Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apa itu Bot Perdagangan Kripto (Crypto Trading Bot)?

Satu perbezaan utama antara pasaran matawang kripto dengan pasaran saham adalah pasaran matawang tidak pernah ditutup. Di tambah dengan harga matawang kripto yang tidak menentu, kombinasi ini membuatkan ramai pelabur menghadapi tekanan yang tinggi untuk memperoleh keuntungan.

Bagi negara yang mempunyai jumlah perdagangan yang tinggi, penggunanya mungkin tidak begitu terpengaruh dengan keadaan pasaran yang tidak menentu. Namun begitu, ramai pengguna dari negara-negara kecil terpaksa bergantung kepada waktu di negara lain untuk mendapat keuntungan daripada perdagangan mereka.

Pasaran kripto yang tidak menentu inilah yang membuatkan bot perdagangan begitu popular dalam kalangan pelabur. Sama seperti pasaran kripto, bot perdagangan tidak perlu tidur dan membolehkan pelabur menjaga pelaburan mereka setiap waktu. Dan jika bot itu diprogram dengan baik dan tepat, urusan perdagangan boleh dijalankan dengan cepat dan lancar berbanding jika ianya dibuat secara manual.

Apa itu bot?

Jika dahulu robot yang dicipta dijangka akan menggantikan manusia dalam melakukan urusan harian yang rutin dan tidak berubah, kini bot pula menjanjikan pendapatan yang konsisten melalui perdagangan dalam pasaran matawang kripto. Bot perdagangan adalah program komputer yang menggunakan pelbagai indikator dan input kod untuk menganalisa trend pasaran dan daripada itu, menjalankan perdagangan.

Kebiasaannya bot perdagangan akan menganalisa jumlah perdagangan, order, harga dan juga masa perdagangan dan membuat keputusan untuk meletak buy atau sell order berdasarkan analisa tersebut. Dalam pasaran kewangan tradisional seperti pasaran ekuiti, komoditi dan matawang, bot sudah digunakan oleh syarikat-syarikat besar tetapi bot perdagangan mula diguna secara persendirian dalam pasaran matawang asing.

Terdapat beberapa jenis bot perdagangan yang digunakan dalam pasaran matawang kripto. Salah satunya adalah bot arbitrage yang menganalisa perbezaan harga dalam platform pertukaran yang berbeza. Satu lagi jenis bot perdagangan adalah market making bot. Dalam strategi ini, bot perdagangan diprogram untuk membuat buy dan sell order dalam beberapa platform pertukaran  matawang kripto yang berbeza. Dan apabila harga matawang kripto jatuh, bot itu akan akan meletakkan limit order secara otomatik untuk mendapatkan keuntungan.

Adakah bot perdagangan menguntungkan?

Bot perdagangan menjalankan perdagangan matawang kripto melalui analisa pasaran matawang kripto. Dalam pasaran yang ideal dan dikawal selia seperti pasaran tradisional, analisa yang dibuat oleh bot perdagangan selalunya tepat dan mendatangkan keuntungan. Namun begitu, keadaan pasaran matawang kripto yang tidak dikawal selia menyebabkan harga matawang kripto sensitif terhadap manipulasi dan juga faktor luaran. Contohnya, berita tentang larangan kerajaan boleh menyebabkan harga Bitcoin jatuh teruk, ataupun berita tentang kerjasama dengan syarikat besar pula akan menyebabkan harga matawang kripto melonjak naik.

Semua ini tidak boleh atau sangat sukar untuk diprogram dalam bot perdagangan. Tambahan lagi, untuk menjalankan bot perdagangan anda perlu mempunyai simpanan matawang kripto yang signifikan. Jika anda dapat program bot perdagangan yang baik, terdapat banyak kelebihan yang anda perolehi, contohnya interaksi berterusan dengan pasaran, dan juga keputusan perdagangan yang logik dan rasional tanpa pengaruh emosi.

Kebanyakan bot perdagangan menggunakan EMA atau exponential moving average untuk mula menganalisa pasaran. EMA menjejaki harga pasaran untuk tempoh masa yang sudah ditetapkan, dan bot boleh diprogram untuk membuat keputusan berdasarkan analisa tersebut. Namun begitu, risiko utama strategi ini ialah pasaran matawang kripto yang sangat tidak menentu, membuatkan harga di masa lalu tidak boleh digunakan untuk menjangka harganya pada masa hadapan untuk jangka pendek.

Bot perdagangan matawang kripto paling popular

Kini terdapat pelbagai jenis perkhidmatan bot perdagangan yang ditawarkan. Antaranya adalah:

Haasbot – membuat analisa menggunakan candlestick chart dan membolehkan pedagang menggabungkan analisa itu dengan beberapa indikator lain untuk strategi yang lebih baik. Harga perlesenan bot ini adalah dari 0.035 BTC ke 0.084 BTC untuk tiga bulan.

CryptoTrader – cloud-based platform yang membolehkan pengguna mencipta bot perdagangan mereka sendiri. Platform ini juga menyediakan pasaran ‘strategi’ yang membenarkan pengguna jual beli strategi yang dianggap terbaik sesama sendiri. Cryptotrader juga menyokong kebanyakan platform pertukaran untuk sesi ujian untuk pengguna menguji bot mereka. Harga Cryptotrader adalah dari 0.0013 BTC ke 0.0016 BTC setiap bulan.

Gekko – platform bot perdagangan yang menyokong 18 platform pertukaran. Gekko adalah percuma dan boleh didapati di laman web Github. Bot perdagangan dalam platform ini hanya membuat beberapa perdagangan dalam seminggu, dan fungsinya agak basic. Ianya sesuai untuk mereka yang baru menggunakan bot perdagangan.

Terdapat beberapa lagi bot perdagangan yang digunakan dalam pasaran matawang kripto seperti Zenbot,  GunbotCryptohopper dan Profit Trailer. Setiap platform ini mempunyai fungsi yang berbeza dan juga tahap perdagangan yang bergantung kepada pengalaman pengguna. Apa yang pasti, tidak semua orang boleh memperoleh untung menggunakan bot perdagangan.

Kemahiran teknikal yang kuat dan juga ilmu pengetahuan menyeluruh tentang pasaran matawang kripto sangat penting untuk memperoleh keuntungan dalam pasaran matawang kripto. Jika anda mempunyai kedua-duanya, adakah anda memerlukan bot perdagangan?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.