister, begitu juga dengan XRP yang dianggap sebagai berlawan dengan prinsip desentralisasi matawang kripto. Dan seperti Tyrion, XRP berada di sebalik bayang-bayang Bitcoin dan Ethereum.

XRP juga mempunyai strategi yang baik untuk menawan sebahagian daripada pasaran kripto dengan menawarkan perhidmatannya kepada bank dan institusi kewangan. Ia telah menjadi sumber kecairan dan perkhidmatan pembayaran merentasi sempadan yang boleh dipercayai oleh entiti lain.

Monero – Arya Stark

Dalam Game of Thrones, watak Arya Stark walaupun utama tidak begitu menonjol seperti protagonis lain. Seperti Arya Stark, prinsip Monero yang menekankan tentang privasi adalah “Faceless” dan merupakan matawang kripto yang menolak idea transaksi di blockchain perlu dipaparkan kepada orang ramai.

Facebook – Petyr “Littlefinger” Baelish

Selain daripada matawang kripto, terdapat pemain-pemain lain dalam ekosistem kripto yang menyerupai watak Game of Thrones. Contohnya, Facebook yang seperti Petyr “Littlefinger” Baelish. Seperti Petyr yang berbaik dengan pelbagai pihak (sama ada baik mahupun jahat), Facebook juga sering bertukar prinsip di mana ia rasa paling menguntungkan, bagaikan lalang yang ditiup angin.

Pada awalnya ia menentang kripto dan melarang segala jenis iklan berkaitan blockchain dan kripto daripada platformnya, namun kemudian, merasakan ia boleh mendapat lebih banyak untung dengan menyertai dunia kripto, mengumumkan tokennya sendiri dan kononnya mengangkat larangan ke atas iklan kripto. Seperti watak Petyr, Facebook akan melakukan apa sahaja yang menguntungkan dirinya sendiri.

Penguatkuasa – House of Lannister

Apa yang penguatkuasa inginkan adalah kawalan terhadap pasaran kripto, walaupun sehingga kini ia masih belum boleh mencapai kawal selia sepenuhnya. Seperti House of Lannister, mereka mendakwa mereka menjaga kepentingan rakyat dan cuba untuk mengawal selia ataupun melarang matawang kripto, ICO, dan sebagainya.

Hanya segelintir sahaja yang menerima keperluan kawal selia dalam pasaran kripto, walaupun ramai yang lebih inginkan self-regulatory organisation yang terdiri daripada pakar industri daripada menyerahkan kawalan itu kepada penguatkuasa. Namun begitu, banyak penguatkuasa negara yang cuba menahan rakyatnya daripada menyertai dunia kripto, dan secara senyap, orang ramai memberontak terhadap tindakan penguatkuasa.

Pelabur besar (whales) : Iron Bank of Braavos

Dalam siri Game of Thrones, Iron Bank of Braavos adalah institusi yang paling berkuasa yang mempunyai klien yang terdiri daripada King of the Andals and the First Men yang memerintah ketujuh-tujuh kerajaan. Seperti Iron Bank of Braavos, pelabur besar atau whales dalam pasaran kripto adalah mereka yang menguasai pasaran kripto dan boleh memanipulasinya bila-bila sahaja.

Dan kini, dengan kemasukan pelabur-pelabur institusi, spekulasi tentang manipulasi pasaran yang berlaku dalam pasaran kripto lebih hampir kepada kebenaran.

Scammer/Hacker – White Walkers

Dan akhir sekali, golongan yang mengambil kesempatan terhadap dunia kripto yang masih lagi baru dan belum matang, iaitu scammer dan hacker, adalah common enemy dunia matawang kripto. Seperti White Walkers, mereka adalah pemain jahat yang ingin menghancurkan dunia matawang kripto. Mereka telah menipu, mencuri, dan menggodam pengguna matawang kripto dan menyebabkan kehilangan berbillion dolar dalam matawang kripto.

USDT – Varys?

Yang ni penulis letak sahaja tetapi tidak pasti sama ada berpadanan atau tidak watak Varys dengan USDT ni. Varys dianggap sebagai “Master Manipulator” dalam Game of Thrones. Di luaran nampak seperti tenang, mesra dan patuh tetapi disebaliknya Varys ini sentiasa merancang sesuatu.

Seperti Varys, USDT dipercayai oleh ramai pelabur dan mereka bergantung kepada USDT untuk memastikan mereka tidak rugi dalam pelaburan mereka. Tetapi disebalik kejayaan USDT yang dianggap sebagai stablecoin paling dominan dan penting dalam pasaran kripto, Tether didakwa memanipulasi harga Bitcoin melalui pengeluaran USDT baru dan juga dituduh menggunakan dana klien dan pelabur lain di belakang mereka.

USDT, seperti Varys menyatakan ia bukan ingin mengaburi pelabur ataupun mengaut keuntungan, tetapi ianya adalah untuk melindungi pelaburan pelabur. Sama ada dakwaan terhadap Tether adalah betul atau tidak, setakat ini ia masih spekulasi.

Apa pendapat anda? Penulis berharap anda terhibur dengan Game of Thrones edisi matawang kripto ini. Semua ini hanyalah pendapat penulis dan hiburan semata-mata ye, jangan anggap sebagai nasihat pelaburan pulak. Anda rasa ada matawang kripto atau pemain lain yang menyamai watak dalam Game of Thrones?

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads