Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Pasaran Kripto Contoh Terbaik Sistem Free Market Economy?

Apa itu Free Market?

Pernah dengar tentang Adam Smith? Beliau adalah seorang ahli filosofi pada abad ke-18 yang lebih dikenali dengan gelaran Father of Modern Economics dan beliau adalah seorang yang menyokong kuat polisi ekonomi berbentuk laissez-faire, atau sebuah ekonomi tanpa campur tangan anasir luar termasuk polisi-polisi dan pengawasan kerajaan atau badan-badan pengawalan lain. Boleh dikatakan Adam Smith yang melahirkan istilah free market economy.

Dalam buku beliau, “The Theory of Moral Sentiments”, Adam Smith bercakap tentang konsep invisible hand, di mana elemen-elemen seperti persaingan, bekalan dan permintaan, dan kepentingan diri sendiri akan memastikan ekosistem free market terkawal dan lebih efisien. Dalam sistem free economy, pembeli dan penjual membuat transaksi antara mereka tanpa pengaruh luar, dan kedua-duanya akan bersetuju (willingly agree) terhadapa harga sesuatu barangan atau perkhidmatan. Contohnya, penjual ingin menjual sesuatu dengan harga RM5 dan seorang pembeli ingin membeli dengan harga RM3. Transaksi akan berlaku apabila kedua-duanya bersetuju ke atas satu harga.

Dalam skala yang lebih besar, menurut Adam Smith dalam bukunya, harga pasaran sesuatu barangan bergantung kepada jumlah bekalan yang dibawa masuk dan juga permintaan terhadapnya. Ini adalah prinsip paling asas dalam ekonomi, iaitu teori bekalan dan permintaan (supply and demand) yang diperkenalkan Alfred Marshall, seorang skolar dalam neoclassical economics. Dalam free market economy, harga dan kuantiti barangan akan diselaraskan mengikut keadaan ekonomi untuk mencapai ekuilibrium dan peruntukan sumber yang lebih terurus dan efektif.

Persamaan free market economy dan ekonomi matawang kripto

Pasaran matawang kripto adalah contoh terbaik sistem free market economy, dimana peruntukan sumber (dalam kes ini matawang kripto) ditentukan oleh bekalan matawang kripto dan juga permintaan terhadapnya. Semua proses dan transaksi yang berlaku dalam ekosistem ini berlaku tanpa kawal selia kerajaan. Pada masa yang sama, ciri-ciri teknologi Blockchain yang menggerakkan matawang kripto memberi satu dimensi baru kepada sistem free market economy yang sedia ada.

Setiap sistem ekonomi pasti ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan pasaran matawang kripto. Antara kebaikan ekonomi ini adalah:

Kebebasan ekonomi

Salah satu kebaikan yang jelas adalah sistem free market ini memberi kebebasan ekonomi kepada sesiapa sahaja, tidak kira syarikat besar, kecil, startup, sekumpulan pelajar tahun akhir di universiti,    asalkan wujud pembekal produk dan pembeli yang ingin membuat transaksi. Terdapat persaingan yang sihat kerana pasaran ini tidak di monopoli oleh satu syarikat.

Kuasa pengguna

Pengguna atau pelanggan pula mempunyai banyak pilihan dan pada masa yang sama mempunyai kuasa untuk menentukan produk yang mendapat permintaan yang tinggi. Pada masa yang sama persaingan dalam ekonomi ini memastikan harga matawang kripto yang ditawarkan adalah berpatutan untuk menarik lebih ramai pembeli.

Ketelusan

Ini adalah suatu elemen yang sangat penting dalam free market. Sebelum wujudnya teknologi Blockchain, agak sukar untuk memastikan ketelusan dalam pasaran. Langkah terbaik yang diambil adalah dengan self-regulation atau suatu badan yang dilantik oleh peserta pasaran itu sendiri untuk mengawasi pasaran tanpa perlu campur tangan kerajaan. Tetapi sudah tentu ianya tidak sempurna kerana elemen manusia. Dengan adanya teknologi Blockchain yang menawarkan lejar terbuka, pasaran matawang kripto lebih telus daripada pasaran free market lain.

Keburukan ekonomi ini pula adalah:

Pembaziran sumber

Pasaran bebas yang membolehkan sesiapa sahaja menyertainya boleh menyebabkan peruntukan sumber yang tidak efektif terutama dari segi bekalan yang tidak diperlukan. Lihat sahaja pasaran matawang kripto yang kini mempunyai lebih 1500 jenis matawang kripto berbeza dan lebih 40 peratus daripada jumlah itu boleh dikatakan redundant atau tidak mempunyai fungsi yang membawa kebaikan kepada pengguna.

Kualiti produk yang bercampur-aduk juga menyumbang kepada pembaziran dana ke dalam projek-projek yang tidak berkualiti tinggi. Lama-kelamaan sukar untuk membezakan projek yang berkualiti dengan yang tidak mempunyai masa depan.

Jenayah berleluasa

Dalam satu persekitaran yang mempunyai persaingan yang sengit, penjual produk perlu membuat apa sahaja untuk memastikan perniagaannya bertahan. Ini termasuklah menipu pengguna. Dan kebanyakan pengguna yang menyertai dunia matawang kripto kurang ilmu pengetahuan tentang matawang kripto, dan hanya melihat kepada keuntungan yang boleh diperoleh. Keadaan ini banyak menyumbang kepada pencipta matawang kripto mengambil kesempatan terhadap para pengguna.

