Default – Above Header Ads

Bagaimana Pencipta Stablecoin Membuat Duit?

Siapa tidak tahu tentang stablecoin? Stablecoin adalah matawang kripto yang digunakan untuk mengekalkan kestabilan nilai matawang kripto lain dengan cara menjadi base value atau nilai asas, sama seperti bagaimana USD digunakan sebagai matawang rujukan untuk pertukaran antara semua matawang lain. Malah, sebelum wujudnya stablecoin kebanyakan matawang kripto dinyatakan dalam USD ataupun Bitcoin.

Stablecoin boleh dikatakan sebagai pengganti fiat dalam pasaran kripto dan penulis pernah membincangkan sama ada stablecoin lebih efektif ataupun tidak daripada matawang fiat. Dalam pasaran kripto, pedagang akan menukarkan matawang kripto kepada stablecoin sebagai taktik stop-loss atau mengawal kerugian daripada ketidakstabilan nilai matawang kripto. Kebanyakkan stablecoin disandarkan dengan nisbah 1:1 kepada USD dan walaupun sepatutnya stablecoin disandarkan kepada jumlah sebenar USD dalam simpanan, terdapat banyak kontroversi di mana stablecoin tidak mempunyai sandaran kepada USD sebenar.

Tetapi itu cerita lain.

Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana pencipta stablecoin mendapat keuntungan? Kita tahu jika matawang kripto, jawapannya adalah pada penjualan matawang kripto itu (melalui ICO, STO, IEO) dan nilai matawang kripto itu sendiri. Kebanyakan pencipta matawang kripto akan menyimpan sejumlah besar matawang kripto itu, dan semakin tinggi nilainya, semakin banyak keuntungan yang diperolehi.

Bagaimana pula dengan stablecoin? Persoalannya, mengapa ada orang ingin mencipta klon kepada matawang fiat yang stabil dalam bentuk digital? Siapa yang akan membeli token yang tidak akan naik harganya kerana nilainya bersandarkan matawang fiat?

Ekonomi Stablecoin

Sebenarnya terdapat beberapa cara untuk pencipta stablecoin mendapat keuntungan. Dalam teori, menawarkan stablecoin tidak mendatangkan keuntungan kepada pencipta. Tetapi antara cara untuk pencipta stablecoin tidak rugi adalah dengan menjalankan fractional reserve banking seperti mana-mana bank tradisional.

Fractional Reserve Banking

Penulis pernah membincangkan tentang aktiviti ini dalam artikel tentang perbankan moden, tetapi secara ringkasnya ia adalah di mana tidak semua stablecoin disandarkan kepada USD dan penciptanya mempunyai tanggapan bahawa tidak semua orang akan menukarkan stablecoin kepada USD pada masa yang sama, seperti bagaimana bank menganggap tidak semua orang akan mengeluarkan simpanan mereka pada masa yang sama.

Dengan tanggapan ini, pencipta stablecoin boleh menggunakan simpanan stablecoin mereka untuk membeli matawang kripto lain seperti Bitcoin dan mendapat keuntungan daripada perdagangan itu. Ini adalah antara sebab kontroversi stablecoin seperti Tether muncul, di mana tiada ketelusan tentang simpanan USD yang menjadi sandaran USDT.

Faedah

Matawang fiat yang menjadi sandaran kepada stablecoin akan disimpan dalam bank dan simpanan ini akan menerima faedah. Menurut laporan dari Bloomberg kenyataan bank Tether menunjukkan syarikat itu telah menerima faedah bank atas simpanan sebanyak $6.6 juta tahun yang lalu.

Yuran transaksi

Beberapa pencipta stablecoin telah membangunkan kemudahan escrow dan platform pertukaran untuk menukar matawang fiat kepada stablecoin secara langsung, dan banyak yang mengenakan yuran transaksi di bursa pertukaran untuk setiap transaksi matawang kripto kepada stablecoin.

Exchange spread

Exchange spread, atau bid-ask spread merujuk kepada perbezaan antara harga bid (jual) dan ask (beli) untuk pasangan matawang kripto. Dalam kes ini, pencipta stablecoin boleh mendapat keuntungan daripada pasangan stablecoin/fiat atau stablecoin/kripto.

Pencetakan wang baru

Bagi stablecoin yang tidak mempunyai sandaran atau kolateral USD, ia adalah umpama pencetakan wang baru dalam bentuk matawang kripto. Walaupun dakwaan stablecoin tanpa kolateral masih tidak disahkan sepenuhnya, jika ia adalah model perniagaan yang digunakan oleh pencipta stablecoin, ia bermakna sangat mudah untuk pencipta stablecoin ini mendapat keuntungan berlipat kali ganda daripada penjualan stablecoin.

Kesimpulan

Stablecoin sudah menjadi elemen yang penting dalam ekonomi matawang kripto. Kepentingannya dalam mengurangkan risiko kerugian dan sebagai penyelesaian masalah ketidakstabilan harga matawang digital melebihi matawang fiat seperti USD, pound, euro dan sebagainya. Namun begitu, ia bukanlah penyelesaian sempurna dan kerana itulah terdapat jumlah stablecoin yang semakin meningkat dalam pasaran. Semuanya bersaing untuk menjadi matawang kripto ‘stabil’ yang terbaik.

 

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.