Selain daripada itu, pasti akan ada pihak mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah kerana tiada akibat daripada aktiviti mereka. Penipuan, pencurian, penggubahan wang haram dan banyak lagi aktiviti jenayah lain berleluasa kerana tiada kawal selia dan penguatkuasaan.

Tetapi adakah pengawalseliaan kerajaan jawapannya?

Pada 6 Februari 2018, satu persidangan oleh U.S. Senate Committee on Banking, Housing and Urban Affairs, atau jawatankuasa perbankan, perumahan dan urusan perbandaran negara itu yang membincangkan tentang keperluan perangkaan undang-undang ke atas matawang kripto. Persidangan itu juga dihadiri oleh wakil daripada Commodity Futures Trading Commission (CFTC) dan Securities Exchange Commission (SEC) untuk memberi testimoni tentang topik-topik berkaitan seperti ketidakstabilan harga, pengawasan pasaran dan juga masalah ICO.

Persidangan ini merupakan satu lagi langkah ke arah penerimaan matawang kripto dan juga perangkaan undang-undang berkenaan matawang kripto. Sama ada langkah ini sesuatu yang baik atau buruk bergantung kepada sebelah garisan mana anda berdiri. Apa yang pasti, bagi mereka yang menentang kawal selia kerajaan ke atas matawang kripto pun, kenyataan daripada ketua SEC dan CFTC yang terbuka tentang penerimaan matawang kripto adalah sesuatu yang positif.

Sama seperti kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri Singapura yang mengatakan bahawa tiada sebab kukuh untuk melarang perdagangan matawang kripto, walaupun terdapat persoalan tentang usaha kawal selia, ia masih lebih baik daripada larangan sepenuhnya. Anda boleh membaca artikel ini tentang pros and cons kawal selia vs larangan : Bolehkah Kerajaan Mengawal Selia Bitcoin dan Matawang Kripto?

Satu isi yang menarik daripada persidangan adalah pertimbangan untuk self-regulation, di mana pasaran dikawal selia oleh satu badan yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia sesuatu industri atau profesion. Badan ini boleh ditubuhkan untuk menggantikan pengawasan kerajaan ataupun sebagai tambahan kawal selia kerajaan. Organisasi yang menjalankan self-regulation tidak semestinya berada di bawah penguasaan kerajaan mahupun mendapat kuasa daripada kerajaan.

Apa itu self-regulation?

Di Amerika Syarikat, kerajaan negara itu telah memberi kuasa kepada beberapa entiti untuk self-regulate, dan juga menyerahkan kuasa pengawasan entiti-entiti ini kepada SEC di bawah Akta Sekuriti 1933 dan Akta Pertukaran Sekuriti 1934. Di Malaysia, badan-badan self-regulatory termasuk Federation of Investment Managers Malaysia dan Bursa Malaysia di bawah pengawasan Securities Commission. Negara-negara lain seluruh dunia juga mempunyai badan self-regulatory sendiri yang mempunyai fungsi berbeza mengikut keperluan negara masing-masing.

Sistem self-regulatory ini menggalakkan kawal selia di dalam sesuatu kumpulan untuk memastikan ekosistem kekal dalam keadaan yang efisien dan setiap ahli mematuhi peraturan sosial yang telah ditetapkan, tanpa memerlukan campur tangan kerajaan.

Ini mungkin adalah penyelesaian yang lebih mudah dihadam orang ramai berbanding pengawalseliaan kerajaan. Kerajaan sepatutnya menjadi sesuatu entiti yang menjaga kepentingan rakyat, tetapi masalah utama di dalam dunia sekarang adalah kebanyakan kerajaan ingin menjaga kepentingan sendiri lebih daripada rakyat. Ingat, matawang kripto wujud pun kerana rakyat yang sudah hilang percaya kepada kerajaan.

Seperti biasa, contoh terbaik implementasi self-regulatory organisation (SRO) untuk mengawal selia sendiri pasaran kripto dan menetapkan garis panduan untuk diikuti adalah negara Jepun. Pada Disember 2018, Badan Penguatkuasa Kewangan Jepun (FSA) telah meluluskan badan self-regulatory yang akan mengawal selia aktiviti 16 bursa pertukaran kripto yang berdaftar di bawah badan itu. Japan Virtual Currency Exchange Association (JVCEA) akan bekerja rapat dengan FSA Jepun untuk memastikan semua bursa pertukaran dalam badan itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kesimpulan

Free market economy sering dikaitkan dengan perkembangan ekonomi yang stabil, peningkatan dalam pentadbiran kerajaan yang lebih efektif dan berintegriti (kerana ketelusan menggalakkan keusahawanan yang lebih banyak) dan juga persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan.

 

Dalam erti kata lain, memang benar pengawasan pasaran matawang kripto diperlukan untuk memastikan keseluruhan ekosistem dilindungi daripada anasir-anasir luar. Tetapi seperti pasaran kewangan yang dikawal selia badan bukan kerajaan, mungkin itu adalah kompromi terbaik kerajaan.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.